Sabtu, 30 April 2011

NAH, PM cadangkan Pas keluar PR!

YAB Perdana Menteri yang juga Presiden Umno meminta Pas segera keluar daripada Pakatan Rakyat kerna dikatakan DAP tidak memperjuangkan Islam.  Maksudnya PM percaya Pas memperjuangkan Islam dan DAP sebaliknya, tambahan pula dalam PR kedudukan DAP lebih kukuh berbanding Pas. Emm…, ada logiknya juga.  Sudah banyak dalil dikeluarkan agar Pas segera keluar PR kerna menjadi kuda tunggangan DAP dan PKR!


Dalam mana-mana gabungan banyak parti politik, mesti semua parti akan berusaha menjadi paling berkuasa seperti Umno dalam Barisan Nasional.  Jika dalam BN Umno menjadi dominan sejak Perikatan lagi (1954), maka parti-parti lain seperti MCA dan MIC boleh juga dikatakan kuda tunggangan Umno.  Kerna itulah hari ini kaum Cina tidak memberi harapan kepada MCA sebagai saluran suara kaum Cina yang mereka fahami MCA sebagai kuda tunggangan dalam BN.  Jangan marah ya.

Mana-mana parti yang punya ahli terbanyak dalam Dewan Rakyat atau Dewan Undangan (sepatutnya Undang-undangan) Negeri pasti menguasai gabungan parti-parti politik atau menjadi dominan.  Betul Umno dengan menguasai BN menjadi dominan sehingga kaum Cina keciwa terhadap MCA.   Betul juga DAP dan PKR sedang dominan dalam PR sehingga Pas dilihat sebagai kuda tunggangan dua parti itu.

Teori dan cita-cita Pas ialah menggantikan Umno sebagai parti utama orang-orang Melayu.  Kerna hasrat itulah membujur lalu melintang patah Pas tidak kenal ampun menyerang Umno.  Apabila ditemukan parti yang sama memburu Umno (DAP dan PKR) rugilah Pas menolak gabungan ini.  Harapan Pas dalam PR ialah menjadi dominan  sebagaimana Umno menjadi dominan dalam BN.  Dahulu sewaktu nama gabungan parti masih Barisan Alternatif (BA), Pemuda Pas Pusat pernah mahukan Pas menjadi dominan dalam BA sebagaimana Umno dalam BN.  Pantas DAP membidas Pemuda Pas kerna mahu mencontohi budaya politik BN. Pemuda Pas terus diam dalam hal parti mana yang dominan.

Sebenarnya semakin lama semakin terbuka perbedaan antara BN dan PR, seolah-olah konsep politik yang berbeda antara demokrasi dan komunisme sewaktu Perang Dingin kuasa-kuasa besar dunia (1945-1990).  Jika dalam BN diteraskan dominan Melayu dalam PR tidak ada dominan Melayu, tidak juga dominan Islam.  Jika dalam BN ada parti yang dominan, dalam PR dikatakan tidak ada yang dominan (ini saya belum percaya!)  Dalam BN parti-partinya berasaskan perkauman, dalam PR partinya (secara teori) multirasial, walaupun yang benar-benar multirasial hanya PKR!

Pada saya, seburuk-buruk Umno pada pandangan Pas, kedua-duanya wajar duduk sebaris kalau tidak boleh digabungkan terus.  Dahulu, sebelum memperoleh kuasa (1990) di Kelantan dan Terangganu, kemudian di Kedah dan beberapa kuasa Exco negeri, Pas memang dilihat sangat berbeda dengan Umno.  Ceramah-ceramah Pas tahun 1980-an yang diketuai oleh Hj Hadi memang sangat ketara bedanya Umno dan Pas.  Sangat jelas Pas itu wasilah kepada pelaksanaan Islam dan Umno melambat-lambatkan pelaksanaan Islam.  Begitulah persepsinya.

Setelah berkuasa di negeri-negeri, yang membedakan antara Umno dan Pas ialah ketelusan kepemimpinan saja.  Saya pun akui cara Pas memerintah tampak lebih bersih berbanding Umno, lebih jujur dan terbuka. Pas lebih mesra berbanding Umno.  Agaknya Umno sekarang baru tahu mahu memesrai orang seperti saya sebab sudah berada dalam kandang orang kalah.  Dahulu, yang di desa saja sudah tahu tingginya hidung kepala Umno!

Selain itu Pas tidak membuang apa-apa program ekonomi yang didahulukan oleh Umno.  Saya ingatkan Kelantan akan memansuhkan agensi kerajaan negeri (Badan Berkanun) dengan mengemukakan teori pembangunan ekonomi baru yang lebih cekap dan cepat membantu kaum Melayu, tetapi tidak.  Di Kedah pula kedai judi yang dibuka pada zaman Umno memerintah masih dibenarkan, walhal selama kempen politik pas – judi merupakan kayu ukur siapa Islam-siapa munafik antara Pas dan Umno.

Dengan bergabungnya Pas bersama DAP dan PKR, desakan Pas untuk melaksanakan Hudud sebagaimana zaman 1980-an terus kendur.  Tahun 1999, saya ingat betapa susahnya arwah Ahmad Nor (tokoh DAP) meyakin orang Cina yang Pas tidak lagi mahu melaksanakan Hudud.  Orang-orang muda yang condong kepada Pas memberi hujah bahawa Pas berkawan dengan DAP samalah dengan Umno berkawan dengan MCA.  Ya, di desa-desa, sifir itu menyebabkan mereka mudah menerima Pas bersahabat dengan DAP.  Kawan-kawan dalam Umno sudah lama berkawan dengan MCA, takkan Pas tak boleh pula!

Oleh itu, kalau Presiden Pas TG Haji Hadi masih berfikiran Kerajaan Perpaduan antara Pas dan Umno, saya cepat memahaminya. Bukan sangat sebab Hj Hadi mahu menjadi menteri, tetapi sebagai ulama yang pernah membacakan ayat-ayat tentang kepemimpinan yang mesti di tangan muslim, saya faham dengan Kerajaan Perpaduan kepastian kuasa eksekutif PM kekal di tangan muslim.  Sebagai ulama haraki, Hj Hadi lama faham bahawa masih terbaik adanya PM muslim untuk kepentingan umah berbanding PM yang bukan Islam tetapi dikatakan mesra muslim.  Saya yakin bab PM yang wajib muslim tidak pernah digadai termasuk soal bersatupadunya muslim untuk menjaga kepentingan umah.  Bersatu padu ini bukanlah sangat kerana semua sudah menjadi beriman, cukuplah yang beragama Islam (ada sedikit saja sensitiviti Islam) disatukan dalam satu wadah politik mengekalkan pengaruh dan kuasa Melayu-Islam.

Harap-harap ada sentuhan kepada semua mengenai kedudukan umat Islam yang hanya 60 peratus daripada 28 juta penduduk.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan