Sabtu, 7 Mei 2011

HAMAS-Fatah tak sama Pas-Umno!

SUDAH diduga, Pas tak mungkin terpesona dengan cadangan PM agar parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat.  Jangan terlalu tinggi sehingga meminta parti Melayu Islam Umno dan Pas bergabung, itu seperti mengubah pasir menjadi nasi.  Masing-masing ada agenda politik yang sangat besar.  PM sengaja membuat kelakar di Terengganu.  Kalau selama ini Pas dan Umno bermusuh, tak mungkinlah Pas hendak mendengar nasihat musuh abadinya.


Sekarang tidak terdengar lagi usaha NGO hendak menemukan mana-mana pihak dalam Pas dan Umno.  Dahulu semasa Pas dikendalikan oleh almarhum Dato Fadzil Noor ada juga berita Presiden Pas itu berkunjung ke rumah Presden Umno waktu itu, Tun Dr Mahathir.  Mungkin faktor sama-sama orang Kedah, sama-sama ada di Alor Setar maka mudahlah Fadzil Noor ke rumah Che Det.  Soalnya Fadzil Noor yang ke rumah Che Det, kehendak dia. Kalau Fadzil Noor tak mahu, sebelah rumah pun tak akan pandang!

Apa masalah sangat kalau suasana social kenduri atau hari raya ketua-ketua Pas dan Umno tak kira di mana pun datanglah berkunjung.  Saya puji Ketua Pas Sabak Bernam Ustaz Sallehan Muhyi datang ke majlis hari Raya Adun Sabak, Datuk Warno.  Keakraban itu berlaku tetapi cepat hilang. Peliklah, benda baik cepat hilang, yang panjang dan panas ialah perselisihan.

Agaknya, biarlah Hamas dan Fatah di Palestin bersekutu sekarang.  Fatah itu bukan banyak beza dengan PLO yang dulu dipimpin oleh Yasser Arafat. Kalau PLO akhirnya berjabat tangan dengan Israel, Fatah pun sama. Pas selalu memberi tabik hormat kepada Hamas yang dikatakan sama fikrah dan mengatakan Fatah-PLO itu kebangsaan, sama seperti Umno.  Malah pernah ada orang menulis ketua Fatah, Mahmud Abas adalah penganut agama Bahai, bukan Islam.  Entahlah, tunggu Mahmud membuat sumpah mengenai status agamanya.

Mengapa Hamas dan Fatah bersekutu?  Secara kasar, sebabnya mereka mahu mengembleng tenaga, mengelakkan perpecahan sesame bangsa Palestin menghadapi musuh utamanya, tentera Israel.  Fatah bukan parti Islam, parti berasaskan bangsa yang di dalamnya ada Arab Palestin Kristian.  Boleh pun Hamas bersekutu dengan Fatah, walhal selama ini Fatah disumpah seranah macam-macam kerana membuat hubungan dengan Israel.  Orang Malaysia pun sama menyumpah Fatah kerana didakwa menjadi alat Yahudi dan Amerika.

Bersekutu pula Hamas dengan Fatah.  Umno dan Pas tak boleh bersekutu, tak boleh.  Tawaran Umno penuh muslihat untuk melumpuhkan Pas, itu kata mereka yang marahkan Umno.  Orang-orang di luar Umno dan Pas sahaja yang berharap dua parti itu menjadi seperti Hamas dan Fatah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan