Jumaat, 18 Februari 2011

TEATER berkenaan ISA pula...


Dr Mahathir seorang negarawan.  Dia mantan Perdana Menteri yang dihormati dan disegani kawan dan lawan.  Musuh-musuh politiknya pun sukar menafikan sumbangan kerja dan pemikiran beliau terhadap negara.  Apa cerita terbaru beliau?

Selama 22 tahun Dr Mahathir menjadi PM tentulah banyak cerita di balik tabir yang tersimpan rapi. Hendak didedah setiap minggu pun belum tentu selesai.  Saya sendiri masih mencari punca dan motif mantan PM itu mendedahkan pemikirannya semasa menjadi PM terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) khasnya seksyen yang membawa penahanan tanpa bicara 60 hari kemudian 2 tahun dan 2 tahun seterusnya, seterusnya lagilah...

Saya juga masih kurang faham mantan Ketua Polis Negara (KPN) Tun Hanif Omar bersedia menjadi galang ganti kepada setiap kenyataan mantan PM itu mengenai ISA.  Setiap kali mantan PM itu mengungkit kisah lama yang ‘tak suka ISA’ setiap kali itu jugalah mantan KPN  bersedia mendada di depan  orang tua itu untuk menyelamatkan wibawanya!

Sewaktu Ops Lalang 1987, mantan PM mendakwa menjadi penentang penggunaan ISA. Ya, pantas mantan KPN mengatakan dia yang ‘memandai-mandai’ menangkap 100 orang lebih.  Apabila mantan PM mendakwa pernah mahu menghapuskan ISA, si mantan KPN juga ‘menghulur tengkuknya’. Katanya polis tak setuju.

Maaf, setakat ini saya tak percaya dialog drama ini.  Oh, lupa saya. Kalau ini hanya drama, saya percaya!  Percaya kerna ini hanya sebuah drama yang belum di bawa ke Istana Budaya.  Kalau dipentaskan, saya yakin penuh IB dengan khalayak baru teater ISA.

Isnin, 14 Februari 2011

REVOLUSI pemikiran anak muda


RAKYAT Mesir sudah berjaya dan sedang merayakan kejayaan revolusi.  Demontrasi dan desakan rakyat menyebabkan seorang lelaki kehilangan kuasa kepresidenan negara.  Soalnya siapakah yang mengorganisasi sekian banyak jiwa, berhari-hari dengan susunan yang indah.


Hosni Mubarak telah lama berkuasa. Ya, 30 tahun dan selama itu bukanlah baru beberapa bulan ini rakyat merasa getir derita di bawah kuasanya.  Ambil saja 20 tahun yang lalu, aksi pemerintahan Hosni Mubarak bukanlah kegemaran rakyat jika akhirnya dia didesak agar turun dari kerusi Presiden.  Katakan juga, adakah selama 20 tahun terakhir tidak ada tokoh yang cuba menjadi juara melawan kuasa Hosni Mubarak sebagai Presiden?  Adakah Ikhwanul Muslimin tidak berusaha menggerakkan massa untuk merobah pentadbiran yang dikatakan tidak ada komprominya.  Jawabnya ada, tetapi gagal!

Maka, siapakah agaknya sekarang yang menggerakkan massa sehingga jumlahnya menjadi jutaan, bertahan di Dataran Tahrir dengan satu matlamat iaitu menurunkan seorang lelaki daripada kuasa tertinggi negara?

Inilah indahnya gerakan massa di Mesir.  Tokoh-tokoh politik hanya dapat menyertai jutaan rakyat yang telah bermuafakat sesama sendiri untuk menggusurkan sang presiden.  Jawabnya mudah, alat komunikasi seperti SMS, Facebook, twitter, blog dan emel menjadi wahana paling ampuh untuk menggerakkan massa, bukan melalui idea seorang pendekar seperti zaman Gamal Abdel Nasser dahulu!

Di mana-mana pun establishment sama ada pentadbiran atau ideologi sedang dalam keadaan tertekan dengan kemunculan pemikiran yang menggerakkan perjuangan.  Ini bukan lagi zaman seorang wira dengan pidato yang memukau sehingga massa lupa diri untuk merempuh halangan dalam perjuangan.  Kini adalah zaman maklumat yang dikongsi bersama kemudian membentuk satu persepsi pemikiran yang meluncur laju.

Di negara kita, sampai ke desa-desa gelombang ledakan maklumat yang disukai atau tidak oleh sesetengah pihak sedang dan terus menerobos dengan laju.  Pemikiran-pemikiran dalam masyarakat sedang dihadapkan dengan satu terjahan yang sukar dijangka.  Bidang agama yang selama ini dianggap kubu paling selamat daripada diusik, juga sedang terpinga-pinga apabila pemikiran-pemikiran baru mula meresap di desa-desa.  Di kota, jangan ceritalah.

Siapakah yang melakukannya? Seperti gerakan massa di Mesir, di mana-mana juga yang idealis adalah  anak muda.  Yang paling pantas mahukan perubahan adalah golongan muda.  Maka kepada golongan tua, sama ada berundur atau mesti bergabung pemikiran dengan golongan muda. 

Khamis, 3 Februari 2011

APA masalah ahli-ahli dewan itu?

YANG terbaru YB Gobalakrishnan keluar PKR dan menjadi MP Bebas. Beliau mewakili rakyat Padang Serai Kedah. Memang hak seseorang untuk memilih persatuan atau parti mana yang disukai (termasuk mengkeji parti mana yang dibenci?). Ini sudah tercatat dalam perlembagaan.

Nampaknya semakin betul persepsi bahawa ahli-ahli politik tidak boleh dipercayai.  Saya ingat semasa mendengar ceramah politik seorang tokoh kuat Semangat 46 di Kedah dahulu. Apabila dia seakan bersumpah akan terus dalam APU (Angkatan Perpaduan Umah), rakan saya berkata, 'eleh, cakap saja...'.  Betul, akhirnya (sebab tak lama kemudian dia mati) dia keluar parti dan memilih parti lamanya semula!

Buat  sementara ini, semua kata. 'apa nak buat, sebab undang-undang membenarkan keadaan ini'.  Demikianlah ahli-ahli dewan yang dikatakan sangat kuat semangat juangnya, akan menyusahkan pula orang-orang yang menyokongnya.  Apabila keadaan ini berterusan, akan sampai masanya calon-calon pilihan raya (tentunya daripada parti yang paling banyak mempunyai ahli berpaling tadah) tidak diperdulikan oleh sesiapa walaupun daripada gabungan parti berkenaan.  Jawabannya mudah, 'hak kami untuk membantu atau membencinya!' 

Selasa, 1 Februari 2011

TURUNNYA malaikat dalam pilihan raya!


PILIHAN RAYA tidak henti-henti. Setiap pilihan raya juga hiruk-pikuk untuk meraih kemenangan. Jika pelajar saya bertanya ‘apakah syarat untuk menjadi calon pilihan raya’ maka saya menyeleweng daripada memberi jawaban berdasarkan perlembagaan.  Berdasarkan Akta Pilihan Raya, yang boleh mencalonkan diri untuk bertanding ialah warganegara, berumur 21 tahun ke atas, tidak muflis, tinggal di kawasan yang hendak ditandingi dan tidak gila!


Sebenarnya yang penting ialah calon mestilah lahir daripada keluarga malaikat, berwatak malaikat sejak dilahirkan dan  akan terus menjadi malaikat setelah menang dalam pertandingan.  Itu yang saya kata ciri yang menyeleweng!  Ciri-ciri sebagai watak malaikat ini jauh lebih utama, walaupun bukan dicatat dalam peraturan pilihan raya.

Lihatlah setiap pilihan raya terutama yang menjadi fokus seperti Pilihan Raya Kecil, setiap inci sejarah hidup calon akan diteliti bagai sudah berada di padang mahsyar!  Tugas menjadi malaikat yang menyelidik calon ialah pekerja parti sebelah lawan, sehingga foto dan kata-kata calon sewaktu masih berhingus pun akan didedahkan kepada umum untuk dilihat sebagai buruk atau keji. Harapannya ialah agar calon itu tidak dipilih dalam pengundian.

Si penyelidik dan pembentang setiap inci keburukan calon pula mestilah berpura-pura seperti malaikat yang dijamin maksum.  Jika saja pendedah itu mendedahkan mengenai salah guna sijil sakit, katanya cuti untuk berkempen, pendedah itu sendiri mestilah berlakon bahawa dia tidak pernah melakukan salah guna sijil sakit.

Contoh lain, ucapan seseorang calon juga mestilah sekudus malaikat yang turun di waktu subuh! Orang-orang yang meriwayatkan ucapan ucapan atau senda gurau seseorang calon adalah perawi yang mutawatir, amat tsiqah sebagaimana ciri-ciri perawi hadis nabi!  Mudahnya, orang yang menyampaikan sepatah atau sebaris ayat bicara seorang calon adalah manusia yang kedua aulia selepas malaikat.  Tukang bawa cerita ini tidak pernah ada dosa besar atau bermain-main. Adakah ini betul-betul ditemui dalam dunia politik?

Itulah dunia munafik pilihan raya. Saya teringat sangat mengenai skandal Tiger Wood yang berzina di sana-sini. Masyarakat barat tiba-tiba berlakon kononnya masyarakat mereka tidak menerima kerja zina sedangkan selama ini merekalah yang memperjuangkan zina sebagai hak asasi.  Mereka mahu hak berzina seperti hak minum air untuk menghilanmgkan dahaga!