Jumaat, 15 April 2011

MEDIA BN dedahkan nasib parti itu


ESOK 16 April, secara peribadi adalah tarikh saya dilahirkan oleh ibu.  Untuk negara, 16 April 2011 merupakan hari mengundi kepada semua pengundi di Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri kali ke-10.  Perang politik sebenar bermula apabila calon-calon disahkan untuk bertanding. Maka kempen untuk pengundi menolak calon atau parti lawan bermula di samping meminta calon partinya diundi.  Selalunya begitulah, pengundi diasak dengan keburukan lawan lebih 70 peratus, dan bakinya mempamer keupayan calon atau parti sendiri.


Barisan Nasional sejak awal melaungkan akan mempertahankan kerajaan dengan cemerlang, dalam jangkaan yang tidak digugat oleh pembangkang.  Pembangkang diakui ramai tidak membawa imej baik sebagaimana BN.  Lihat saja para pemimpin Pakatan Rakyat sendiri mengakui masalah pengagihan kerusi dalam kalangan parti mereka, sehingga membawa pertindihan calon untuk melawan calon BN.  Pertikaian PKR-Snap tidak dapat disembunyikan lagi.  Politik tikam belakang (meminjam kata Nobisha) oleh DAP dan PKR berlaku terhadap tokoh politik parti mereka sendiri.  Nah, Dominique Ng satu-satunya Adun PKR sejak 2006 akhirnya keluar parti!

Media-media kedua-dua pihak sudah sarat melaporkan perkembangan kempen, oleh itu apakah petanda untuk keputusan pengundian esok?

Pertama: Pengerusi BN, DS Najib tun Razak tiba-tiba mendakwa matlamat BN hanya mahu menang majoriti mudah (lebih 50 peratus), tetapi jika mendapat majoriti dua pertiga adalah bonus.  Erti penjelasan ini bahawa BN dalam keadaan tertekan dan suasana kempen membayangkan BN mungkin akan kalah kepada calon-calon pembangkang.

Kedua: Parti SUPP yang mewakili kaum Cina dalam BN Sarawak membuat ugutan bahawa kegagalan BN mendapat majoriti dua pertiga pasti menyebabkan Umno akan digerakkan ke Sarawak.  Jika masyarakat Cina Sarawak terus setia kepada BN, SUPP tidak akan membuat ugutan seperti itu.  Ini bermakna dakwaan DAP benar bahawa hampir semua calonnya akan mengalahkan calon SUPP.  Rupa-rupanya Umno merupakan parti melayu yang sangat tidak disukai oleh kaum Cina di Sarawak, sebab itu kehadiran Umno dijadikan satu ugutan terhadap kaum Cina.

Ketiga:  Tokoh-tokoh BN atau blogger yang cenderung kepada BN menasihati para pengundi Sarawak supaya tidak membuat perjudian dalam pilihan raya ini.  Jika tidak ada kecenderungan pengundi untuk menolak BN, gaya penulisan mereka tidak akan berbentuk nasihat tentang  akibat menukar parti yang memerintah.

Keempat: media yang sangat berkesan mendedahkan peristiwa pilihan raya tetapi sangat merugikan BN dihack untuk melambatkan semua mendapat maklumat.  Ini bermakna laporan media arus perdana tidak berkesan mempengaruhi pemikiran pengundi agar menolak PR dan calon-calon bebas. Laman web Malaysiakini dan Sarawak Report menjadi mangsa keadaan ini.

Semua gambaran ini bukan berdasarkan media propembangkang, tetapi hanya penilaian daripada apa yang dilaporkan oleh media-media pro-BN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan