Selasa, 22 Mac 2011

LAGI-LAGI bahan seks dalam politik


DENGAN meletakkan video lucah sebagai bahan berpolitik, maka tampak cara berpolitik di Malaysia kian bobrok dan menjelekkan.  Sejak tahun 1998, soal-soal yang sebelum itu dianggap ‘tabu’ untuk perbincangan umum, mulai tahun itu yang tabu itu bukan tabu lagi.  Ahli-ahli politik yang berjanggut atau tidak, bertudung atau tidak sudah tidak segan silu menyebut perkataan air mani, bulu, tilam, rodok, jubur, batang dan sebagainya.  Media menjadi alat menyebarkan aksi baru ahli-ahli politik sehingga anak-anak yang masih hingusan biasa juga menyebut perkataan-perkataan itu.  Konon-kononlah ahli politik yang berkuasa menasihati remaja dan anak muda supaya berhemat tinggi, bersopan santun dan berbudi pekerti.

 Anwar terpaksa membuat penafian soal video seks

Ya, betul politik itu permainan ganas dan kasar.  Dalam berpolitik, lupakan sajalah sopan santun dan kempen budi bahasa anjuran kerajaan.  Kebanyakan ahli politik akan bertalam dua muka, satu wajah yang menampakkan wajah manis dan penyayang kepada masyarakat dan satu lagi berwajah bengis dan menyeramkan lawan-lawan politiknya.  Di hadapan masyarakat, dia menjelma sebagai malaikat yang tidak ada cacat celanya, berhadapan lawan politiknya dia menjadi iblis yang tidak perduli etika, dosa dan pahala.

Sebenarnya inilah sebagian cermin kita rakyat Malaysia.  Pendidikan diwajibkan, dibuka sekian banyak kolej dan universiti dengan harapan rakyat mendapat pendidikan tinggi agar menjadi manusia bertamadun, tetapi hasil yang diperoleh masih ciput!  Betul yang menjadi syaitan melakukan kerja-kerja kotor dalam politik itu hanya seorang dua, tetapi yang menjaja dan melebarkan kekotoran itu sudah membiak.  Perkataan-perkataan kotor, cerita-cerita fitnah dan pelbagai rupa kejelekan mudah pula diterima oleh orang ramai.  Orang ramai itulah yang dimaksudkan golongan yang terhasil daripada pendidikan tinggi!  Nama saja berpendidikan, tapi soal kebejatan dan niliai buruk mudah saja diterima.  Jika orang ramai menolak kerja-kerja kotor dalam politik, ahli politik akan meminimumkan kerja kotornya sebab tiada pasaran.

Dari satu sudut, kejelekan ini berpunca daripada sistem politik itu sendiri.  Sistem politik yang membuka peluang kepada sesiapa juga bercakap dan berusaha mempengaruhi orang lain menyebabkan timbul pelbagai idea yang bersih dan kotor untuk mencapai matlamat politik itu.

Sudut lain ialah kelemahan mental masyarakat khasnya Melayu.  Masyarakat ini tampaknya sangat teruja dengan cerita dan bahan seks.  Lihatlah dalam perniagaan, untuk melariskan sesuatu produk, maka akan dicatat ‘meningkatkan daya seks’.  Oleh kerana minda masyarakat dikuasai oleh seks, maka bahan politik itu pun mestilah bahan-bahan seks.  Maka muncullah sekian banyak video seks yang dikatakan dilakonkan oleh ahli-ahli politik kita.

Apa pun semua itu masih memualkan dan menjijikkan minda yang bersih dan indah.

1 ulasan:

  1. memanglah telah menjadi sejarah hal-hal berkaitan "seks" menjadi kegilaan, kehancuran, keseronokan orang...

    BalasPadam