Selasa, 8 Mac 2011

AYUH Utusan Rakyat!


AHLI Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar secara sukarela memohonkan permit penerbitan (PP) akhbar mingguan Utusan Rakyat.  Sebelum ini Presiden Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari berkata akan menerbitkan akhbar yang bebas, tidak seperti Utusan Malaysia.  Kata Hata, Utusan Rakyat sebagai contoh akhbar bebas.  Maksud bebas itu agaknya tidak memihak kepada mana-mana parti politik, puak atau kelompok!


Apa pun, Utusan Rakyat itu merupakan produk politik tanah air. Politik yang menguasai akhbar dan memaksakan ‘pandangan umum’ parti kepada rakyat.  Parti-parti politik juga memiliki akhbarnya sendiri dan cuba memaksakan pandangan parti sebagai pandangan umum.  Itu biasalah.

Saya teringat akhbar Watan yang dikatakan agak bebas daripada kongkongan politik pemerintah. Watan ini agak popular pada tahun 1980-an sehingga turut digantung penerbitannya semasa Operasi Lalang ISA. Selain itu ada akhbar politik propembangkang iaitu Mingguan Tanahair. Watan dan Mingguan Tanahair sudah berkubur.

Zaman Watan dahulu, media bercetaklah satu-satunya wadah untuk menyebarkan idea dan pemikiran.  Penulis akan cuba mencari ruang menulis dalam akhbar supaya pemikirannya dikongsi pembaca seluruh negara. Saya antara yang menumpang beberapa kali melalui Watan dan Mingguan Tanahair.  Saya teringat, waktu itu Ahmad Lutfi Othman (sekarang Ketua Pengarang Harakah) sebagai Stinger Mingguan Tanahair saja.

Hari ini bukan zaman Watan diterbitkan.  Sejak tahun 1998, pemikiran yang tidak disukai parti pemerintah dengan mudah bolos ke minda sesiapa.  Hari ini murid-murid sekolah pun sudah mempunyai akaun Facebook dan blog untuk mereka menyalurkan pemikirannya.  Oleh itu mungkin saja Utusan Rakyat yang mahu sangat berbeda dengan Utusan Malaysia mempunyai ruang untuk hidup dan terus hidup.  Saya yakin asas Utusan Rakyat ialah kebebasan dan ketelusan maklumat.

Selamat membaca akhbar. Semoga sebuah akhbar Melayu yang terbaru ini menambah minat membaca orang Melayu.  Membaca, sesetengah pihak dijadikan sebagai hobi tetapi bagi saya membaca adalah satu pekerjaan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan