ODAH si pemandu bas

Cerpen ini disiar dalam akhbar Siasah 1-7 April 2011
Oleh: NURUL MUBIN SIRAJ                                                                                      

MULANYA aku tidak kisah sangat siapa dia yang membawa bas sekolah itu.  Cuma yang aku tahu bas itu akan mula dihidupkan enjinnya pada setiap pagi sewaktu aku balik dari masjid setelah solat subuh.  Membawa bas sekolah sama seperti budak-budak yang bersekolah juga, mesti bangun pagi dan balik kerja sama dengan masa balik budak sekolah. Begitulah fikirku selalu mengenai pemandunya.
     “Dia bukan orang sini, datang dari Johor Bahru.” Kata isteriku suatu hari.  Agaknya isteriku telah berkenalan dengan pemandu bas sekolah itu kerna dia tinggal tidak jauh dari rumah kami.  Tetapi yang menyebabkan isteriku mengetahui asal usulnya tentulah sebab anak perempuan kami yang sekolah rendah darjah empat itu.
     “Wah macamlah pekan Sabak ini bandar besar yang menjadi tempat orang cari makan.”  Aku membalasnya. Pekan kecil ini bukan tunjang ekonomi pun, malah jumlah penduduknya tidak banyak berubah.  Untuk tahu perkembangan penduduk sesebuah kawasan boleh dilihat daripada perkembangan jumlah sekolahnya. Di Sabak, dua sekolah menengah iaitu SMK Tunku Abdul Rahman Putra dan SMK Ungku Aziz itu sajalah sejak setengah abad yang lalu.  Wah, jika selama ini semua anak muda Sabak keluar daerah untuk mencari peluang ekonomi, ini kali pertama aku mendengar orang dari bandar raya berhijrah ke pekan kecil untuk mencari kehidupan!
     “Sekarang dia menyewa rumah bersama cikgu-cikgu bujang.  Bulan enam nanti dia nak bawa emaknya dari JB ke sini pula.”
     Amboi, kalau sampai nak bawa keluarga, tentulah jauh lagi masa depannya di sini.  Tapi aku pendamkan ayatku itu, maklumlah ayat-ayat yang mendatar saja pun kalau diucapkan oleh seorang lelaki mengenai perempuan, boleh saja ditafsir lain.
     “Baguslah begitu, kerja akan lebih sempurna apabila keluarganya ada bersama.”  Aku membalasnya bersahaja, tidak menampakkan minat yang mendalam.  “Jadi bila Adah akan ke sekolah naik bas?”
     “Dia setuju bila-bila pun, tapi eloklah kita mulakan bulan dua nanti.  Senang urusan pada awal bulan.”
     Begitulah, jadi sejak bulan Februari anak perempuanku mula naik bas sekolah setelah abangnya yang selama ini mengambilnya pada waktu pulang mula bekerja.  Bab naik bas ini, Adah pernah ada pengalamannya tersendiri sewaktu bersekolah di Kuantan.  Kerana kali pertama naik bas dia tersalah naik bas sekolah, dan lupa pula jalan pulang ke rumah ‘maknya’, yang mengasuhnya sejak kecil.  Walaupun waktu itu minggu pertama bersekolah di darjah satu, Adah tidak cemas apa-apa malah meminta pemandu bas menghantarnya ke pusat membasuh kereta yang diusahakan oleh ‘abahnya’. Dari situ dia selamat, cuma sesiapa yang mendengar ceritanya pasti akan cemas!
     “Adah dah besar, tak mungkin tersalah bas lagi seperti dahulu.”  Isteriku memberi keyakinan kepadaku, seperti tahu apa yang bermain dalam kepalaku.
     “Ya,” jawabku sepatah.  Kami berharap Adah akan selamat pulang ke rumah maklongnya sementera menunggu kami pulang bekerja. Ya, walaupun aku hanya bekerja di desa, tetapi sukar juga untuk menepati waktu menjemput Adah pulang. Kerja mempunyai disiplinnya sendiri yang sukar untuk dikompromikan dengan yang lain.  Ada orang kata kerja di desa, tidak ada siapa yang bising jika hendak keluar masuk ke kebun sesuka hati.  Itu kata orang, namun bagiku tidak kerana apa kerja pun mesti ada disiplin kerjanya sendiri.
     “Ayah, bila kita nak belanja makcik Odah makan malam?”  Suatu hari Adah bertanya kepadaku.  Agaknya Adah dan Odah di pemandu bas itu sudah mesra sehingga boleh ada tawar-menawar mengenai makan malam.
     “Nak makan malam di mana? Bukan ada restoran besar atau hotel di tempat kita ini.”  Aku menduga kehendak anak perempuanku.  Memang dia agak rapat denganku, suatu yang kontradik semasa zaman aku menjadi anak kecil sepertinya.  Dahulu, aku lebih rapat dengan ibu berbanding ayah.  Mungkin saja faktor  ekonomi dan sosial masa itu menyebabkan banyak anak kurang rapat terhadap ayahnya.
     Tidak dapat menjawab pertanyaanku, Adah berlari mencari ibunya di dalam bilik.  Tentu dia mengadu keinginan untuk makan bersama si pemandu bas itu.  Ah, biarlah isteriku yang meladeni Adah dalam hal ini.  Seperti kukatakan tadi, hal yang berkaitan dengan Odah si pemandu bas, biarkan diuruskan oleh orang perempuan juga.
     Isteriku datang ke ruang tamu.  Aku merendahkan akhbar yang kubaca untuk lebih melihat hal yang akan dibawa.  Adah pula terus menempel di sisiku.  Aku mengesot duduk ke kiri sedikit.
     “Odah tu janda.”
     Opocot!  Aku sedikit kaget tetapi tidak begitu kelihatan oleh isteriku.  Biasalah, aku seperti lelaki lain yang ada perasaan jika disebut hal perempuan, anak dara atau janda.  Sebenarnya perkataan janda tidaklah membawa makna apa-apa, tetapi yang menyebabkan rasa tersentap sedikit ialah si pemandu bas itu. Ya, Odah janda?
     “Tidak mengumpatkah bercakap hal dia?”  Aku cuba ikhlas melontarkan sesuatu pertanyaan, namun di sudut hati kecilku kepingin tahu juga sejarah hidup si pemandu bas yang kerap bertopi dan berkaca mata hitam itu.
     “Suaminya mati akibat barah paru-paru.”  Kata isteriku tanpa menjawab pertanyaan asalku.
     “Ayah kan suka minum kopi janda.  Bila kita nak makan malam dengan makcik Odah?”  Adah pula memintas perbualan antara aku dan isteriku.
     “Hisyyy!  Tanya ibu.”  Aku benar-benar menyerahkan urusan itu kepada isteriku.  Memang kuharap apabila dia duduk di hadapanku sore ini, dia akan memaklumkan saja apa keputusan permintaan Adah.
     “Nantilah ibu tanya makcik Odah, minta dia setuju bila boleh makan bersama.”  Akhirnya itulah keputusannya.
     “Okey, jangan tak jadi.”  Adah berjalan ke ruang dalam mahu menonton televisyen, mencari rangkaian kartun dalam Astronya.
     “Kasihan anak-anak dia.”  Aku memancing ingatan isteriku terhadap cerita Si Odah yang dikatakan berstatus janda.  Tiba-tiba aku mahu menarik balik ayat itu kerna selama ini yang kutahu Odah tinggal bersama cikgu-cikgu bujang.  Jika berkongsi tinggal dengan orang bujang, mestilah tiada anak.  Tetapi tadi kata isteriku, ibunya masih ada di Johor Bahru, jadi mungkin saja anak-anaknya masih bersama neneknya.
     “Anak dia juga sudah meninggal dunia.”
     “Inna lillah…”
     Jeda. Suasana tiba-tiba sepi, bagai menghormati malaikat melintasi ruang tamu!  Aku tidak tahu untuk meneruskan ayat atau sedang menunggu ayat-ayat seterusnya oleh isteriku.  Aku mengangkat muka memandang wajah isteriku, juga masih kosong.
     “Itulah orang lelaki…”  Kata-kata isteriku terhenti tanpa kutahu kesudahannya. Namun ayat itu bagai satu keputusan untuk menyalahkan kaum lelaki.  Ah, bukan sukar menduga bahasa kaum perempuan. Nadanya saja aku sudah dapat menebak kesimpulan yang masih tersimpan rapi dalam mindanya.
     “Belum tentu semua disebabkan lelaki…”  Aku pula menggantung ayat, seolah-olah mauduk perbualan kami tadi sempurna sudah.  Namun sebenarnya aku pantas mempertahan diri citra lelaki yang mula tampak buruk di mata seorang perempuan.  Entah apa isu sebenarnya, aku tidak pasti.
     “Bayinya juga meninggal dunia kerana barah.”  Akhirnya terlepas ayat sedih itu perlahan-lahan. Perempuan mana sekalipun apabila menyebut soal anak dan kematian, pasti naluri keibuannya menjadi sayu.
     Tetapi mengapa kematian bayi itu dikaitkan dengan persepsi buruk terhadap lelaki?  Aku menyimpan ayat terbaik ini.  Selalunya isteriku akan berhenti melafazkan bait-bait kalimat jika perasaannya terganggu, dan aku pasti ada penjelasannnya lagi setelah ini.
     “Warisan ayahnya, seorang perokok tegar.”  Nah, itulah punca kematian seorang bayi.  Dan inilah kali pertama aku mendengar seorang bayi mati kerana perbuatan ayahnya yang merokok.  Alah, mungkin ini alasan yang sengaja diberikan oleh Si Odah itu kepada isteriku untuk menjaga imej baiknya sebagai seorang perempuan.  Yalah, perempuan sekalipun memang mengharap kesempurnaan hidupnya bersama lelaki, namun tetap tersimpan sebutir peluru untuk menghukum dunia lelaki!
     Aku kurang berminat mengenai persepsi atau andaian untuk menyimpulkan sesuatu perkara.  Walaupun aku tidak bersekolah tinggi seperti isteriku, bukanlah susah untuk menentukan sesuatu perkara berdasarkan fakta yang sebenarnya. 
     Akhirnya kami tiga beranak bertemu Si Odah pemandu bas sekolah itu untuk makan malam di tepi  sebuah resort.  Itulah satu-satunya sebuah resort di Sabak yang terletak di tepi sungai.  Namun Sungai Bernam yang menjadi mercu tanda kewujudan pekan Sabak ini tidak pula boleh dibanggakan, airnya sentiasa keruh dan barangkali akan terus keruh sehingga hari akhir bumi akan kiamat!
     “Tak kan nak makan mi goreng saja.  Berapa lama dah mendesak-desak hendak makan bersama makcik Odah.”  Aku memberi pendapat kepada Adah yang sudah duduk di sisi si pemandu basnya.  Dari gaya dia  duduk dan bercakap dengan si janda ini, aku perasan memang mereka berdua ini rapat dan mesra. Tentu ada sesuatu perkara istimewa yang melanda mereka berdua yang menyebabkan wujud hubungan istimewa ini. Mungkin suatu waktu nanti aku akan mengetahuinya.
     Aku memandang isteriku dengan bahasa isyarat.  Dia faham, lalu bercakap-cakap hal pesanan makanan dengan Odah.  Aku memandang si janda muda itu sekali-kala sahaja, dan kalau pun pandangan kami bertembung tidak ada bahasa tersembunyi lain yang bertanda. Syukurlah kepada Tuhan!
     Walaupun tempat makan ini bukan tempat makan terbuka seperti kebanyakan tempat, namun tetap menjadi pilihan orang juga.  Memanglah bagi orang yang ada jenama sedikit tidak akan makan sup tulang atau me rebus di restoran mamak Haziq atau di Restoran Thai Seafood sebelah dewan Tun Razak, mereka akan ke Café Club di sebelah Hayy Resort ini.  Sedikit istimewa.
     Sekumpulan anak muda yang baru turun daripada enam buah motorsikal besar juga berlabuh tidak jauh dari tempat duduk kami.  Emmm, macam tahu saja tempat ini agak eksklusif atau hendak menjaga status penunggang motorsikal kuasa tinggi?  Dua motorsikal itu memang aku kerap temui berkeliaran di daerah ini.  Ini petanda peningkatan taraf ekonomi desa.  Ya, aku sebut desa, bukan luar bandar.
     “Okey, boleh mula makan.”  Isteriku memberi petanda, seperti melepaskan satu pasukan konvoi jelajah berbasikal pula.  Itulah agaknya kebiasaan di sekolah terhadap pelajar-pelajarnya yang terbawa-bawa ke hadapan kami.
     Sambil aku mencicip Nescafe, aku melirik menu yang terhidang.  Wah, ikan kerapu bakar dan sup tomyam.  Harap-harap Adah tidak bercanda mengenai kegemaranku mengenai kopi janda.  Simpan dahulu, masa lain boleh disebut.  Aku tidak mahu ada yang terguris.
     Tiba-tiba aku melihat wajah tidak enak Odah.  Dia menepis sederetan asap rokok yang datang dari sekumpulan pemuda bermotorsikal besar tadi. 
     “Teruk bau asap rokok ini.”  Itulah ayat Odah untuk menjelaskan tindakannya.
     Aku mengangguk setuju.  Aku bukan perokok, dan selalunya akan terbersin berkali-kali jika benda alah ini terus menerobos masuk melalui lubang hidung. Adah juga menepis asap rokok dengan menggunakan kertas tisu yang dipegangnya.  Aku berdoa agar manusia yang melepaskan asap itu sedar dan faham masalah orang lain akibat perbuatannya.  Namun sedikit pandanganku ke arah sumber asap itu, tidak memberi harapan baik. Begitu sajalah.
     “Orang dah ketagih.” Kata isteriku pula.
     “Nikotin yang menyebabkan dia ketagih.”  Pintas odah perlahan.  “Selain nikotin banyak lagi bahan pelik dalam rokok, termasuk racun serangga, gas pencuci tandas dan tar jalan.”
     Ha, aku terlopong.  Setakat nikotin yang mencandukan penghisapnya memang aku maklum. Yang sampai racun serangga dan tar jalan dimasukkan dalam rokok, aku mula curiga. Betulkah si Odah ini atau hanya menyebutnya untuk menyokong tindakannya menepis asap rokok.
     “Rokok juga mengandungi methanol, bahan bakar pada roket. Amonia untuk membersih lantai, arsenic racun semut, termasuk hidrogen sinida untuk hukuman mati di penjara.”  Isteriku menambah fakta mengenai rokok.
     Aku terpana seketika. Jadi betullah kata Odah itu.  “Teruknya.”
     “Dan orang macam kita lebih teruk menerima akibat asap rokok sebab tidak ada penapis.  Semua boleh masuk ke paru-paru.”  Odah pula menambah bicara. Dia seakan bertambah berani apabila isteriku memberi butiran dalam rokok tadi.
     “Habislah, adik cepat mati nanti.”  Adah pula masuk campur, cepat membuat kesimpulan.
     Aku kaget apabila Odah bangun dari tempat duduknya. Dia berjalan ke arah anak muda di belakang kami.  Aku lihat isteriku juga kaget.
     “Minta maaf encik semua.  Boleh tak berhenti merokok di sini.  Saya tak tahan baunya.”  Aku mendengar Odah berkata begitu kepada anak muda berambut gondrong yang sedang merokok.  Adegan ini belum pernah terlihat dalam drama Melayu pun.
     Aku agak cemas, mungkin saja bisa berlaku apa-apa terhadap Odah.  Ketika aku mahu bangun, isteriku cepat menahan.  Dipegangnya tanganku. Wajah isteriku juga menampakkan rasa cemas.
     “Adik, pujuk makcik Odah duduk.”  Itulah ayat yang terpacul daripada isteriku.
     Ketika Adah memegang tangan Odah, aku terdengar salah seorang anak muda ketawa kuat kepada Odah.  “Itu kami punya pasal, hak kami nak isap apa.  Kalau tak suka boleh pergi tempat lain.”
     “Hei, cakap baik sikit ya. Hak saya untuk tidak diganggu!”  Suara Odah agak tinggi, tetapi dia termakan pujukan Adah untuk kembali ke meja makan kami.  Namun wajahnya jelas tampak keciwa.  Wajah bujur sirihnya yang dikelilimgi tudung berwarna pink sudah tidak seceria semasa dia mula sampai.
     “Minta maaf cikgu Nisa, bab rokok memang saya boleh hilang akal.”  Kata Odah sebaik sahaja duduk di kerusi asalnya.  Dia tidak lagi memandang ke belakang sebagai tanda marah.  Agaknya segala perasaan tidak puas hatinya tadi sudah dilepaskan.
     Begitulah, kami meneruskan makan malam dengan suasana yang tidak selesa.  Tidak banyak bicara dan senda.  Perasaan  indah untuk makan bersama akhirnya terbang melayang akibat asap rokok. Baki masa untuk makan seakan-akan hanya untuk menyempurnakan makan agar tidak membazir saja.
     Beberapa ketika kemudian, barulah aku tahu yang Odah memang mempunyai pengalaman hitam berkenaan rokok.  Suaminya sendiri mati akibat barah paru-paru.  Barah paru-paru memang kesan paling mudah kepada perokok.  Anaknya juga mati akibat barah yang terbawa sejak dalam kandungan lagi.
     Ya, baru aku faham mengapa Odah sangat sensitif terhadap asap rokok. 
     Lima hari sejak kejadian ‘serangan asap rokok’ aku menerima panggilan daripada isteriku.  Waktu itu aku berada di kebun Sungai Panjang. “Minta ambil adik di balai polis, sekarang.”
     Ha?  Siapa pun akan kaget menerima berita seperti itu.  Jelas ini bukan berita indah dalam hidup dan tidak boleh dijadikan senda gurau.  Kenapa sampai ada istilah balai polis?
     “Odah telefon. Orang lontar batu ke bas. Habis cermin depan pecah, jadi dia terus masuk ke balai polis.”
     Ya Rabbi! Ini baru betul-betul perang asap rokok!