Khamis, 31 Mac 2011

TS Taib Mahmud mahu terus jadi KM, fahamilah!


Ghadafi masih bertahan? Yalah, sebab tidak kedengaran berita yang dia dibunuh, menyerah diri atau letak jawatan pemimpin agung Libya.  Ghadafi  berkuasa 40 tahun sudah, pun masih tidak puas.  Hosni Mubarak, agaknya kerana ada penyakit yang kronik menyebabkan dia tak mahu berdegil.  Hosni baru saja 30 tahun berkuasa!

Dahulu Soeharto berkuasa 32 tahun, itu pun dikatakan sudah lama.  Dr Mahathir menjadi Perdana menteri selama 23 tahun, agaknya dia puas bertugas selama itu.  Salahkah Tuan Guru Nik Aziz yang baru 20 tahun meneruskan lagi kuasanya di Kelantan, untuk mengekori rekod Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Sarawak yang sudah 30 tahun?  Orang berkira-kira mungkin Tan Sri Abdul Taib akan tumbang seperti  Tan Sri Wan Mokhtar pada tahun 1999.  Tan Sri Wan Mokhtar berkuasa di Terengganu selama 25 tahun.

Alah, mana ada pemimpin yang dengan suka atau rela berundur daripada jawatannya.  Jangan melihat kepada pemimpin politik atau sesebuah negara, lihat juga perangai kebanyakan antara kita.  Berapa banyak guru yang cuba mengelak daripada dipindahkan ke sekolah atau daerah lain atas alasan-alasan tertentu?  Sudah kena pindah pun merayu pembatalan pindah.

Imam di masjid yang sudah tua kerepot pun masih sanggup menerima tawaran menjadi imam dan khatib, walhal suaranya pun sudah tidak berapa jelas.  Mengapa imam ini tidak menolak sahaja pelawaan untuk menjadi berkhutbah?  Tidakkah dia memahami bahawa tawaran itu sebagai ‘ajak-ajak ayam sahaja’?

Ada orang menyewa tanah bendang ayah saya bertahun-tahun.  Satu masa ayah saya mahu tanah itu disewa oleh orang lain (anak saudara sendiri).  Wah, penyewa yang asal berkeras tidak setuju dan seakan memaksa ayah menyewakan tanah kepadanya sahaja.  Tengoklah,  macamlah dia tuan tanah!

Apa semua itu?  Hal ini bermakna, apabila seseorang sudah selesa dengan keadaan dirinya, dia sukar untuk berubah, tambahan pula untuk memulakan kisah hidup baru.  Jadi, kalau TG Nik Aziz dan TS Abdul Taib masih mahu menjadi ketua kerajaan negeri, mereka sudah stabil dan aman dengan keadaannya.  Orang lain pun akan bertindak sepertinya jika berada di tempat itu.

Begitulah antara perangai kita, orang lain saja salah.

Selasa, 29 Mac 2011

TIDAK ada rasuah dalam pilihan raya!


PADA akhir tahun 1990-an dahulu saya pernah mengikuti satu mesyuarat jabatan kerajaan.  Dalamnya disediakan satu slot penerangan oleh pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR).  Sekarang ini bukan BPR lagi, sudah SPRM!  Penceramah BPR itu menerangkan mengenai takrifan dan contoh perlakuana rasuah dalam kakitangan awam.

Dalam sesi soal jawab, ada sahabat saya bertanya mengenai sumbangan kebendaan sewaktu kempen pilihan raya, terutama pilihan raya kecil.  Pegawai BPR itu menerangkan segala sumbangan itu, sekalipun disampaikan oleh orang yang memakai baju berlambang parti politik atau calon yang bertanding bukan dianggap sebagai rasuah. 

Habis mana yang ada elemen rasuah? Pegawai itu menerangkan lagi: Jika pihak parti yang bertanding ada mengeluarkan kata-kata seperti “jangan lupa masa mengundi pilih saya” sewaktu memberikan sumbangan kebendaan atau wang, barulah dikatakan ada unsur rasuah!

Begitulah teknikalnya undang-undang, amat berlawanan dengan budaya dan kefahaman semasa.  Kalau selama ini tidak ada apa-apa bantuan atau sumbangan, tetapi sewaktu kempen pilihan raya sampai tidak cukup tangan hendak membahagi-bahagi wang, belacan, berus gigi dan tuala wanita, apa maknanya?  Orang tua-tua sudah mengatakan, ‘kalau tidak ada apa-apa, masakan tempua bersarang rendah’.  Itu pemahaman budaya tetapi undang-undang menjadi kaku macam tiang konkrit!

Maka semua hendak berlindung di balik tiang-tiang konkrit, selamat daripada tuduhan makan atau memberi rasuah.  Agaknya dalam hati kecil, betulkah semua ini sah di sisi Allah. Itupun kalau masih ada cita-cita hendak menjadi orang beriman!

Ahad, 27 Mac 2011

APA seksi-seksi?


PAGI Ahad tadi, seperti biasa saya ke pekan untuk membeli keperluan harian dan membeli akhbar.  Sejak cerita seks terpacul, rasa malas hendak membeli akhbar sebab tak mahu anak kecil saya membaca dan berfikir mengenainya.  Terpandang satu akhbar yang tertera tajuknya ‘PALING SEKSI’.  Ini mestilah orang perempuan, mestilah tunjukkan dada atau pahanya.  Tidak ada bukti bergambar di sini, dah berlambak foto budak-budak perempuan beraksi demikian.

Kita patut ubah frasa ayat ‘paling seksi’ kepada PALING TERBUKA AURATNYA!  Tak apalah, ceritalah kehebatan perempuan itu, tapi tajuk besarnya mesti seperti yang saya catat.  Kita cuba gunakan istilah ‘terbuka auratnya’ untuk menggantikan istilah seksi.  Kalau kerajaan bertungkus-lumus membanteras penyalah gunaan dadah sehingga mengistilahkan ‘najis dadah’ tentu tidak salah kita memilih perkataan lain sebagai rasa benci kepada seksi itu.

Suka tak suka, dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 59 sudah jelas terpampang dan menjadi bacaan semua orang.  Suka tak suka, itulah ketetapan Allah kepada hamba-hamba-Nya.  Suka tak suka, kena ikut juga.  Maksud ayat itu: Wahai nabi, perintahkanlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu serta kaum wanita yang beriman supaya melabuhkan jilbab mereka bagi menutup tubuh (semasa keluar).  Cara begini lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai wanita yang mulia), dengan itu mereka tidak akan diganggu.

Rabu, 23 Mac 2011

PERGHHH! Suruhanjaya bebas untuk kaji filem lucah?


ISTIGHFARlah banyak-banyak, kerana berita-berita yang terjadi sangat menyesakkan dada.  Walaupun berita yang merebak busuk dan sangat menjengkelkan, patut dipulaukan saja.  Namun kita ada adik-adik dan anak-anak yang akan membesar ditengah-tengah merebaknya berita jelek sejelak tahi ayam!  Kerana kita ada generasi yang hijau dan terdedah kepada manipulasi berita, maka terpaksalah kita bekerja, mengajak mereka berfikir.  Semoga dengan ketajaman akal fikiran yang dipandu wahyu, manusia dapat meneruskan kehidupan amannya di tengah-tengah badai.


Politik negara kita memang ganas, tidak mengira siang dan malam. Ganasnya, berpanjangan dan dukacitanya dari kota hingga ke dalam hutan.  Sekarang tiada lagi debat politik mengenai urus tadbir negara.  Buatlah seberapa banyak pilihan raya untuk memilih pemimpin dan pembentukan kerajaan, debatnya ialah seks!

Gunakanlah akal yang diberikan Allah untuk menilai berita dan keadaan.

Pertama:  Jika kumpulan yang menguruskan tayangan filem lucah itu bertindak atas nama ‘kebenaran’ mengapa perlu merahsiakan nama-nama mereka.  Mengapa setelah nama-nama itu didedahkan oleh seorang yang berkaitan dengan mereka sebelum ini, barulah mereka memberanikan diri tampil di muka.  Siapa mereka untuk berasa takut?  Mereka bukan orang dari hulu atau anak muda yang naïf soal politik dan keselamatan.  Mereka adalah yang sering dilihat di serambi kuasa, yang dengan mudah mendapat jaminan keselamatan negara!

Kedua:  Dua orang yang mengaku menguruskan tayangan filem lucah mahu satu suruhan jaya dibentuk untuk menyiasat ketulenan filem itu.  Itulah yang saya  minta istighfar banyak-banyak!  Mereka (dan puaknya yang lain) masih belum pasti filem itu tulen atau palsu, jelas atau tidak lelaki itu adalah si fulan yang didakwa, tetapi telah mengedarkannya kepada awam.  Setelah maruah seseorang lunyai, baru meminta disiasat betul atau tidak filem itu!

Ketiga:  Malunya rakyat Malaysia.  Satu Suruhan Jaya (mungkin) akan dibentuk untuk mengkaji filem lucah!  Istighfarlah banyak-banyak!   Sudah tiada masalah lainkah yang begitu rumit dalam negara Malaysia yang perlu disiasat oleh satu suruhan jaya bebas, yang menggunakan wang pembayar cukai selain untuk mengkaji filem lucah?

Selasa, 22 Mac 2011

DNA: Siapa yang terbeban mencari bukti?


ANDAIKAN ceritanya begini: ANDA sedang berehat di rumah bersama ahli keluarga.  Tanpa diduga sepasukan polis telah menunjukkan waran tangkap kepada anda. Anda ditahan reman, disoal siasat kemudian didakwa di mahkamah majistret.  Di mahkamah anda didakwa merogol seorang warga asing.  Kes ini sebenarnya bermula apabila perempuan warga asing itu membuat laporan polis mendakwa dirinya dirogol.  Apabila seseorang membuat aduan atau laporan kepada polis mengenai kejadian jenayah, pihak polis  bertanggung jawab menerima laporan dan membuat siasatan. Polis akan menyerahkan hasil siasatan kepada pendakwa raya untuk pendakwaan.   Anda dituduh, namun menjadi hak anda menafikan tuduhan itu.  OK, siapakah yang terbeban mencari bukti untuk membuktikan anda benar-benar bersalah?  Anda sendiri atau pihak pendakwa?


Begitulah kes Anwar Ibrahim yang sedang didakwa oleh kerajaan (pendakwa raya) melalui Seksyen 377B Kanun Kesiksaan. Anwar dituduh meliwat seorang muda.  Anwar menafikan dalam mahkamah.  Oleh kerana Anwar menafikan tuduhan terhadap dirinya, maka menjadi hak beliau untuk berhujah supaya timbul keraguan tuduhan  terhadap dirinya.

Siapakah yang wajib membuktikan Anwar bersalah?  Anwar sendiri atau pihak pendakwa?  Pihak pendakwa yang menuduh Anwar melakukan perbuatan tidak bermoral, maka beban membuktikan itu ditanggung sepenuhnya oleh pendakwa. Anwar tidak terbeban memberi apa-apa bukti bawa dirinya tidak bersalah, lagi pula sekarang baru dalam proses pendakwaan.  Hakim belum membuat keputusan supaya Anwar 'membela diri'.

Prinsip beban pembuktian oleh pihak pendakwa wajar diketahui oleh mana-mana pihak.  Kes ini pun sebagai satu pendidikan undang-undang.

LAGI-LAGI bahan seks dalam politik


DENGAN meletakkan video lucah sebagai bahan berpolitik, maka tampak cara berpolitik di Malaysia kian bobrok dan menjelekkan.  Sejak tahun 1998, soal-soal yang sebelum itu dianggap ‘tabu’ untuk perbincangan umum, mulai tahun itu yang tabu itu bukan tabu lagi.  Ahli-ahli politik yang berjanggut atau tidak, bertudung atau tidak sudah tidak segan silu menyebut perkataan air mani, bulu, tilam, rodok, jubur, batang dan sebagainya.  Media menjadi alat menyebarkan aksi baru ahli-ahli politik sehingga anak-anak yang masih hingusan biasa juga menyebut perkataan-perkataan itu.  Konon-kononlah ahli politik yang berkuasa menasihati remaja dan anak muda supaya berhemat tinggi, bersopan santun dan berbudi pekerti.

 Anwar terpaksa membuat penafian soal video seks

Ya, betul politik itu permainan ganas dan kasar.  Dalam berpolitik, lupakan sajalah sopan santun dan kempen budi bahasa anjuran kerajaan.  Kebanyakan ahli politik akan bertalam dua muka, satu wajah yang menampakkan wajah manis dan penyayang kepada masyarakat dan satu lagi berwajah bengis dan menyeramkan lawan-lawan politiknya.  Di hadapan masyarakat, dia menjelma sebagai malaikat yang tidak ada cacat celanya, berhadapan lawan politiknya dia menjadi iblis yang tidak perduli etika, dosa dan pahala.

Sebenarnya inilah sebagian cermin kita rakyat Malaysia.  Pendidikan diwajibkan, dibuka sekian banyak kolej dan universiti dengan harapan rakyat mendapat pendidikan tinggi agar menjadi manusia bertamadun, tetapi hasil yang diperoleh masih ciput!  Betul yang menjadi syaitan melakukan kerja-kerja kotor dalam politik itu hanya seorang dua, tetapi yang menjaja dan melebarkan kekotoran itu sudah membiak.  Perkataan-perkataan kotor, cerita-cerita fitnah dan pelbagai rupa kejelekan mudah pula diterima oleh orang ramai.  Orang ramai itulah yang dimaksudkan golongan yang terhasil daripada pendidikan tinggi!  Nama saja berpendidikan, tapi soal kebejatan dan niliai buruk mudah saja diterima.  Jika orang ramai menolak kerja-kerja kotor dalam politik, ahli politik akan meminimumkan kerja kotornya sebab tiada pasaran.

Dari satu sudut, kejelekan ini berpunca daripada sistem politik itu sendiri.  Sistem politik yang membuka peluang kepada sesiapa juga bercakap dan berusaha mempengaruhi orang lain menyebabkan timbul pelbagai idea yang bersih dan kotor untuk mencapai matlamat politik itu.

Sudut lain ialah kelemahan mental masyarakat khasnya Melayu.  Masyarakat ini tampaknya sangat teruja dengan cerita dan bahan seks.  Lihatlah dalam perniagaan, untuk melariskan sesuatu produk, maka akan dicatat ‘meningkatkan daya seks’.  Oleh kerana minda masyarakat dikuasai oleh seks, maka bahan politik itu pun mestilah bahan-bahan seks.  Maka muncullah sekian banyak video seks yang dikatakan dilakonkan oleh ahli-ahli politik kita.

Apa pun semua itu masih memualkan dan menjijikkan minda yang bersih dan indah.

Isnin, 21 Mac 2011

MINTA undi, tabur janji


GENDANG pilihan raya di Sarawak sudah dipalu, maka para pejuang politik akan turun merendahkan diri dan menggambarkan mereka seperti malaikat yang suci untuk menunaikan semua kehendak rakyat jelata.  Kalau rakyat sudah ‘bengap’ tidak tahu hendak meminta apa-apa, maka para pejuang itu sendiri yang akan menyenaraikan janji bagai di syurga. Semuanya bisa diatur, asalkan rakyat jelata yang hina dina memilih dirinya sebagai Wakil Rakyat.

Maka berjanji manislah semua calon itu nanti, seperti yang sudah-sudah.  Setiap ada pilihan raya, orang-orang politik berjanji.  Sedudah menang dan memegang kuasa kerajaan, mereka juga melihat banyaknya wang hasil negeri dan negara, belum tentu apa yang dijanji ditunaikan.  Itu bukan fitnah atau diada-adakan. Dalam dunia internet, janganlah cuba memijak bumi seperti tahun 1960-an.


Dalam akhbar yang dikuasai parti BN, Berita Minggu 20 Mac 2011, tanpa disedari akhbar itu telah mengeluarkan coretan ahli Facebook YAB Perdana Menteri.  Luahan itu menceritakan calon BN yang sudah memenangi pilihan raya juga lupa janjinya.  Kata Yazid Kalbi, janji sudah berkali-kali ditabur, tidak juga ditunaikan.  Ertinya bukan calon pembangkang saja yang merepek membuat janji, malah calon BN juga mengigau membuat janji.  Pembangkang tidak menunaikan janji sebab kalah, tetapi calon BN yang menang juga berwatak seperti calon yang kalah pilihan raya.

Sebenarnya pilihan raya merupakan salah satu  medan menipu rakyat!

Ahad, 20 Mac 2011

BILAkah SPR mahu seperti FAM atau FIFA?


DI PERINGKAT negeri, Menteri Besar atau Ketua Menteri diberi kuasa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala di peringkat Persekutuan Perdana Menteri yang selalu melakukannya.  Sama ada kuasa ini merupakan hak berdasarkan undang-undang atau hanya amalan sejak zaman baru merdeka dahulu, adakah tindakan ini mencerminkan tindakan yang adil?


DUN Sarawak akan dibubarkan Isnin (21 Mac 2011) setelah Ketua Menterinya menghadap Yang Dipertua Negeri untuk memohon perkenan pembubaran DUN.  Siapa KM itu, adakah dia bukan pemain politik dalam pilihan raya berkenaan?

Untuk memudahkan faham hal adil atau zalim, buatlah perbandingan dengan perlawanan bola sepak.  Jika dalam politik senang-senang berlaku tunjuk perasaan dan rusuhan, hal yang sama boleh berlaku dalam sukan bola sepak kerana perasaan tidak puas hati juga.  Di peringkat Piala Dunia, FIFA merupakan badan yang mengendalikan perlawanan-perlawanan bola sepak.  FIFA berkuasa menentukan jadual pertandingan, pemilihan pengadil dan peraturan-peraturan lain.  Mana-mana pasukan bolasepak hanya akur dengan ketetapan FIFA. 

Dalam pilihan raya Malaysia, dikatakan SPR adalah pengendali semua pilihan raya. Suruhanjaya ini dikatakan bebas daripada belenggu politik kepartaian dan semua anggotanya dilantik oleh Yang Dipertuan Agung.  Kalau FIFA berkuasa menentukan semua hal bola sepak, SPR tidak ada kuasa menentukan pembubaran DUN atau Dewan Rakyat (DR).  Bayangkan jika ketua pasukan Jerman diberi hak menentukan tarikh perlawanan dengan pasukan Brazil, apa komen manusia penggila bola sepak?

Lihatlah ‘keadilan’ berpolitik di Malaysia. PM dan MB (KM) berkuasa memilih saat yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya, sedangkan mereka adalah ketua-ketua parti yang akan berlawan dalam pilihan raya!  SPR yang dikatakan bebas hanya menanti keputusan ketua-ketua parti politik yang memerintah ini untuk menentukan tarikh pilihan raya dalam tempoh 60 hari setelah pembubaran oleh ketua-ketua parti politik.  Sepatutnya SPR yang akan menghadap Yang Dipertuan Agong untuk memaklumkan pembubaran DR, bagi negeri menghadap Sultan atau Yang Dipertua Negeri.  Itu jika benar-benar SPR badan bebas yang tidak dicucukhidung oleh parti politik!

Kemudian siapa yang menentukan sempadan pilihan saya?  Di Malaysia, bukan SPR yang mengaris atau memadam sempadan kawasan pilihan raya, tetapi parti politik yang memerintah. SPR hanya menaip dan melukis peta kawasan yang dilukis oleh pelukis-pelukis peta parti politik yang memerintah.  Lihat pindaan atau persempadanan baru kawasan pilihan raya terakhir (selepas PRU 1999).  Contohnya di Pahang, ada Ahli Parlimen yang hanya menang 241 undi dalam PRU 1999, dan menanda kawasan baru dengan memasukkan kawasan tentara yang menjamin undi pos kepadanya. Jika tahun 1999 di kawasannya ada tiga DUN, dia menambah kepada empat DUN untuk tahun 2004. Nah pada PRU 2004, dia menang majoriti lebih 10,000!  Di Selangor pun ada Adun yang memasukkan kawasan bandar (banyak pengundi bukan Melayu) sedangkan asalnya DUNnya jauh di pedalaman.  Nah, semua urusan memetakan kawasan pilihan raya dilakukan orang politik yang jelas mahu menang, dan SPR hanya tukang coret-coret, kemudian dikatakan ini kerja SPR!  Adil?  Budak sekolah pun boleh kata penipu atau tak aci.

Adakah Pakatan Rakyat akan membuat reformasi keadaan ini?  Selama ini bagi negeri-negeri yang diperintahnya juga tidak menunjukkan MB atau KMnya memberikan hak kepada SPR.  Mereka juga mewarisi sistem yang diamalkan oleh BN.  Tunggulah jika PR memerintah satu Malaysia, adakah SPR akan diberi hak bebas dan adil sebagaimana harapan nama keadilan atau terus menggunakan SPR untuk kepentingan politiknya pula.

Jumaat, 18 Mac 2011

PAS dan judi: INI BERITA TERBALIK!

Kerajaan Kelantan yang diterajui oleh Parti Islam Se-Malaysia (Pas) membuat kenyataan untuk menilai semula pengharamannya terhadap perniagaan judi!  Bukan Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang mengumumkan, tetapi setiausaha akhbarnya.  Nampak berat sangat TG Nik Aziz untuk menerima keadaan ini.  Maklumlah berita terbalik!


Sejak Pas menerajui kerajaan Kelantan bermula 1990, kerajaan itu begitu konsisten mengenai pengharaman apa saja isu perjudian, sama ada judi yang memang bertujuan untuk meruntuhkan institusi keluarga atau judi yang bertujuan untuk mengumpul dana membantu orang miskin.  Loteri kebajikanlah!  Dalam kempen-kempen politik untuk membedakan Pas dan Umno, judi telah dijadikan kayu ukur atau pemisah seperti hitam dan putih.

Salut kepada Pas dalam isu judi yang membuat Umno menjadi tikus.  Malah kejayaan Kelantan bebas judi selama 20 tahun dijadikan salah satu penanda aras slogan ‘Membangun Bersama Islam’.  Harap-harap berita terbalik berkenaan judi dan Pas ini akan ‘berdiri betul’ semula: Pas berjaya terus haramkan aktiviti perjudian.

Mengapakah Pas yang begitu fanatik terhadap pengharaman judi, hari ini ‘terketar kepala lutut’?  jawabnya ialah perkongsian kerja  dan matlamat politik dengan parti yang tidak pernah menerima Islam sebagai satu jalan penyelamat: DAP dan PKR!  Harapan Pas bergabung dalam Pakatan Rakyat (PR) ialah untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan melaksanakan lebih jelas nilai-nilai Islam dalam kehidupan masyarakat majmuk.  Pas berkali-kali mendawa bahawa DAP yang didominasi bukan Islam (dan ada rekod secara terbuka melawan sistem Islam) lebih terbuka mengenai Islam, berbanding dengan Umno dan MCA.  Sebagai modal politik juga, Pas kerap menuduh Umno gagal memberi pemahaman Islam terhadap MCA. Lihat kes calon Pas tidak bersalam dengan lelaki (bukan mahramnya) dalam PRK Tenang, Johor.

Umno selama ini menikus dalam isu judi kerana parti itulah yang awal-awal menyerah kalah terhadap tuntutan bukan Islam.  Umno tidak meletakkan dasar al-quran dan sunah sebagai paksi perjuangannya, maka dengan mudah diasak oleh rakan-rakan politik bukan Islamnya.  Pas yang jelas membawa obor Islam juga diasak oleh rakan-rakan bukan Islam, dan nampaknya sedang goyah. Ini menunjukkan parti-parti Melayu Islam yang sepatutnya menjadi tauke besar dalam politik dan penggubalan dasar tidak mempunyai kekuatan.  Inilah malangnya apabila umat Islam yang hanya 60 peratus tetapi berpecah dua, dan akhirnya kedua-dua parti dipandang sebelah mata oleh parti-parti bukan Melayu/Islam.

Kalau pun Pas dan Umno bergabung untuk menghadapi asakan parti-parti bukan Melayu-Islam, belum tentu Pas-Umno boleh berdiri kukuh.  Untuk sesuatu kaum atau bangsa berdiri kukuh dengan prinsip perjuangan ialah dengan kekukuhan bersepadu politik, ekonomi dan sosial.  Puncanya ialah kekalahan ekonomi dengan bukan Melayu.  Orang bukan Melayu (Islam) bukan melihat roh perjuangan agama, mereka lebih melihat angka ekonomi.  Kalau orang Melayu menguasai ekonomi, barulah mereka akan melihat dengan kedua-dua mata.  Malangnya pemimpin-pemimpin politik Melayu kita tidak bersungguh-sungguh membangunkan ekonomi Melayu.  Malah nyawa politik sesetengah pemimpin politik Melayu juga ditanggung oleh ekonomi bukan Melayu.  Ops, bukan rahsia kan?

Jadi begitulah, kita sedang di…….

BERKEBUN menjaga habitat alam


KADANG-kadang diakui, pemikiran dan tindakan saya nbanyak berada dalam kandang minoriti.  Saya tidak ada tanah kebun, yang selalu saya uruskan ialah tanah ayah dan ibu. Kedua-dua mereka sudah tua renta, maka sayalah galang gantinya.  Kebun-kebun jiran tetangga tampak licin tidak punya rumput kerana diracun sehabis-habisnya. Agaknya, hasil panen setiap kali berganda-ganda sebab semua baja dalam tanah disedut oleh pohon-pohon sawit sahaja.

 telur ayam hutan yang kerap ditemui di kebun

Saya menuruti pesan ayah, iaitu tidak meracun kebun sebaliknya mengetam rumput.  Oleh itu rumput-rumput masih menikmati kehidupan dan tampak hijau.  Memang agak cerewet melakukan kerja-kerja ini yang mesti dilakukan sekali setiap dua minggu.  Namun saya mengakui kehendak ayah, diterima dengan syukur.

Jika di kebun orang lain tidak ditemui lagi belalang dan ayam hutan, di kebun ayah sayalah bersarang makhluk Tuhan itu yang seakan kehilangan habitatnya.  Ya, saya mengerti…,  apa ertinya kebun jika tidak ada lagi kehijauan, kesegaran mata memandang dan menemui belalang, burung dan unggas lain?

Satu lagi, banyak orang tidak sadar bahawa tumbuhan hijau membekalkan karbon dioksida yang diperlukan dalam pernafasan manusia.  Memang pokok sawit lain itu pun punya proses fotosintesis, tetapi tumbuhan lain juga punya proses yang sama. 

Orang kerap berfikir, ini perkara kecil dan remeh-temeh!  Tak mengapalah kerana saya yakin janji Allah untuk amal yang sebesar zarah pun ada nilai di sisi-Nya.  Semoga yang saya lakukan atas nasihat ibu dan ayah dalam hal alam sekitar ada faedahnya, meskipun untuk semut-semut dan belalang hijau!

Khamis, 17 Mac 2011

HAK Anwar membela diri di mahkamah


YANG Berhormat Kulim Bandar Baru yang juga mantan peguam bela Anwar Ibrahim dalam blognya meminta Anwar berikan setitik darah untuk ujian DNA.  Kata Zulkifli Nordin ini, demi kebenaran.  YB ini samalah dengan wanita-wanita Umno yang menulis sepanduk meminta Anwar memberikan DNA untuk disamakan dalam satu DNA lelaki rahsia yang ditemui pada tubuh lelaki lain.


Tidak salah Zul dan teman-temannya yang wanita-wanita Umno itu.  Tetapi sebagai peguam yang pernah membela Anwar dalam kes liwat pertamanya dahulu, tidakkah dia mengetahui mengapa manusia Anwar dituduh bermukah dengan isteri orang, dibawa tilam dan bulu ke mahkamah yang satu dunia tahu, kemudian mahkamah mengatakan semua itu tidak relevan.  Apakah itu bukan permainan untuk menjatuhkan maruah seseorang!

Jika YB Zul berkedudukan seperti Anwar yang sangat menakutkan semua pihak dalam Barisan Nasional, saya yakin YB Zul juga akan menghadapi tribulasi seperti Anwar. Alah…, dia dan Wakil-wakil Rakyat yang selama ini menjadi pembangkang dan kini menjadi bebas pun faham apa erti ‘tekanan politik’.  Mereka baru menjadi Wakil Rakyat sudah ditekan pelbagai rupa, dan gagal.  Anwar sudah mengisytiharkan akan menjadi PM jika PR mengalahkan BN, tidak ada satu pejuang BN pun yang akan mengalu-alukan persaingan sihat sejahtera dalam politik!  Jangan berdusta.


Menjadi hak Anwar untuk membela dirinya dalam mahkamah yang berdasarkan undang-undang.  Siapa pun yang menjadi peguam bela Anwar (termasuk En Zul, jika berkedudukan seperti Karpal Singh) akan mempertahankan dan membela anak guamnya.  Para peguam dan anak guamnya akan sedaya upaya memberikan persembahan dalam mahkamah untuk meragukan segala tuduhan. 

Tulisan ini bukan untuk membela Anwar, tetapi mahu memberi sedikit pemahaman mengenai hak sesiapa yang dituduh dalam mahkamah untuk membela dirinya.  Tanyalah diri sendiri, jika berada sebagai Anwar dalam mahkamah. 

INTERLOK dan Alkitab Melayu


DUA buah buku dalam tuntutan yang berkepentingan: novel Interlok dan kitab Bible dalam Bahasa Melayu.  Segelintir kaum India berasakan ada hal sensitif dalam novel itu dan wajib diubah.  Kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak berasakan menjadi haknya membaca kitab agama mereka dalam Bahasa Melayu. Bible Bahasa Melayu pula agak sensitif kepada sebagian orang Melayu di Semenanjung.


Dengan keluarnya tiga keturunan India dalam panel penilai bebas untuk mengkaji tuntutan kaum India berkenaan Interlok, dianggap tuntutan kaum minoriti itu nampaknya gagal.  Kepada intelektual Melayu memang mempertahankan novel itu diguna tanpa pindaan.   Khabarnya Menteri Pelajaran yang juga TPM tidak setuju tuntutan meminda 100 hal dalam novel itu, sehingga masalah ejaan pun dituntut ubah eja!

Saya percaya kerajaan yang berpaksi orang Melayu lebih berpihak kepada imej Sasterawan Negara yang melambangkan intelektual Melayu.  Lagi pula, untuk apa novel dipinda sedangkan ini karya sastera.  Dalam buku ‘Sejarah Melayu’ lagi banyak benda pelik yang menyalahi pemikiran Melayu moden, malah ada babak yang menunjukkan ‘jahilnya’ bangsa Melayu waktu itu.  Tidak ada pindaan untuk kitab agung Sejarah Melayu.  Buku catatan Munsyi Abdullah ‘Hikayah Abdullah’ juga mengkritik raja-raja Melayu dan kaum bangsawan, tetapi orang Melayu tidak satu pun yang bersuara untuk meminda atau mengharamkan karya sastera itu.

Bumiputera Kristian Sarawak dan Sabah nampaknya ‘berjaya’ mendapatkan kitab agamanya dalam Bahasa Melayu.  Orang Melayu takut sangat kelak kitab itu akan dibeli dan dibaca oleh anak muda Melayu, kemudian mereka akan masuk Kristian.  Pandangan peribadi saya ialah, tidak percaya orang Melayu Islam akan masuk kristian kerana membaca kitab itu.  Percayalah, kerana kandungannya sangat berlawanan dengan isi al-Quran.  Perkara-perkara mudah saja sudah berbeda.  Lagi pula, adakah selama ini tidak ada anak muda Melayu yang membaca kitab itu sama ada terus dalam bahasa Melayu melalui internet atau membacanya dalam bahasa Inggeris?

Namun kejayaan saudara-saudara di Sabah dan Sarawak itu lebih mudah kerana politik yang memihak mereka.  Barisan Nasional tidak mahu kuasanya dirongrong dalam pilihan raya negeri, maka terus berlembut memberi hak penganut Kristian memiliki kitab agamanya dalam Bahasa Melayu, yang selama ini konon tidak dibenarkan.

Rabu, 16 Mac 2011

MAHALNYA tembikai di felda


SEBELUM harga buah sawit dan getah melambung tinggi pun saya sudah lama merasakan harga barangan di kawasan felda lebih tinggi berbanding di luar.  Orang felda kini seakan bermandi duit apabila harga sawit mencecah lebih RM800.00 setan dan getah beku RM15.00 sekilo!  Orang felda ada 10 ekar tanah!  Kiralah berapa wang turun ke dalam kantong mereka setiap bulan.  Ayah saya di kampung biasa ada tiga ekar tanah sawit pun tersenyum dengan harga RM700.00 setan.


Baru-baru ini saya masuk ke pasar raya B5 di bandar Jengka.  Terkejut beruk apabila melihat harga buah tembikai pucat yang selalu diberi makan monyet dikebun binatang berharga RM3.00 sekilo.  Harga mangga kecut yang sudah kehitaman pula ialah RM4.90!  Cakap lebih tidaklah, tetapi kalau tiga kilo mangga yang masih ‘mengancam’ boleh dibeli dengan harga RM10.00 di kampung saya, Sabak Bernam. 


Yalah, bagi warga felda yang sedang beralaskan dan berlangitkan duit tidak perduli sangat kenaikan harga barang.  Begitulah orang kita, yang sangat mengabaikan hak-hak asasinya dengan alasan kehidupan boleh ditampung dengan wang yang dimiliki.

Sebagaimana orang lain di luar felda, mereka pun membelanjakan wangnya lebih banyak untuk keperluan fizikal. Biasalah orang kita, berapa sangat yang pentingkan pembangunan mental.

Selasa, 8 Mac 2011

AYUH Utusan Rakyat!


AHLI Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar secara sukarela memohonkan permit penerbitan (PP) akhbar mingguan Utusan Rakyat.  Sebelum ini Presiden Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari berkata akan menerbitkan akhbar yang bebas, tidak seperti Utusan Malaysia.  Kata Hata, Utusan Rakyat sebagai contoh akhbar bebas.  Maksud bebas itu agaknya tidak memihak kepada mana-mana parti politik, puak atau kelompok!


Apa pun, Utusan Rakyat itu merupakan produk politik tanah air. Politik yang menguasai akhbar dan memaksakan ‘pandangan umum’ parti kepada rakyat.  Parti-parti politik juga memiliki akhbarnya sendiri dan cuba memaksakan pandangan parti sebagai pandangan umum.  Itu biasalah.

Saya teringat akhbar Watan yang dikatakan agak bebas daripada kongkongan politik pemerintah. Watan ini agak popular pada tahun 1980-an sehingga turut digantung penerbitannya semasa Operasi Lalang ISA. Selain itu ada akhbar politik propembangkang iaitu Mingguan Tanahair. Watan dan Mingguan Tanahair sudah berkubur.

Zaman Watan dahulu, media bercetaklah satu-satunya wadah untuk menyebarkan idea dan pemikiran.  Penulis akan cuba mencari ruang menulis dalam akhbar supaya pemikirannya dikongsi pembaca seluruh negara. Saya antara yang menumpang beberapa kali melalui Watan dan Mingguan Tanahair.  Saya teringat, waktu itu Ahmad Lutfi Othman (sekarang Ketua Pengarang Harakah) sebagai Stinger Mingguan Tanahair saja.

Hari ini bukan zaman Watan diterbitkan.  Sejak tahun 1998, pemikiran yang tidak disukai parti pemerintah dengan mudah bolos ke minda sesiapa.  Hari ini murid-murid sekolah pun sudah mempunyai akaun Facebook dan blog untuk mereka menyalurkan pemikirannya.  Oleh itu mungkin saja Utusan Rakyat yang mahu sangat berbeda dengan Utusan Malaysia mempunyai ruang untuk hidup dan terus hidup.  Saya yakin asas Utusan Rakyat ialah kebebasan dan ketelusan maklumat.

Selamat membaca akhbar. Semoga sebuah akhbar Melayu yang terbaru ini menambah minat membaca orang Melayu.  Membaca, sesetengah pihak dijadikan sebagai hobi tetapi bagi saya membaca adalah satu pekerjaan!