Rabu, 18 Januari 2012

APA ketirisan P&P di sekolah-sekolah?


PERLUKAH tuisyen kepada murid-murid?  Para ibu bapa yang sangat berhajat melihat anak-anak mereka mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan nampaknya sudah tidak boleh menerima pendapat bahawa tanpa tuisyen, anak-anak mereka masih boleh cemerlang.  Lantaran itu, jika di desa-desa yang tidak kedapatan pusat tuisyen, Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG) menekankan agar pihak sekolah melaksanakan kelas-kelas tambahan dan sanggup membayar elaun sampingan kepada guru-guru sekolah berkenaan.

Dasar pelajaran yang digubal oleh kerajaan tidak ada yang memberi peluang diadakan tuisyen atas alasan masa persekolahan yang sangat terhad.  Jika Kementerian Pelajaran meminta ibu bapa menghantar anak-anak ke pusat tuisyen pada hujung minggu atau waktu malam, sistem pelajaran yang disediakan telah gagal sama sekali.

Pihak kementerian telah membuat kajian dan hasilnya setiap mata pelajaran yang diajarkan di sekolah-sekolah diberikan waktu yang tepat dan pasti tercapai objektifnya.  Peruntukan enam waktu pengajaran dan pemelajaran (P & P) Bahasa Melayu seminggu bermakna mencukupi dan akan menghasilkan murid yang  boleh menguasai mata pelajaran itu pada tahapnya.  Begitulah untuk mata-mata pelajaran yang lain.  Ini bermakna, tanpa tuisyen atau kelas tambahan, semuanya sudah cukup untuk murid-murid cemerlang dalam peperiksaan.

Sekalipun dihujah bahawa tidak diperlukan tusyen atau kelas tambahan, mengapa ibu bapa termasuk guru juga masih percaya tuisyen sebagai satu faktor penting kecemerlangan murid-murid dalam peperiksaan?

Jawabnya ialah kembali menoleh kualiti P&P yang diperuntukan dan sistem sokongan yang ada. Kekangan-kekangan seperti guru bertugas di luar bilik darjah atas nama berkursus, mengendali aktiviti kokurikulum, gangguan di kelas kerana masalah disiplin murid-murid dan melaksanakan jam wajib kokurikulum bersama murid-murid adalah antara faktor kualiti P&P telah merosot.  Hal ini bermakna berlaku ketirisan dalam P&P. Oleh itu demi mengatasi ketirisan P&P, pihak sekolah sendiri mengadakan kelas tambahan semasa cuti atau ibu bapa menghantar anak-anak ke pusat tuisyen.

Keadaan yang berlaku ini sebenarnya sudah menceroboh hak asasi dan pendemokrasian dalam pelajaran anak-anak.  Pihak kementerian (baca juga sekolah) tidak berupaya menghalang ketirisan yang kesannya dirasa semua murid, tetapi murid daripada anak orang kaya dapat menampung ketirisan berkenaan.  Murid-murid anak-anak orang kurang berada terpaksa mengharap ihsan guru-guru membuat kelas tambahan.  Yang paling malang ialah murid-murid yang tidak dapat menghadiri kelas tambahan kerana masalah lojistik seperti tiada kenderaan awam untuk ke kelas tambahan.

Soalnya siapa yang mahu mengatasi masalah ini?

Rabu, 4 Januari 2012

ANAK lapar di sekolah: Salah siapa?


SELAMAT kembali ke sekolah kepada anak-anak.  Apabila anak-anak ke sekolah, sebagian kehidupan ibu bapa terpaksa berubah, disesuaikan dengan alam persekolahan anak-anak mereka.  Begitulah besarnya pengaruh pendidikan kepada rakyat Malaysia, yang bersekolah anak-anak tetapi ibu bapa juga merasai sama alam persekolahan itu.

Maka Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri mencadangkan sekolah membuat masa rehat yang fleksibel, maksudnya mungkin boleh rehat pada jam 8.30 pagi bukan seperti biasanya jam 10.00 pagi.  Ini sumbang saran yang baik, namun jika diteliti bahawa Menteri Pelajaran melontarkan idea itu berdasarkan suara yang membisik ke telinganya.  Bisikan itu memberi gambaran ada anak-anak yang belum bersarapan sebelum ke sekolah. Murid-murud itulah yang ‘kelaparan’ sementara menunggu jam 10.00 pagi waktu rehat.

Murid-murid tidak bersarapan di rumah sebenarnya gambaran ibu bapa yang lewat bangun pagi. Kasihan anak-anak, hanya kerenah ibu bapa yang bertabiat lewat bangun pagi sehingga tidak sempat mengurus sarapan pagi anak-anak, maka anak-anak menjadi mangsa.  Oleh kerana tabiat itu susah hendak dihilangkan dan merasa anak-anak mereka lapar di sekolah, mereka mengadu kepada menteri agar sekolah mengubah jadual rehat supaya ‘melayan’ kemalasan mereka!

Kecuali di Sabah dan Sarawak, di semenanjung hampir tidak ada anak-anak yang terpaksa menempuh perjalanan yang sukar untuk  ke sekolah rendah atau sekolah kebangsaan.  Sekolah kebangsaan ada di merata tempat sekalipun di desa-desa.  Tidak ada lagi jalan tanah liat yang menyebabkan anak-anak tidak ke sekolah kerana jalan berlumpur.  Basikal pun bukan lagi kenderaan utama anak-anak dihantar ke sekolah. Murid-murid sudah menunggang motorsikal ke sekolah menengah walaupun jaraknya hanya kira-kira dua kilometer! Hakikatnya, suasana sekolah tahun 70-an tidak ada lagi pada hari ini di semenanjung.  Apakah dengan semua kemudahan itu, masih tidak ada masa anak-anak bersarapan pagi di rumah?

Teringat kata-kata mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi bahawa rakyat Malaysia menikmati kemudahan Dunia Pertama tetapi mindanya masih berada di Dunia Ketiga.  

Sabtu, 17 Disember 2011

INTERLOK lambang kegagalan kuasa Melayu


HENDAK dikata apaa lagi, kalau bukan kerna politik!  Novel Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussein dibantah kuat oleh kaum India.  Demi meredakan amarah kaum India, beberapa pindaan dalam teks itu seperti yang dipinta kaum itu ditunaikan.  Maka banyaklah pelekat ayat-ayat baru untuk menindih ayat-ayat lama yang dikatakan penghinaan itu.

Selepas dibuat pindaan itu pun suara tidak betah kaum India mengenai Interlok terus berulang.  Mereka mahu novel itu ditarik terus, pindaan tidak memuaskan hati.  Maknanya dalam kalangan kaum India, bergerak pandangan umum bahawa mereka tetap menolak Interlok.

Bacaan kerajaan mudah juga.  Pengundi-pengundi India mudah beralih sama ada kepada BN atau PR. Siapa pantas memberi kepuasan kepada mereka, ke situlah undi mereka.  Sekarang musim bercakap pilihan raya, maka banyaklah tuntutan diminta (baca sebagai ugutan politik).  Kalau kerajaan tidak tunaikan, mereka tidak undi BN.  Mana-mana parti pemerintah yang sokongan rakyat kepadanya tidak kukuh pasti cemas, kecuali memberikan apa yang diminta.

Maka, Interlok ditunaikan seperti kehendak minoriti kaum India.  Orang kampung senget mata memandang berita ini sebab yang mengumumkan penarikan novel yang baru setahun diguna bukan oleh Menteri Pelajaran, tetapi oleh Pengerusi parti politik kaum India.  Fahamlah, itu tanda kemenangan kaum India yang minoriti berbanding Melayu yang majoriti. 

Mengapa Melayu gagal? Jawabnya dalam kuasa politik, kuasa Melayu sebenarnya minoriti sama ada dalam BN atau PR.  

Ahad, 11 Disember 2011

APABILA murid dipindahkan ke sekolah lain


SELAMA empat tahun kekanda saya menghantar anaknya bersekolah yang ada nama ‘integrasi’, tidak menghantar ke sekolah kebangsaan seperti anak-anaknya yang terdahulu.  Habis musim persekolahan 2011, dia membuat keputusan akan mengeluarkan dua anaknya daripada sekolah berkenaan atas alasan ‘tidak ada kecemerlangan’.  Indikatornya ialah keputusan UPSR 2011.

Kes seperti ini pernah menghantui rakan-rakan saya di Kuantan dahulu.  Rakan saya seorang guru yang juga AJK PIBG berkata dalam Mesyuarat Agung PIBG, lebih kurang begini ayatnya, “Jika pihak sekolah tidak dapat mempertingkatkan kecemerlangan dalam UPSR tahun ini kemungkinan ada beberapa ibubapa akan memindahkan anak-anaknya ke sekolah lain.”

Apa yang terjadi ini mengambarkan harapan besar ibu bapa kepada sekolah untuk membina kecemerlangan pendidikan anak-anak mereka.  Bagi ibu bapa yang telah menyediakan tapak pemelajaran yang mantap di rumah sejak anak-anak masih merah, kemudian menghantarnya ke kelas-kelas tuisyen tetapi sedang menyaksikan ‘kemalapan’ pencapaian akademik sekolah, ini amat merunsingkan.  Hari ini ibubapa sudah boleh menilai sejauh mana usaha para guru di sekolah untuk membimbing pendidikan anak-anak mereka.

Sebenarnya pihak kementerian pelajaran atau pengurusan tertinggi mana-mana sekolah (sekolah bukan tanggungan Kementerian Pelajaran Malaysia) sudah menyediakan disiplin Pengajaran dan Pemelajaran  dan pelan tindakan tahunan.  Guru-guru hanya perlu melaksanakan dengan penuh semangat dan kreativiti. 

Memang semua ibubapa faham bahawa tidak mungkin sesebuah sekolah akan menghasilkan murid yang 100 peratus cemerlang 5A dalam UPSR.  Namun ibubapa tidak faham mengapa hanya seorang murid mendapat 5A atau tidak ada langsung yang mendapat 5A sejak tiga tahun lalu! Tambahan pula jika sekolah itu di kawasan bandar atau pekan yang keluarga murid terdedah dengan pebagai macam sumber maklumat.  Tentulah anak-anak mereka jauh lebih bermaklumat berbanding rakan-rakan mereka di pedalaman yang tidak ada pun akses telefon.  Oleh itu, sekolah yang berada dalam situasi ini tidak ada pilihan selain memberi bukti adanya sekumpulan pelajar yang cemerlang melalui peperiksaan awam.

Rabu, 7 Disember 2011

CUTI, musim guru balik kampung dan pindah!


AGAKNYA guru-guru sedang buat apa masa cuti sekolah?  Kebanyakannya meninggalkan rumah sewanya atau rumahnya sendiri untuk balik ke kampung halaman tempat dirinya dilahir dan dibesarkan.  Memang kebanyakan guru adalah kaum perantau dari sebuah negeri lain.  Jadi, bayangkan berapa banyak guru yang bertugas di Pahang, Terengganu, Perak dan Selangor yang sedang berada di tanah leluhurnya, Kelantan!

Kebanyakan guru yang berasal dari Kelantan putus harap untuk bertukar ke negeri asalnya, kerana ketiadaan tempat bertugas di sana (kouta di Kelantan sudah cukup).  Maka jadilah mereka penghijrah yang kekal di negeri barunya.  Ini pengalaman saya bertugas di Pahang selama lebih 15 tahun.  Malah, tanpa tinggal di Kelantan pun, cukup dengan bergaul dengan rakan-rakan guru kelahiran Kelantan saya sudah petah ‘kecek kelete’.

Hujung tahun ini sibuk kepada guru-guru yang berpindah sama ada dalam daerah, negeri atau antara negeri.  Berpindah tempat kerja sudah menjadi budaya yang sinonim dengan guru.  Kalau sudah lama, mantan anak murid akan bertanya ‘Cikgu sekarang mengajar di mana?’  Ini menunjukkan masyarakat luar pun faham yang guru-guru seperti kaum nomad yang berpindah-randah.

Punca berpindah selalunya ialah factor keluarga.  Guru perempuan yang berkahwin semasa musim cuti sekolah ini pasti sudah ada perancangan berpindah kerna mengikut suaminya yang kebanyakan tidak sama daerah.  Ada guru-guru yang sudah lama bertugas pun berpindah atas sebab keluarga, iaitu menjaga ibu bapa yang sudah renta.

