Selasa, 12 April 2011

ANDAIKAN Ketua Menteri Sarawak bukan Islam


BERDASARKAN Perlembagaan Persekutuan, agama Islam bukanlah agama rasmi di Sarawak.  Penganut Kristian lebih besar di sana berbanding penganut Islam.  Selama Tan Sri Abdul Taib Mahmud menjadi Ketua Menteri, beliau boleh digambarkan sebagai Ketua Menteri Melayu, dan pastinya berimej Islam. Daripada sudut sentimen keislaman, tidaklah boleh dibuat bandingan beliau dengan Presiden Pas atau Menteri Besar Kelantan daripada Pas.  Pas memang secara jelas bergerak dan berjiwa Islam.  Parti PBB di Sarawak seperti juga Umno, menjadi parti orang Islam dan tetapi bukan berpaksikan Islam.  Namun begitu kedudukan orang dalam PBB dan Umno yang beragama Islam masih juga berimej Islam dan boleh dirundingi berkaitan hal-ehwal Islam apabila berlaku pertembungan antara pihak bukan Islam.


Katakanlah tsunami politik di Sarawak benar-benar berlaku dan TS Abdul Taib Mahmud kecundang, maka sebagai gantinya ialah Encik Baru Bian seorang bukan Melayu dan penganut Kristian.  Serta merta imej Ketua Menteri berubah daripada yang beragama Islam kepada Kristian.  Keadaan ini telah berlaku dahulu pada tahun 1985 di Sabah apabila Ketua Menteri Haris Salleh (BN-Berjaya) dikalahkan oleh PBS pimpinan Joseph Pairin Kitingan.  Daripada Ketua Menteri Islam beralih kepada Ketua Menteri Kristian.

Kalau benarlah TS Abdul Taib kalah nanti dan diganti seorang bukan Islam sebagai Ketua Menteri, janganlah terus menyalahkan rakyat.  Punca kemarahan rakyat (dengan melupai prinsip atau konsep Ketua Menteri atau Ketua Eksekutif Muslim) kerana kedudukan beliau yang berimejkan orang kaya dan terlalu lama berkuasa.

Pemimpin Melayu dan Islam di Sabah dan Sarawak agaknya tidak mempunyai keprihatinan untuk menjaga kelangsungan orang Islam sebagai Ketua Menteri dengan menampilkan watak Ketua Menteri muslim yang tidak buruk imejnya.  Sepatutnya, demi kelangsungan orang Islam dalam jawatan itu, cukuplah selama 15 tahun menjadi Ketua Menteri dan menyerahkan kepada pemimpin Melayu/Islam lain agar tidak dijadikan bahan kempen menyingkirkan kedudukan peribadi Ketua Menteri.

Saya tidak fikir, semua orang Islam di Sarawak terus selesa dipimpin Ketua Menteri seorang Kristian, kecuali mereka tidak peduli soal kepemimpinan politik Islam.  Pas yang bersama Pakatan Rakyat, yang bersetuju Baru Bian sebagai Ketua Menteri pun pada dasarnya tidak mahu seorang bukan Islam menjadi Ketua Menteri Sarawak.  Dalam pengajian berdasarkan sejarah Islam, Pas pasti berhujah bagaimana keadilan pemimpin Islam memerintah negara yang majoritinya bukan Islam.  Sejarah di Sepanyol dan India jelas kejayaan pemimpin Islam memerintah rakyat yang majoriti bukan Islam.  Memang Pas mahu menjadi seperti Nizar Jamaluddin yang menjadi Menteri Besar Perak sekalipun memiliki Ahli Dewan paling sedikit dalam PR, tetapi tidak di Sarawak!

Begitulah terabainya rasa tanggung jawab muslim terhadap kepimpinan muslim sehingga apabila kuasa sudah ada di tangan, yang difikir bukan umah tetapi kejayaan peribadi!  Itu yang sedang berlaku di Sarawak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan