Khamis, 14 April 2011

BACA berita politik dari sisi belakang

DALAM politik kena percaya berita-berita terbalik.  Keadaan di Sarawak sekarang, suasana hangat pilihan raya memilih 71 Ahli Dewan Undangan Negeri ke-10 kena baca surat khabar dari belakang.  Jika sesiapa melanggan Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3, baca atau lihat dari belakang.  Semua faham media-media ini sudah menjadi alat propaganda politik parti Barisan Nasional, maka semua berita ditulis untuk menguntungkan politik BN.



Jika pembaca sering melanggan akhbar Harakah, Roket dan blog-blog Pakatan Rakyat, juga perlu dibaca dari belakang atas sebab yang sama kerana semua itu media PR.  Untuk media-media PR, sangat dimaklumi kerana semua memang sedia tahu media itu diakui dan disahkan sebagai organ politik parti berkenaan.  Oleh itu pasti tidak ada berita yang baik bagi BN dalam mana-mana media milik parti PR.

Bagaimana akhbar arus perdana seperti utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times dan media milik Media Prima (TV3, NTV7, TV9 dan TV8)?  Selama ini media-media ini diterima sebagai media nasional, bukan organ parti politik sehingga dengan mudah media-media ini memasuki bilik darjah sekolah-sekolah.  Kiamatlah dunia jika Harakah dilanggan oleh sebuah sahaja sekolah milik Kementerian Pelajaran Malaysia!

Begitulah, untuk mana-mana berita politik dalam media arus perdana wajib dibaca secara terbalik.  Kalau diberitakan Perdana Menteri yakin BN akan menang di Sarawak, bacalah sebagai PM tidak yakin BN akan menang di Sarawak!  Begitulah berita-berita lain bab politik dalam kancah pilihan raya itu.

Kemudian seorang blogger yang dikatakan berani mati mengutuk BN (Perdana Menteri) dan membela Anwar Ibrahim, Raja Petra Kamaruddin yang mendedahkan dirinya begitu murah dan tidak ada pegangan kerana mudah menerima ajakan untuk menuduh yang bukan-bukan terhadap PM dan isterinya.  Kes beliau ini juga patut dibaca bersama versi YB Zulkifli Noordin yang asalnya antara insan berani mati terhadap BN, hari ini dengan wajah ‘khusuk’ membela BN.  Orang dahulu berkata, ‘kalau tidak ada apa-apa masakan tempua bersarang rendah’ dan ‘kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang’.

Memang sesiapa pun boleh memilih untuk memihak kepada BN dan PR.  Untuk matang dalam berpolitik sama ada menyokong dan membangkang, biarlah kepada prinsip dasar dan pelaksanaan parti.  Ertinya, jika menyokong BN pun kerana dasar dan pelaksanaan dasar parti, bukan kerana peribadi YAB DS Najib Razak.  Begitu jugalah jika hendak berada dalam kandang PR, sokonglah dasar dan pelaksanaan dasar PR, bukan kerana Anwar Ibrahim atau Hadi Awang.

Lihatlah teruknya cara Ezam membela Anwar Ibrahim sampai masuk penjara, tidakkah waktu itu ada akalnya yang menerima keburukan Anwar Ibrahim?  Lihatlah pula hari ini Ezam menghentam Anwar habis-habisan, tidakkah ada sedikit akalnya menerima mengenai kebaikan Anwar.  Begitulah dengan  YB Zulkifli Noordin dan mungkin Raja Petra nanti.

Atau sebenarnya itulah akhlak orang-orang politik, kalau konon baik sebaik malaikat, kalau konon jahat sejahat iblis!  Orang yang di luar kandang politik  akan tertawa terbahak-bahak.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan