Jumaat, 8 April 2011

KERAJAAN mungkin tunduk, benarkan PPSMI semula?


MEDIA melaporkan YAB Perdana Menteri bersedia memberi pertimbangan untuk mengkaji semula keputusan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana ada permintaan baru.  Sebenarnya bukan mudah kabinet mengambil keputusan untuk memansuhkan PPSMI kerana masalah budaya dan pemikiran rakyat yang pelbagai.  Selalunya para pembuat dasar dan keputusan tinggal di bandar dan daripada golongan berada.  Apabila kerajaan hendak memenuhi kehendak majoriti yang mahukan pemansuhan PPSMI dahulu, terpaksa melalui liku-liku yang panjang, mengalahkan pendesak di bandar-bandar.

Mengapa setelah kerajaan mengambil keputusan muktamad memansuhkan PPSMI, tiba-tiba PM memberi harapan baru kepada penyokong PPSMI?

Sejak akhir-akhir ini banyak pihak membuat tuntutan dan desakan terhadap kerajaan.  Yang menyebabkan penyokong PPSMI membuat tuntutan baru kerana ada beberapa kes tuntutan daripada golongan minority telah ditunaikan sekalipun semua tahu perkara itu rumit dan melibatkan akta serta enakmen-enakmen negeri-negeri.

Lihat tuntutan tidak mengalah kaum India untuk meminda frasa atau istilah dalam novel Interlok.  Sekalipun orang Melayu melihat tuntutan itu lebih kepada tuntutan politik kerana apa yang dibangkitkan tidak sebagaimana yang difahami oleh orang Melayu, tetapi kerajaan memilih untuk bersetuju dengan kaum India.

Lihat juga kes sensitif iaitu pengedaran kitab bible agama Kristian dalam Bahasa Melayu yang sebelum ini kerajaan sangat bertegas untuk tidak membenarkannya.  Sekarang (mungkin dalam suasana kerajaan lemah atau bimbang hilang sokongan politik),  kerajaan Persekutuan memberi lampu hijau yang memihak kepada penganut-penganut kristian, walaupun hal agama (termasuk pengehadan menyebaran agama bukan Islam terhadap penganut Islam) adalah kuasa negeri-negeri.

Oleh itu, satu kesempatan yang baik kepada penyokong PPSMI membuka semula tuntutan supaya subjek Sains dan Matematik diajaran semula dalam bahasa Inggeris.  Pihak ini agak berlembut dengan meminta kelonggaran untuk wilayah tertentu atau untuk golongan tertentu.  Siapa mereka kalau bukan golongan elit yang mementingkan status dan ekonomi.  Mereka bukan perduli apa itu dasar negara dan jati diri.  Jauh sekali mereka mahu memahami masalah penyatuan rakyat dan memperjuangkan hak-hak rakyat desa!

Kita bimbang sangat, dengan keadaan kerajaan yang serba tunduk kepada tuntutan, maka ada keputusan yang memusnahkan pembinaan jati diri negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan