Rabu, 21 Mac 2012

APA ada pada sekeping sijil


MENGAPA sekeping kertas bernama sijil peperiksaan amat bernilai? Jawabnya ialah sistem yang digunapakai memerlukan sijil sebagai satu tanda apa yang dimiliki seseorang.  Pelajar yang memiliki sijil SPM yang tercatat semua pelajarannya mendapat A, tentulah menggambarkan pengetahuannya yang cemerlang dalam semua ilmu (pelajaran) berkenaan.  Jika sebaliknya, maka gambarannya sebalik daripada kecemerlangan itulah.

Kerna sistem memberi nilai kepada sijil maka semua mahu mendapat sijil yang diterima baik oleh sistem yang ada di sekitar kita.  Jangankan mahu memasuki university perlukan sijil, mahu bertugas sebagai Pengawal Keselamatan juga perlukan suatu sijil pelajaran dan sijil berhenti sekolah.  Walhal tugas sebagai pengawal keselamatan tidak ada pun ditanya dalam mana-mana soalan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM.

Namun hakikatnya, sijil hanya untuk melayakkan seseorang mencapai hasratnya. Sijil bukanlah penentu peribadi sebenarnya.  Dalam sijil hanya tercatat sebagian daripada peribadi seseorang, sedangkan dalam kehidupan begitu banyak perkara yang dilalui dan tidak termuatlah untuk dicatat sebagai menggambarkan seseorang itu.  Harap yang sebagian yang tercatat itu betul-betul mewakili pemilik sijil itu.

Masa dan zaman berubah, maka kian lama sijil itu akhirnya tidak dapat dikaitkan pun dengan pemiliknya.  Katakan sijil SPM Encik X tahun 2000 mencatat lulus minimum dalam Bahasa Inggeris, tetapi pada tahun 2012 ini Encik X merupakan seorang jurujual barangan yang sangat mahir berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.  Dia pula tidak mempunyai apa-apa sijil yang menunjukkan keupayaannya berbahasa Inggeris.  Begitu juga sebaliknya.  Misalnya sijil Encik X tercatat gred terbaik dalam Pendidikan Seni, tetapi kerna tidak mengamalkan ilmu seni lukisnya…dia bukanlah seorang pelukis yang baik. Ini salah satu contoh bahawa sijil semakin lama semakin usang.

Beruntunglah kepada yang sedar sijil hanya laku buat sementara waktu, dan selepas itu dirinya perlu mencari lagi ilmu dan pengalaman.  Rugilah yang terpedaya dengan ‘kehebatan sijil / digri’nya yang sudah pun melepasi usia 10 tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan