Selasa, 5 April 2011

Pas minta maaf atas kematian Saiful syazani


Banyak orang melihat kerja guru mudah amat.  Persepsi ini terbentuk kerna melihat contoh mudah orang mengajar di masjid atau surau.  Mereka mengajar dan tinggalkan tanpa ada penilaian apa-apa.  Hendak faham atau tidak, itu orang lain punya pasal.  Budak lepasan SPM juga berani memohon untuk menjadi guru sandaran atau guru ganti, apabila ada kekosongan jawatan guru di sekolah.  Main tangkap saja, siapa yang hendak tidak ada kerja.  Sangat tidak profesional, walhal kerjaya keguruan sangat rumit dan besar tanggungjawabnya! - NMS

KANGAR - Pas Perlis memohon maaf kepada rakyat Malaysia ekoran kematian seorang pelajar berusia tujuh tahun dua hari lalu yang dikaitkan dengan tindakan seorang ustaz yang menghukum pelajar terbabit berlaku di Sekolah Rendah Islam Al Furqan kelolaan parti itu di Jejawi dekat sini.

Pesuruhjaya Pas Perlis Hashim Jasin berkata, pihaknya juga memohon maaf kepada kaum guru berhubung peristiwa yang telah mencalar imej dan persepsi umum terhadap warga pendidik.

Saiful Syazani Saiful Sopfidee meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar pada Ahad selepas dipercayai dipukul seorang ustaz yang juga warden asrama sekolah itu pada Khamis ketika sedang menyiasat kes kecurian.

"Kejadian ini sesuatu yang amat memeranjatkan setelah lebih 25 tahun mengelola institusi pendidikan milik parti," katanya selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis hari ini.

Hashim, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sanglang berkata, Pas Perlis berharap proses siasatan dan perbicaraan dilaksana secara rapi dan terperinci bagi menegakkan keadilan kepada semua pihak berkaitan.

Pengerusi Lembaga Tadbir sekolah itu, Rus'sele Eizan berkata, pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan semua institusi pendidikan milik parti itu beroperasi dalam suasana pembelajaran yang selamat dan lancar.

Ketua UMNO Bahagian Arau Datuk Seri Shahidan Kassim berharap sekolah agama rakyat seperti itu melantik hanya guru-guru bertauliah bagi mengelak kejadian seumpama itu daripada berulang.

"Setiap guru yang dilantik perlu melalui proses latihan perguruan meskipun mereka memiliki kelayakan akademik yang tinggi," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan