DERA


Cerpen ini disiar dalam akhbar Siasah 30 Mei-05 Jun 2007
Oleh: NURUL MUBIN SIRAJ

TIDAK sesekali Imam Ya pernah merasakan kesedihan sebagaimana sekarang.  Lima tahun dahulu apabila anak perempuannya mati kerana dipatuk ular, memanglah sedih.  Benar kata orang, kehilangan ibu bapa tidak sehebat menanggung kepedihan kehilangana anak kandung sendiri.
     Namun kesedihan kali ini dirasakan menjadi satu bebanan dan tekanan baru dalam hidupnya. Imam Ya pun bukanlah tidak biasa mendengar berita buruk mengenai Saifullah, anak lelakinya.  Dia tetap ingat sejak remaja lagi Saifullah sudah menjadi bahan cerita orang.
     Marsitah…, Imam ya merintih pilu dalam dada.  Baginya seperti sudah tidak mampu lagi meluahkan kepiluan dan tekanan yang ada dalam dirinya.  Betapa tidak sedih sebagai seorang bapa, kerana kepada Marsitah digantung harapan agar anak perawan itu menggembirakannya setelah Saifullah tiada di rumah.
   “Abang, kita tidak ada pilihan lagi, kena bersabar.  Habis hendak buat apa lagi?”  Suhaibah, isteri Imam Ya memberikan pandangan, dengan harapan mendung keciwa di wajah suaminya akan beransur hilang.
     Imam Ya tidak membalas kata-kata pujukan isterinya.  Baginya itu bukan pujukan, kerana sudah menjangka itulah baris ayat yang akan diluahkan kepadanya.  Oleh itu, setidak-tidaknya pandangan Suhaibah bagi Imam Ya bukanlah satu cara mengatasi masalah dalam keluarga.
     “Ya, ingat dulu arwah ayahkau pun sudah berpesan agar kaumenjadi orang yang berguna, belajar agama tinggi-tinggi lebih baik. Mak pun suka kalau kauboleh mengajar orang ilmu agama.”  Imam ya masih teringat kata-kata Ibu Markonah. Sewaktu dia hendak meninggalkan desa, untuk berhijrah ke utara demi mendalami ilmu agama.
     “Apa-apa pun yang kaumiliki nanti, ibu, ayah dan tanah laman ini jangan kaulupa.”  Pesan Ibu Markonah lagi.  “Roh ayahkau tentu lebih aman jika doa-doa anaknya diterima Allah.”
     Imam Ya merenung wajah Suhaibah.  Lama juga empat biji mata bertentangan, tapi Suhaibah segera memandang ke lantai.  Tidak tahu apakah maksud suaminya sekarang.  Apakah dia akan menyalahkan aku dalam keadaan seperti sekarang?  Mungkin juga.  Suhaibah memilih jawaban sendiri, sebagai tanda akan menerima apa-apa keputusan suaminya.
     “Sebenarnya mak sudah simpan calon menantu mak…” terpacul baris kalimat-kalimat ini di benak Imam Ya.  Dia tidak memandang wajah isterinya lagi.  Tapi ingatannya menerobos jauh pada waktu lampau, sebaik saja Imam Ya kembali dari rantau.
     “Suhaibah anak Tuan Guru…”  Imam Ya cuba melembutkan hati Ibu Markonah.  Harap ibunya mengerti bahawa dalam dunia perguruannya, jika Tuan Guru memilihnya sebagai menantu, bererti satu penghormatan besar.
     “Apakah ini balasan daripad Allah?”  Suhaibah yang sejak tadi diam, tiba-tiba memutuskan pandangan mata Imam Ya yang sedang menerobos ke masa silam.
     “Allah maha tahu.  Ada perkara yang kita anggap betul, adalah salah di sisi-Nya.”  Imam Ya meladeni isterinya, tidak memandang pun ke wajah Suhaibah.  Tiba-tiba dia seakan menggeletar, perkataan kutukan dan sumpahan bertalu-talu mengasak ruang fikirannya.
     “Abang kepada orang ramai, tetapi tidak kepada anak sendiri…”
     Hah, beraninya kau Suhaibah?  Hati Imam Ya yang sedang bergetar seakan dipancung oleh kata-kata isterinya.  Namun dingin malam mengurangkan juga radang dan ombak di dadanya.  Kalaulah Saifullah telah liar dari tangga surau, memang boleh salahkan aku kerana itu kerja aku.  Ini Marsitah perempuan, aku jugakah yang bersalah?
     Imam Ya bersabar memandang isterinya.  Wajah ibu Markonah juga yang menayang di depannya.
     “Lihat itu anak orang depan, tidak dengar nasihat ibu, hidup payah, tak berkat….” Suara Ibu Markonah dahulu bergema kembali.
     Apakah ini balasan daripada Allah?  Pertanyaan Suhaibah muncul kembali, tetapi kali ini dalam dadanya sendiri.  Ya Allah, apakah sejak dahulu dalam manis senyumnya, ibu tidak pernah memberiku kerelaan?
     Tidak, tidak ada apa-apa lagi yang dapat disembunyikan.  Imam Ya tahu, sewaktu Saifullah ditahan polis kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah, berita itu pun tersebar.  Dia tidak dapat menahannya, namun semua urat nadinya masih mampu bertahan.  Kakinya masih terasa memijak sejadah di surau dan bacaan surah-surahnya masih lancar.
     Tidak tahu esok lusa, masihkah aku sanggup berdiri di depan makmum?  Soal dirinya sendiri.  Imam Ya mengakui apa juga kesalahan tetap diterima sebagai salah, tetapi kesalahan oleh Marsitah bukan kepalang lagi kepada diri dan keluarganya.
     Imam ya cuba tidak ambil apa bicara orang di warung kopi Wak Sharip. Di kedai runcit mamak Ghani atau simpang-simpang jalan.  Namun hati kecilnya percaya, kalau orang di surau sudah mengerling dirinya sewaktu dia melangkah ke muka jemaah, bermakna sesaklah bicara di warung dan kedai runcit.
     Lalu, ke mana aku sekarang?  Mahu saja Imam ya menjerit pada malam sunyi begini.  Sekonyong-konyong dirinya kerdil bagai tidak berguna sekerat beras pun.  Dan datang pula bisikan betapa sialnya jika wajah malunya masih dilihat orang yang selama ini menghargainya.
     Astaghfirullah….
     “Haji…, saya mengerti tanggungan Haji.”  Suara Lambak perlahan.  Dia lelaki pertama menziarahi Imam Ya setelah tiga hari jemaah di surau diimami oleh orang lain.  Lambak bukan tidak tahu, biasalah jika bertukar imam sehari dua, tetapi dia pun tahu benar mengapa Imam Ya solat di rumah tanpa uzur.
     Imam Ya menunggu saja apa yang akan dikatakan oleh Lambak.  Dia pasrah.  Baginya jika Lambak menjadi wakil daripada orang ramai untuk mengutuk dan mengasingkan dirinya, dia pasrah saja.
     “Allah telah memilih Haji untuk mendapat kurnia…”
     Imam Ya kaget.  Main-mainkah Si Lambak ini?  Dia menduga lagi.
    “Maksud saya, ini cerita al-Quran.  Nabi Nuh kehilangan puteranya dalam banjir.  Nabi Lut kehilangan isterinya dalam malapetaka hujan batu balasan Allah.  Harap Haji tidak merasa musnah.  Haji tentu bersyukur sebagaimana para anbia itu…”
     Bersyukur dalam situasi begini?  Perkataan itu seakan mendamprat, tetapi tersekat di kerongkong.  Dan adakah kedatangan Lambak memberi satu jalan baru kepadaku?  Imam Ya sedikit dalam persimpangan.  Dia tahu cerita anbia it.  Dia sedar dirinya bukan insan istimewa untuk mendapat anugerah Allah.  Malah Imam Ya berkali-kali seakan dipaksa mengiayakan bahawa harga dirinya sudah ambruk.
    Imam Ya memulakan langkah lemahnya ke rumah Ibu Markonah.  Baginya, biarlah apa tindakan setelah ini mesti mendapat restu ibu.  Syurga di telapak kaki ibu.  Cukuplah jika sejak menikah dengan Suhaibah, sekalipun ibu tua itu mengukir senyum, di hatinya ada luka.  Imam Ya tidak mahu menambah gurisan yang sedia ada.
     “Ibu, izikan saya melaksanakan perintah Allah.  Saya tidak ada pilihan lain.”
     Ibu Markonah diam sahaja.  Tidak juga memandang ke wajah Imam Ya.
     Imam Ya juga membatu.  Dia sendiri tidak pasti sama ada sedang menunggu kalimat-kalimat Ibu Markonah atau kehilangan punca berkata sesuatu.  Kata-kata Lambak juga bermain dalam ruang fikirannya.  Dia berkata kepada dirinya, kendatipun aku bukan nabi atau wali, jika ada ada ahli keluargaku yang tersasar, aku mesti berdiri sebagai wira.
     Dalam keadaan begini, Imam Ya fikir dirinya tidak harus berterusan dilambung dan dihempas ombak.  Dia akur, hidup ada turun naiknya bagai putaran roda.  Dan yang penting dirinya tidak pernah tidak pernah berputus asa daripada rahmat Allah.  Baginya, seperti yang pernah diajarkan kepada khalayak di surau, sejahat dan sejahil mana seseorang, tidak sesekali merasa putus asa terhadapkasih sayang Allah.
     Telah bulat tekadnya untuk melaksanakan apa yang diperintahkan kepada umat-Nya.  Ibu Markonah diam saja, restu atau membantah?  Kali ini Imam Ya berdoa agar diamnya Ibu Markonah sebagai tanda restu.
     Kepada Lambak, Imam Ya memberi tugas agar memaklumkan kepada orang ramai.  Pak Munir diminta membantu apa-apa yang patut.  Kepada Marsitah dan Duan sendiri, Imam Ya sudah menerangkan bahawa semua adalah milik Allah dan wajib menyerah diri kepada kepada Allah.   Panjang juga Imam Ya menerangkan mengapa Allah menurunkan hokum yang mesti dipatuhi oleh hamba-hamaba-Nya yang beriman.
     Masritah tidak terkata apa-apa lagi.  Sejak awal dia ditangkap dengan Duan di pondok sebuah dusun, dia hanya mendiamkan diri.  Dia mengaku salah dan sedia menerima apa sahaja hukuman.  Malam kedua setelah peristiwa hitam di pondok itu, apabila dimarahi oleh Imam Ya, dia sudah menyerahkan diri kepada ayahnya.  Harapannya satu, moga dapat membasuh arang di wajah ayahnya, Imam Ya dan ibunya, Suhaibah.
     Sekalipun malam telah larut, Imam Ya tidak rasa mengantuk.  Dia pasti tidak dapat melelapkan mata mala mini.  Mentari Jumaat akan muncul hanya beberapa jam lagi.  Kadang-kadang pasa saat seperti ini datang pertanyaan mengenai kwajaran yang akan dilakukan.  Lama dia duduk diam di atas sejadah, mengharap petunjuk Allah, kalau-kalau dia akan melakukan kesilapan besar.
     “Itu tidak boleh dilakukan sembunyi-sembunyi.  Yang salah akan merasa akibatnya, dan yang melihat akan menjadikan iktibar.”  Imam Ya ingat kata-katanya kepada Lambak dan Pak Munir.
     Lama dia mendiamkan diri, memejamkan mata. Untuk apa aku lakukan ini?   Tiba-tiba pertanyaan itu melabrak fikirannya.  Melaksanakan peraturan Allah atau mahumencuci arang di wajahnya?  Mengenang harga dirinya yang sudah rata dengan tanah, hatinya digaru-garu juga mengatakan bahawa tindakannya ini untuk membersihkan nama, mahu menimbulkan semula harga dirinya yang sudah rata itu.  Entahlah…., apa pun janji kepada orang ramai mesti ditunaikan.  Fikirnya sendiri.
     Subuh itu Imam Ya kembali ke surau.  Dia yakin menapak semula ke muara jemaah.  Dia akan membaca surah as-sajadah dan al-Insan.  Dan dia Berjaya membaca dengan baik, tanpa cacat cela sekalipun fikirannya tidaklah setenang sebagaimana biasa.  Dia merasa kuat apabila mengenang Nabi Nuh dan Nabi Lut.  Allah telah menyaring kedua-dua nai itu antara insan yang hak dan batil.
     Jam lapan orang sudah berkumpul di lamaan surau.  Dengan banyaknya yang hadir, seperti semua rumah di desa itu tidak dihuni lagi.  Jika yang lelaki, perempuan, tua dan muda hadir, kanak-kanak pun tidak ketinggalan.  Mereka tahu ini bukan pesta, tetapi satu peristiwa yang belum pernah berlaku sejak desa itu itu dibukan puluhan tahun yang lalu.
     Di tengah-tengah, berdiri Marsitah dan Dua.  Kedua-duanya menundukkan wajah, tidak berani memandang wajah-wajah yang ada di hadapan.  Marsitah tidak menduga sama sekali akan menerima nasib seperti ini, sekalipun rela menyerahkan diri kepada tindakan ayahnya.  Malunya bukan kepalang!  Dia sudah lama merasakan wajahnya sejuk, bagai tiada darah lagi.
     Dengan suara lantang, Lambak menerangkan kesalahan yang dilakukan oleh Marsitah dan Duan.  Dia juga menerangkan bahawa tindakan Imam Ya semata-mata memenuhi apa yang diperintahkan dalam kitab-Nya.
     “Sabarlah anakku…” Dengan bisikan perlahan Imam Ya terhadap Marsitah, dia mengangkat rotan dan memukul bahagian belakang anaknya.  Satu, dua, hingga lima.  Tidaklah kuat sangat.  Marsitah tidak memberi reaksi tanda kesakitan.  Imam Ya bergerak ke arah Duan.  Imam Ya melakukan seperti dilakukannya terhadap Marsitah.
     Tiba-tiba abunyi siren kuat kedengaran.  Dua buah kereta polis berhenti di belakang orang ramai.  Imam Ya berhenti, dan memandang ke arah  anggota-anggota polis itu.
     “Imam, hentikan!   Kami polis, kami tahan Imam atas tuduhan melakukan penderaan di khalayak ramai.”
     Imam Ya tidak berkata apa-apa.  Dia tersenyum dan memandang ke angkasa.  Mentari masih dan terus memancarkan sinarnya.  Entah, dia melihat suasana pagi ini indah nian, barangkali paling indah seumur hidupnya.  Dia melangkah masuk ke dalam kereta polis tanpa digari.