Isnin, 25 April 2011

APABILA PM menghargai bloggers

Perdana Menteri YAB Datuk Seri Najib memberi ucaptama dalam Persidangan Penulis-penulis Blog Rantau Malaysia-Asean.  PM juga memberi jaminan akan terus memberi kebebasan kepada para penulis blog menyuarakan pandangan mereka kerana penulis blog mempunyai idea tersendiri yang adakalanya berguna kepada kerajaan.

Ertinya, pemikiran blogger sudah diiktiraf asalkan hasil penulisannya bertanggungjawab dan beretika.  PM dan kerajaan sekarang bersedia menerika kritikan daripada pihak luar (luar kerajaan), maksudnya daripada penulis-penulis blog.

Jika seorang Perdana Menteri yang mempunyai kuasa eksekutif tertinggi dan pengaruh yang besar boleh berlapang dada dengan pandangan berbeda daripada para blogger, sangat diharap mereka yang duduk dalam jalur eksekutif mana pun mestilah bersedia mendengar pandangan kedua daripada para blogger.

Keadaan hari ini menjelaskan kuasa dan pengaruh blogger  menyebarkan maklumat dalam banyak perkara.  Memang akan berlaku pertentangan antara pihak yang mahu mengekalkan status quo dengan pandangan kritikal para blogger.  Apa yang pasti ialah akan berlaku perdebatan idea dalam ruang maya dan kesan besar akibat alam debat ini.

Mereka yang selama ini bertahan dengan sesuatu pendirian pasti gelisah kerana kubunya akan terus diceroboh di samping mereka ketiadaan upaya menampilkan hujah balas.

Perhatikan mengenai mereka yang masih berpemikiran lama tetapi mahu terus dilihat gagah.  Kumpulan ini tidak menampilkan hujah dalam membalas perbedaan pendapat, sebaliknya akan membuat serangan peribadi terhadap penulis-penulis blog.  Lihatlah kaedah orang-orang yang mempertahankan pemikiran lama memahami agama dalam menjawab pemikiran baru yang didasari ajaran asas (alquran dan sunnah).  Lihatlah sama ada mereka menjawab dengan hujah atau melepaskan serangan terhadap penulisnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan