Isnin, 11 April 2011

YANG berkuasa dan yang dikuasai


SESIAPA pun yang berkuasa hari ini, sebenarnya berasal daripada orang yang tidak ada kuasa. Seorang raja atau maharaja sekalipun, asalnya adalah bayi yang lemah, menjadi kanak-kanak dan remaja yang dikuasai oleh orang lain.  Hari demi hari, sejarah perjalanan hidup berlaku dan orang-orang yang dahulunya dikuasai telah berkuasa.  Opps, berkuasa bukan hanya merujuk kepada Perdana Menteri, Ketua Menteri atau Menteri Besar sahaja.


Pengetua atau Guru Besar di sekolah juga ada kuasa dan menguasai banyak orang.  Ketua Kampung pun ada kuasa, hatta seorang anak lelaki sulung pun ada kuasa sebagai ketua waris almarhum ayahanda dan bundanya.

Selalunya, sewaktu masih lemah tidak ada jawatan, tidak ada kuasa kuatlah pemikirannya mengkritik orang-orang yang sedang berkuasa.   Selalalunya juga, orang-orang yang melata melihat orang yang berkuasa sebagai tidak memahami kehendak, pemikiran dan perasaan orang banyak.  Maka di mana-mana juga pasti timbul konflik antara orang yang berkuasa dan yang dikuasai.

Sekarang nampaknya orang yang sedang mempertahankan kuasa di Sarawak dalam tertekan kerana diasak oleh orang-orang yang selama ini dikuasainya.  Apa hendak buat, dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia, setiap lima tahun mesti orang-orang yang dikuasai (rakyat) diberi peluang untuk menentukan sama ada orang yang sedang berkuasa masih perlu diberi kuasa atau diturunkan kuasanya.

Sebenarnya semakin orang yang berkuasa cuba mengukuhkan kuasanya, semakin banyaklah kerenah yang menyusahkan dan menyebabkan orang yang dikuasai marah.  Pengetua, Ketua Kampung, Ketua Menteri atau seorang Maharaja yang garang, pasti didendami oleh banyak orang.  Namun seperti rukun wajib bahawa mana-mana orang yang berkuasa akan mempertahankan kedudukannya walaupun mereka sudah lama merasainya.  Dalam fikirannya, orang lain tidak boleh mengatasi kehebatan dan kebolehannya.  Dalam fikiran orang yang dikuasai,  semakin lama orang itu berkuasa bermakna semakin sombong  dan angkuh.

Oleh itu saksikanlah drama demokrasi pilihan raya yang menyesakkan orang lama berkuasa.  Hari ini Abdul Taib Mahmud sedang  menderita terhimpit diasak oleh rakyatnya.  Akan datang yang akan merasa sebagaimana Ketua Menteri Sarawak hari ini ialah TG Nik Aziz di Kelantan, Abdul Ghani Othman di Johor dan Adnan Yaakob di Pahang. Eloklah mereka bersiap sedia menyediakan kereta perisai untuk menangkis serangan peribadi kerna lama berkuasa!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan