Rabu, 10 Ogos 2011

SEKOLAH sebagai pulau di tengah-tengah masyarakat


ANAK-anak merupakan kain putih, dan orang-orang dewasa yang mendidiknya yang akan mencorakkan warna mereka.  Jika sejak kanak-kanak dan remaja mereka diasuh dengan ajaran Islam berteraskan al-quran dan sunnah nabi, maka itulah asas kehidupan mereka melangkah alam dewasa.  Jika yang mendidiknya memberi asuhan berdasarkan budaya yang kurang sopan, begitulah mereka akan menterjemah dalam kehidupan di tengah-tengah masyarakat.

Sudah lama saya melihat sekolah sebagai sebuah pulau di tengah laut luas.  Sekolah di kelilingi masyarakat yang punya budaya tersendiri.  Budaya dan idealisme sekolah pula agak asing dengan alam masyarakat.  Di sekolah, semua warganya diasuh supaya mematuhi waktu,  bergerak secara kumpulan dengan sabar dan bertolak-ansur.  Di luar sekolah, masyarakat tidak perdulikan ketepatan waktu,  bersifat individualistic dan berebut-rebut menginginkan sesuatu.  Soal kebersihan daripada sampah, apa yang diamalkan di sekolah hanya menjadi bahan gurau di luar pagar sekolah.  Murid-murid diajar supaya tidak merokok, tetapi masyarakat menyediakan ruang seluas-luasnya untuk remaja membunuh diri dengan merokok!

Bukan sekadar itu, masyarakat sudah berani memaksa nilai bobrok mereka terhadap alam pekerjaan di sekolah.  Pada mereka, dengan mengkritik perjalanan sistem sekolah seolah-olah satu kehebatan kerana dapat memberi tunjuk kepada kaum pendidik, malangnya mereka sendiri sudah longgar moralnya.   Sedikit anak-anak disentuh, esok pagi ibu-bapa sudah menunggu untuk menyerbu pejabat sekolah.  Guru mengajar menggunakan pelbagai istilah dan ayat untuk membangkitkan keseronokan belajar, malangnya ada anak-anak mereka mengutip satu dua istilah dan melaporkan kepada ibu bapanya.  Lagi, keesokkan pagi sekolah disergah kerana dikatakan guru menggunakan istilah tidak sopan semasa mengajar.  Ayat basi-basi atau gurauan terhadap murid, banyak yang ditafsir oleh ahli masyarakat sebagai kesungguhan.  Ini membawa pertelingkahan, dan ada bapa menunjukkan kejantanan mereka terhadap guru!

Maka jangan hairan apabila sebagian guru sudah mengambil keputusan tidak memperdulikan sangat perihal murid-muridnya.  Kembali kepada kerja sasa guru sebagai penyampai maklumat,  guru, soal akhlak dan disiplin murid-murid sudah disisihkan ke dinding.  Soal murid-murid mahu menerima atau tidak ….itu terpulang kepada murid-murid.  Untuk berlebih-lebih kepada murid, seolah-oleh pemaksaan dan terdedah kepada sergahan dari luar pagar sekolah.

Pernahkah ahli masyarakat yang tidak mempunyai ahli keluarga menjawat sebagai guru cuba memahami apa yang sedang berlaku dalam dunia pendidikan?