CINTA hati rusuh

Cerpen ini disiar dalam akhbar Siasah 07-13 Jan 2011
Oleh: NURUL MUBIN SIRAJ

AKU masih ingat sewaktu Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau pernah menyatakan negara kecil seperti Malaysia terpaksa menjerit sekuat-kuatnya di tengah-tengah negara besar dunia untuk mendapat perhatian.  Adakah aku akan menjerit sekuat-kuatnya apabila berhadapan dengan orang-orang berpangkat dan berpengaruh besar?
     Sekurang-kurangnya aku dapat menyabarkan mereka daripada membuat tindakan yang mungkin dikira sebagai aksi berani mati.  Benar, soal sandang pangan akan membuat manusia nekad dan sanggup melakukan apa sahaja.  Aku teringat pada foto dalam akhbar mengenai mangsa-mangsa banjir di Pakistan yang sanggup merempuh apa sahaja halangan untuk mendapatkan makanan, bukan untuk kenyang tetapi untuk menyambung hayat.  Lebih menyayat, yang sanggup bergayutan di jeriji helikopter untuk merebut makanan yang akan diberikan.
     Namun aku percaya keadaan di Malaysia tidak sedahsyat di negara Asia Selatan itu.  Banjir buruk yang melanda utara negara juga masih tidak membuat orang bertindak antara hidup dan mati.  Pemimpin bertali arus datang, dan bantuan datang juga. 
     Ya, walaupun masalah yang ditanggung oleh peniaga-peniaga kecil itu bukan soal hidup dan mati, tetapi ini juga soal penerusan hidup.  Seperti mangsa banjir di Pakistan yang mahu terus hidup, orang Malaysia yang terganggu ekonominya juga mahu terus hidup. Yang menambah terasa hak untuk hidup berekonomi ialah apabila haknya  sedang dirongrong  pihak lain. Ini soal hak sebagai warga negara, soal hak kemanusiaan, soal hak sebagai orang bawahan!
     “Mereka hanya bercakap saja. Berapa kali mahu bangunkan ekonomi perniagaan kami?”  Itu suara Osman yang menjual ayam bersih di gerainya.
     “Kalau betul mereka mahu bumiputera maju dalam perniagaan, patut mereka tak benarkan tauke besar itu makan kami!”  Itu suara Halimah yang menjual sayur-sayur di pasar basah.
     “Kami tinggal di bandar, kalau tidak boleh berniaga lagi nak jadi apa? Jadi kuli saja.”  Itu suara yang agak mersik lahir dari kerongkong perempuan muda.  Aku belum mengenali namanya lagi, tetapi pernah juga membeli sekilo-dua ikan daripadanya.
     Nah, jika kurakam satu persatu suara orang yang berkumpul di dewan kecil sebelah pasar basah itu, pasti menjadi panjang dan berjela-jela.  Dan yang pasti semakin banyak suara keluh kesah dan marah dicatat, semakin sebak di dada mengenang nasib mereka.  Mereka bukan orang lain, sebagian besar mereka adalah keluargaku juga, yang paklong, pakngah, maklang dan kaksu. Tidak kira entah sebelah ayah atau ibu atau sudah dua pupu atau tiga pupu atau ipar duai, bukan orang lain.
     “Kita buat demontrasi, tunjuk marah kita kepada orang atas!”
     Nah, inilah suara yang memang sudah kuduga apabila perasaan marah sudah membuak-buak.  Di mana-mana orang marah akan keluar di jalanan, di lapangan menunjukkan rasa marah dan tidak puas hati.  Orang marah akan lakukan apa sahaja.  Mereka boleh pukul orang, bakar kereta atau bunuh orang!
    Aku cepat membayangkan lebih 100 orang termasuk ahli keluarga peniaga dan para simpatisannya dengan sepanduk tulisan tanda marah serta menjerit-jerit di hadapan bangunan majlis perandaran.  Dan aku cepat juga membayangkan polis meminta mereka bersurai dengan ancaman akan dilakukan tindak kekerasan.  Di situ aku membayangkan wajah-wajah serba salah.
     Aku menanti tanggapan sang ketua.  Wajahnya tampak serius menanti suara lain.  Agaknya dia menanti suara Osman, Halimah, Wan Ishak, Deraman, Salleh, Junid dan sesiapa saja.  Dewan kecil jadi sepi, seakan-akan perlukan satu jadual untuk sesiapa menyuarakan pandangannya.  Atau sebenarnya mereka terpinga-pinga dengan cadangan berdemontrasi.  Aku pasti perkataan demontrasi itulah yang menyebabkan mereka terpinga-pinga.
     “Kita mulakan dari satu takah.”  Aku memecah kebuntuan, cuba memberi sedikit nafsu untuk mereka berfikir kembali.  Kuperhatikan semua menoleh  kepadaku yang berdiri di bahagian belakang sekali.
     “Ha, Munir orang muda. Eloklah anak universiti ada bersama.”  Haji Bakaruddin yang menerajui mesyuarat tidak rasmi itu memberi kredit kepadaku.  Kulihat perempuan muda si penjual ikan itu pun menoleh kepadaku. 
     Aku tidak perlu membuang masa mereka dalam dunia teka-teki.  Apabila aku mengalihkan perhatian pemikiran dan perasaan mereka, tentulah mereka mahukan sesuatu yang lain. “Kumpulkan tanda tangan dahulu, kita buat memorandum.  Kita minta baik-baik.”
     Ada sedikit suara bergema.  Aku tidak pasti suara-suara seperti ngiang nyamuk itu bersetuju atau tidak, atau menyumpah seranah aku.  Ya, aku bukan sebagian daripada mereka, cuma sebagian daripada kehidupan mereka.  Sebelum berangkat ke kota untuk menyambung belajar ke unversiti pun sudah ada suara, ‘esok dah tamat belajar makan gaji di kota saja’.
     Haji Bakaruddin menguasai semula perkumpulan.  Memang dia manusia berbakat sebagai pemimpin.  Haji Bakaruddin bersetuju cadanganku untuk membuat memorandum, menerangkan masalah masa depan peniaga kecil.  Kertas berwarna putih mula dikeluarkan olehnya.  Dia memulakan dengan menulis namanya, nombor kad pengenalan dan tanda tangan di bahagian paling kanan kertas berkenaan. 
     Aku memerhatikan saja sehinggalah aku mencuri pandang nama perempuan muda penjual ikan itu yang mencatat namanya Manisah binti Abdul Jabbar.  Nombor kad pengenalannya? Aku tidak ingat. Maka aku tidak tahu berapa usianya. Aku menghormatinya kerana hanya dia seorang perempuan muda yang sanggup bergelumang dengan bau hamis ikan sedangkan rakan sebayanya lebih mudah menjadi jurujual di pasar raya.  Maksud sebenarku, banyak gadis suka bekerja di tempat hawa dingin dengan wajah yang selamat dibedak dan bibir digincu!
     “Cuti ke?”
     Aku benar-benar kaget. Pecah semua ingatan berkenaan perkumpulan peniaga-peniaga di pasar ini.  Aku berhenti betul-betul di hadapan gerai ikan Manisah.  Tidak ada orang lain di kiri kananku, tentulah pertanyaan pendek itu ditujukan kepadaku.  Aku malu sendiri, dan berharap dia tidak perasan yang aku menerawangkan emosi dan fikiran sebaik saja melangkah masuk ke pasar itu.
     “Ya ya, hmm…, bagaimana niaga hari ini?  Aku sedikit kekok.
     “Biasalah, orang berniaga… macam hari juga ada masa panas dan hujan.”  Dia tersenyum, mempamer barisan gigi putihnya.  “Esok-esok setelah pasar raya dibuka di sebelah pasar kami, hujan sajalah.”
     Aku mengerti maksud perkataan hujan daripada Manisah.  Memang hujan bagi peniaga kecil seperti itulah yang menyebabkan perasaan tidak senang semua orang sepertinya.  Perasaan marah senang saja membara mengenang pintu rezekinya selama ini akan ditutup rapat.  Memang pihak berkuasa tidak membatalkan lesen perniagaan mereka, tetapi dengan tertegaknya sebuah pasar raya besar yang menjual segala macam termasuk apa yang dijual oleh para peniaga kecil dan runcit, itulah musibah ekonomi orang-orang kecil.
     “Ada perkembangan fasal memorandum itu?”  Aku kembali menguasai diri.
     “Belum, janji Yang Dipertua Majlis dalam tempoh sebulan,  katanya kena tunggu mesyuarat ahli majlis.”  Katanya sambil tangannya mula riwung meladeni pelanggan yang mahukan ikan-ikan daripada gerainya.
     Aku membiarkan sahaja Manisah dengan kerjanya.  Aku menoleh mencari  Haji Bakaruddin di gerainya. Tiada, yang ada ialah seorang lelaki berbadan kurus dan berambut keriting.  Mungkin itu warisnya.
     “Katakan memo itu gagal…” Aku memulakan semula bicara setelah Manisah selesai melayan kehendak pelanggannya.
     “Rasanya memang akan gagal.”
     Aku tidak kaget.  Ya, di manakah ada memorandum yang berjaya mengubah fikiran manusia?  Selalunya memorandum diluahkan oleh orang-orang kecil yang tidak berkuasa, yang tertindas dan diberikan janji-janji muluk oleh pihak berkuasa agar tidak melakukan kekerasan ketika membuat tuntutan.  Membuat surat bantahan, surat rayuan atau memorandum dikatakan tindakan intelektual.  Melakukan perbincangan dikatakan juga tindakan orang bertamadun, dan menjerit-jerit di jalanan dikatakan perbuatan orang tidak ada pendidikan!
     Bolehkah orang-orang yang berpangkat tinggi dan berpengaruh digugat dengan sehelai dua kertas memorandum?  Bolehkah tanda tangan 100 atau 200 orang dapat memadam satu keputusan yang bernilai jutaan ringgit?
    Hati menjadi rusuh, perasaan marah mula terasa dalam dada.  Bagaimana ruang perbincangan?  Sudahkah Haji Bakaruddin selaku pengerusi persatuan membuat temu janji dan kemudian berbicang dengan pihak yang memberikan lesen kepada tauke pasar raya.  Aku berfikir semula, berbedakah percincangan dengan kertas memorandum?
     Setelah bertemu dengan Manisah, memang aku bertekad untuk menemui Yang Berhormat.  Walaupun aku tahu Yang Berhormat sukar ditemui di pejabatnya, tetapi aku memang mahu bertemu sendiri dengannya. Aku mahu mendengar jawaban daripada persoalan orang-orang yang diwakilinya.  
     Aku memanjat tingkat tiga bangunan lapan tingkat di tengah bandar untuk mencari masa bertemu dengan Yang Berhormat.  Waktu aku aku sedang melangkah di anak tangga itu, aku mendapat kiriman mesej daripada Manisah yang memang memorandum terhadap majlis perbandaran tidak dilayan. Erti lain misi mereka untuk mengubah keputusan gagal!
     Dengan sedikit keciwa setelah membaca mesej Manisah, aku membuka pintu pejabat Yang Berhormat. Memang seperti yang kuduga, orang penting yang kucari tiada. Yang ada hanyalah pembantunya seorang wanita muda  dan seorang lelaki separuh umur.
    “Mengapa lambat sangat baru boleh jumpa, bulan depan.” Aku sangat tidak puas hati.
    “Itu jadual YB, kita ikut saja.”  Kata perempuan itu manis.  “Boleh Jumpa Encik Samad di belakang sana.”  Katanya lagi sambil menunjukkan arah lelaki separuh umur bernama Samad.
     Aku bercakap hal masalah peniaga di pasar dan peniaga runcit yang akan gulung tikar jika rancangan membina pasar  raya itu diteruskan.  Aku juga sudah menjelaskan yang memorandum kepada pihak majlis perbandaran telah gagal mengubah keputusan.
      Apa dia jawab? Katanya, “Itulah masalahnya orang Melayu.”
      Aku mendengus perlahan. Masalah orang Melayu bermula dari yang ada kuasa, bukan di bawah-bawah saja.  Belum mahu kulepaskan ayat itu.
     “Dulu sewaktu pihak majlis membuat pameran perancangan bandar orang kita tak mahu datang. Tidak ada apa-apa bantahan.  Secara undang-undang, apabila ruang bantahan tidak diterima, maka cadangan diterima.”  Begitu Encik Samad memberitahu aku.  “Awak di mana waktu itu?”
     Tiba-tiba telingaku menjadi panas.  “Saya masih di Tingkatan Lima.”
     Kulihat dia tersengih, seperti sinis dan memandang rendah terhadapku. Aku masih anak hingusan!
     “Mengapa orang-orang tua awak tidak membantah?”
     “Apa yang difikirkan oleh Melayu yang ada kuasa? Mengapa mesti menunggu respon orang bawah?” Aku berani menjawab kepada Encik Samad. Telingaku pun masih panas menunggu jawabannya.
     Jeda.
     “Saya ingatkan pemimpin Melayu yang ada kuasa menjadi pelindung orang Melayu di bawah sana, rupanya tidak.  Berapa lama lagi hendak bercakap soal ekonomi dagang Melayu di bandar kalau dasar dan tindakannya merugikan orang Melayu juga.  Sekarang masalah sudah di depan mata, itu pun masih mahu menyalahkan orang-orang di bawah yang sekolahnya tidak tinggi.”  Puas aku bersuara keras.  Aku tahu tidak ada perbincangan apa-apa dengan Encik Samad pegawai khas Yang Berhormat.  Dan aku yakin juga dia marah dengan suara kerasku.
     Aku keluar.  Hati panas dan perasaan memang kacau.
     Hari itu memang sudah diduga.  Semua peniaga pasar dan pekedai runcit sekitar tapak bangunan pasar raya sedikit demi sedikit berkumpul di hadapan sebuah sekolah memengah.  Jam sudah menunjukkan hampir pukul 10 pagi.  Aku membisik ke telinga Manisah, bahawa Yang Berhormat akan datang tidak lama lagi untuk merasmikan Mesyuarat Agung PIBG sekolah berkenaan. Aku lihat Manisah memberi senyuman, semangat kepadaku.
     Nah, itu dia sebuah kereta Toyota Camry hitam perlahan-lahan dan berhenti. 
     Serentak orang-orang yang berkumpul di hadapan sekolah mengeluarkan kain-kain rentang yang meluahkan perasaan keciwa dan marah.  Ayat-ayat yang marahkan kuasa tamak dan tidak peduli nasib ekonomi bangsa dijulang-julang.  Suara menjerit-jerit meminta Yang Berhormat lebih prihatin kedengaran.  Aku dan Manisah pun sama menjerit. Aku ingat kata-kata mantan Perdana Menteri, yang orang kecil terpaksa menjerit kuat untuk mendapat perhatian orang-orang besar!
     Serta merta kami dihampiri beberapa pegawai dan anggota polis.  Aku genggam tangan Manisah, tanda aku bersemangat dan tidak akan mengalah. “Nisah, ini perjuangan kita bersama.”
    “Bersurai, bersurai. Ini perhimpunan haram. Polis akan bertindak!” Kata seorang pegawai polis menggunakan heller. Berdesing suara itu masuk ke telingaku.
     Aku, Manisah, Haji Bakaruddin dan mereka yang lain tidak peduli. Kami terus mengangkat sepanduk, dan menunjukkan kepada Yang Berhormat. Aku pasti Yang Berhormat melihat kami sekalipun dia bagai tidak terkesan apa-apa sambil berjalan masuk ke perkarangan sekolah dengan iringan paluan kompang.
     Tiba-tiba kami diserbu.  Aku terlepas tangan Manisah.  Aku hanya sempat melihat Manisah dipegang oleh seorang polis wanita dan diseret jauh.  Tak sempat untukku ucapkan apa-apa kepadanya. Aku pun tidak pasti nasib orang lain.
     Aku sendiri pening kepala kerana terasa ada benda keras mengena kepala.   Aku masih  sedar dan meronta-ronta tidak mahu diseret ke dalam trak.  Dalam fikiranku hanya satu, biar apa terjadi kepada tubuhku, lukakah, berdarahkah asalkan berita demontrasi ini sampai ke pengetahuan orang yang berkuasa.  Kalau aku separuh mati barulah orang membuka kaca mata.  Aku terbayang wajah mantan Perdana Menteri bersuara nyaring mengecam negara-negara besar mengenai masalah Palestin! Dia terpaksa menjerit! Dan aku menjerit sekarang!