Ada guru dipindahkan kerna naik pangkat!  Namun bukan semua yang dalam ‘situasi’ ini melonjak gembira kerana naik pangkat.  Ada yang terpaksa menolak kerna dipindahkan ke tempat jauh dan ‘rugi sosial’ berkaitan keluarga dan pendidikan anak-anak.  Kalau guru yang dipindahkan ke tempat lain dan jauh pula tanpa perubahan pangkat dan gaji…., selalunya mereka pandang sebelah mata walaupun perpindahan itu dimaklumi sebagai urusan kerja!  Apa nak buat, guru pun manusia biasa, termasuk kategori Pengetua!

Apa pun, bersyukurlah kerna menjadi guru!  Cerita lain kali mengapa guru wajib bersyukur kerna itu.

Rabu, 21 September 2011

SEBAB tidak ambil peperiksaan


APAKAH sebenarnya yang menyebabkan seorang Guru Besar di Sarawak tidak membenarkan tiga orang murid menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR)?  Hanya satu jawaban iaitu Guru Besar itu mahu menjaga peratus kelulusan yang baik dalam UPSR sekolah yang ditadbirnya!  Kemudian ditanya untuk apa?  Jawabannya untuk menjaga nama baik dirinya sebagai Pentadbir sekolah yang berpeluang mendapat kenaikan pangkat atau hadiah-hadiah untuk sekolah oleh pihak Kementerian Pelajaran. 


Saya percaya sistem peperiksaan yang ada, konsep anugerah untuk Guru Besar / Pengetua dan pengiktirafan terhadap sekolah-sekolah harapan serta cemerlang sangat mempengaruhi warga guru berfikir untuk mendapatkan sanjungan daripada pihak atasan.   Yang berlaku di sebuah sekolah kebangsaan itu bukan kes kecil, tetapi satu rahsia umum dalam kalangan para pentadbir sekolah kebangsaan dan menengah kebangsaan.

Setiap kali selesai peperiksaan, guru akan membuat kiraan berapa peratus yang lulus dan gagal.  Semakin banyak peratus gagal, bukan sahaja Pentadbir di sekolah akan meminta guru berkenaan memberi jawaban, malah pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah juga akan berbuat demikian.  Dalam amalan bersekolah dan persekolahan, pentadbir di sekolah dan seterusnya sehingga ke pihak Menteri Pelajaran berpakat untuk melihat masalah keciciran murid hanya disebabkan oleh faktor guru yang mengajar.  Faktor murid yang tidak dapat menerima pelajaran misalnya, haram disebut atau dibahaskan.  Maksudnya di sini, hantarlah 100 murid yang langsung tidak mempunyai apa-apa pengetahuan asas, pasti guru dapat mengajarnya dalam tempoh yang ditetapkan.  Jika dalam tempoh itu masih ada murid yang gagal, bererti guru berkenaan tidak pandai mengajar murid.

Oleh kerana nilaian sebenar dalam pendidikan hari ini berdasarkan keputusan peperiksaan murid, maka pemikiran untuk mendapatkan peratus lulus yang tinggi bagi setiap tahap peperiksaan sudah seperti menjadi akidah baru guru yang mengajar.  Untuk selamat daripada disoaljawab hasil pengajarannya, perlu direkodkan apa saja yang terbaik.  Untuk memuaskan hati pegawai atasan, buatlah apa saja asalkan hasil di atas kertas menunjukkan peratusan positif yang tinggi.

Dengan peratusan positif yang tinggi, seseorang guru berpeluang mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.  Guru Besar dan Pengetua yang berjaya memberikan hasil peratusan tinggi bagi peperiksaan di sekolahnya, berkemungkinan akan dinaikkan pangkat atau mudah untuk memohon pindah dari sekolah pedalaman ke bandar. Pendapatan akan ditingkatkan!  Oh ya, mereka juga bimbang namanya akan disebut-sebut sebagai pentadbir atau pegawai pelajaran yang gagal atau lemah dalam kalangan warga pendidik.

Maka, berlakulah rayuan kepada murid agar tidak hadir dalam peperiksaan atau tidak membenarkan murid tertentu menduduki peperiksaan.  Alasannya mudah, tanpa murid yang lemah mengambil peperiksaan, peratus lulus mata pelajaran pasti meningkat dan pujian akan datang. Yang penting tidak ada soal jawab oleh pihak atasan.

Ohoo…bukan sahaja di sekolah harian biasa berlaku pemikiran itu, malah di sekolah ternama atau terbilang.  Anak saya bersekolah di sebuah sekolah asrama penuh yang terbilang (ye ke?), selain mengambil semua subjek untuk PMR, masih diwajibkan belajar bahasa asing iaitu bahasa Perancis (atau mana-mana bahasa lain).  Jika pelajar di sekolah lain mereka menduduki peperiksaan untuk bahasa berkenaan, di sekolah berkenaan tidak. Belajar wajib tetapi tidak didaftarkan untuk menduduki peperiksaan.  Mengapa? Jawabnya Pengetua sekolah berkenaan takut atau bimbang tidak semua mendapat Gred A dalam subjek bahasa asing itu.  Penat dan merah telinga nanti pegawai Kementerian pelajaran berleter itu dan ini. 

Rabu, 14 September 2011

APABILA Bahasa Inggeris wajib lulus SPM


ADA pihak yang kaget apabila Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan mungkin subjek Bahasa Inggeris akan menjadi wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.  Inilah kali pertama dalam sejarah SPM bahasa Inggeris akan menjadi subjek wajib lulus, sedangkan permintaan ke arah itu sudah lama kedengaran.  Sebelum ini Menteri Pelajaran itu juga mengumumkan subjek Sejarah menjadi subjek wajib lulus seperti subjek Bahasa Melayu.


Apabila ada sekatan-sekatan tertentu untuk mendapatkan SPM, maka konsep SPM sebagai sijil terbuka yang diumumkan dahulu kian hilang.  Asalnya juga pelajar tidak dihadkan mengambil jumlah mata pelajaran, sehingga ada pelajar yang mengambil lebih 20 mata pelajaran.  Kemudian Kementerian Pelajaran mengehadkan jumlah pengambilan mata pelajarannya.

Dengan tiga subjek wajib lulus, kemungkinan pelajar gagal dalam SPM pasti bertambah berbanding dengan peraturan asal sekarang yang hanya mewajibkan lulus Bahasa Melayu (sekurang-kurangnya) untuk mendapat sijil peperiksaan SPM.  Apabila menteri berkenaan mengumumkan subjek Sejarah wajib lulus, kumpulan pendidikan bukan Melayu dan ibu bapa mereka melahirkan kebimbangan kemungkinan anak mereka akan gagal dalam SPM kerana peratus lulus subjek Sejarah peringkat nasional antara 65-68 peratus.

Kini apabila menteri mengumumkan wajib lulus Bahasa Inggeris pula, yang tersentak dan gelisah ialah ibu bapa Melayu khasnya di luar-luar bandar yang kadar lulus subjek itu selama ini sangat rendah.  Mudah mereka membayangkan keciciran besar anak-anak Melayu dalam SPM hanya kerana gagal Bahasa Inggeris sedangkan subjek lain mereka boleh lulus dengan baik.

Agaknya mengapa Menteri Pelajaran (dengan kuasanya) mengumumkan Bahasa Inggeris subjek wajib lulus.  Rasanya tidak ada kepentingan lain ialah untuk memaksa semua pelajar menekuni pelajaran bahasa antara bangsa itu sejak awal.  Keputusan ini pun seperti sudah dijangka apabila Kementerian Pelajaran mengambil tindakan berani menghentikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sedangkan sebelumnya kerajaan dilihat sangat bertegas dalam pelaksanaannya.  Selain itu desakan Page (NGO yang mahu PPSMI dikekalkan) juga sangat mempengaruhi keputusan baru ini.  Soal politik memanglah, pendidikan di negara ini sentiasa menjadi bahan berpolitik sejak dahulu!

Ini akan menjadi satu desakan kepada semua pihak, khasnya yang selama ini agak perlahan dalam membangunkan kecemerlangan Bahasa Inggeris. Tentulah Kementerian Pelajaran mempunyai strategi untuk mempertingkatkan hasil pengajaran dan pemelajaran bahasa Inggeris dalam kalangan murid-murid khasnya di kawasan luar bandar.  Namun bersediakah semua pihak yang terlibat melakukan satu revolusi pendidikan berkaitan dengan dasar baru dalam SPM ini?