Rabu, 21 Mac 2012

APA ada pada sekeping sijil


MENGAPA sekeping kertas bernama sijil peperiksaan amat bernilai? Jawabnya ialah sistem yang digunapakai memerlukan sijil sebagai satu tanda apa yang dimiliki seseorang.  Pelajar yang memiliki sijil SPM yang tercatat semua pelajarannya mendapat A, tentulah menggambarkan pengetahuannya yang cemerlang dalam semua ilmu (pelajaran) berkenaan.  Jika sebaliknya, maka gambarannya sebalik daripada kecemerlangan itulah.

Kerna sistem memberi nilai kepada sijil maka semua mahu mendapat sijil yang diterima baik oleh sistem yang ada di sekitar kita.  Jangankan mahu memasuki university perlukan sijil, mahu bertugas sebagai Pengawal Keselamatan juga perlukan suatu sijil pelajaran dan sijil berhenti sekolah.  Walhal tugas sebagai pengawal keselamatan tidak ada pun ditanya dalam mana-mana soalan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM.

Namun hakikatnya, sijil hanya untuk melayakkan seseorang mencapai hasratnya. Sijil bukanlah penentu peribadi sebenarnya.  Dalam sijil hanya tercatat sebagian daripada peribadi seseorang, sedangkan dalam kehidupan begitu banyak perkara yang dilalui dan tidak termuatlah untuk dicatat sebagai menggambarkan seseorang itu.  Harap yang sebagian yang tercatat itu betul-betul mewakili pemilik sijil itu.

Masa dan zaman berubah, maka kian lama sijil itu akhirnya tidak dapat dikaitkan pun dengan pemiliknya.  Katakan sijil SPM Encik X tahun 2000 mencatat lulus minimum dalam Bahasa Inggeris, tetapi pada tahun 2012 ini Encik X merupakan seorang jurujual barangan yang sangat mahir berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.  Dia pula tidak mempunyai apa-apa sijil yang menunjukkan keupayaannya berbahasa Inggeris.  Begitu juga sebaliknya.  Misalnya sijil Encik X tercatat gred terbaik dalam Pendidikan Seni, tetapi kerna tidak mengamalkan ilmu seni lukisnya…dia bukanlah seorang pelukis yang baik. Ini salah satu contoh bahawa sijil semakin lama semakin usang.

Beruntunglah kepada yang sedar sijil hanya laku buat sementara waktu, dan selepas itu dirinya perlu mencari lagi ilmu dan pengalaman.  Rugilah yang terpedaya dengan ‘kehebatan sijil / digri’nya yang sudah pun melepasi usia 10 tahun.

Ahad, 18 Mac 2012

BAGAIMANA hendak menilai dua murid ini?


Seorang murid kerap tidak hadir ke sekolah dan kira-kira dua bulan sebelum Penilian Menengah Rendah (PMR) dia terus tidak hadir.  Pihak pentadbiran sekolah telah mengeluarkan surat memberhentikan murid berkenaan kerana cukup syarat untuk diberhentikan.  Pada hari-hari peperiksaan dia hadir dan menjawab semua soalan seperti rakan-rakannya yang lain.  Ketika keputusan PMR dikeluarkan, dia antara murid yang mendapat keputusan yang baik (boleh dibanggakan) walaupun tidak kategori cemerlang.

Seorang murid lain pula (sebenarnya banyak yang begini) sentiasa hadir sekolah dari awal tahun hingga hari peperiksaan.  Dia juga hadir untuk aktiviti kokurikulum.  Apabila keputusan PMR diterimanya, dia agak keciwa kerana ada dua mata pelajaran yang dikategorikan gagal.  Mudah cakap dia gagal dalam PMR!

Sebenarnya kedua-dua murid berkenaan layak untuk naik ke Tingkatan Empat. Murid pertama masih boleh merayu terhadap hukuman berhenti sekolahnya kerana dasar kerajaan ialah memberi pelajaran kepada rakyat sehingga berusia 17 tahun.  Mungkin dia ditempatkan di sekolah yang lain, bukan sekolah asal.

Penempatan murid-murid di Tingkatan Empat benar-benar bergantung hasil keputusan PMR.  Maka yakinlah bahawa murid pertama itu dimasukkan ke kelas yang menawarkan pelajaran sains tulen ataupun kelas yang ada subjek Prinsip Perakaunan.  Murid kedua pasti akan ditempatkan di kelas ‘hujung’ yang menawarkan subjek elektifnya seperti Pendidikan Seni dan Tanaman Makanan.

Begitulah sistem pendidikan berasaskan peperiksaan membuat penilaian terhadap murid-murid kita.  Berdasarkan dua kes murid di atas, orang desa yang tidak terlibat dalam dunia pendidikan pun kesal dan mungkin marah kerana murid kedua dilayan secara tidak adil.  Murid kedua seorang yang patuh kepada peraturan sekolah, cuma bakat intelektualnya tidak cemerlang, maka dia seperti terhukum sebagai ‘murid bodoh’.

Kelak, murid pertama mungkin akan terus berjaya dalam peperiksaan dan mendapat pekerjaan kolar putih.  Jika dia tidak insaf mengenai salahlakunya di sekolah, dia pasti akan menjadikan ‘salahlakunya’ sebagai modal untuk menjual dirinya sebagai orang yang hebat.  Dengan mudah dia akan berkata-kata, “dulu masa saya sekolah kerap ponteng sampai kena buang, tapi keputusan periksa tetap o.k. Sebab itulah aku dapat jawatan ini.”

Masyarakat tidak melihat sejarah hidup seseorang untuk memberi penilaian,  tetapi hasil yang diperolehinya. Orang yang banyak harta akan dinilai sebagai orang yang berjaya dan dihormati berbanding seorang pekerja penyapu sampah sepanjang hayatnya.  Adakah masyarakat peduli moral hidup seseorang?