Ahad, 20 Mac 2011

BILAkah SPR mahu seperti FAM atau FIFA?


DI PERINGKAT negeri, Menteri Besar atau Ketua Menteri diberi kuasa membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala di peringkat Persekutuan Perdana Menteri yang selalu melakukannya.  Sama ada kuasa ini merupakan hak berdasarkan undang-undang atau hanya amalan sejak zaman baru merdeka dahulu, adakah tindakan ini mencerminkan tindakan yang adil?


DUN Sarawak akan dibubarkan Isnin (21 Mac 2011) setelah Ketua Menterinya menghadap Yang Dipertua Negeri untuk memohon perkenan pembubaran DUN.  Siapa KM itu, adakah dia bukan pemain politik dalam pilihan raya berkenaan?

Untuk memudahkan faham hal adil atau zalim, buatlah perbandingan dengan perlawanan bola sepak.  Jika dalam politik senang-senang berlaku tunjuk perasaan dan rusuhan, hal yang sama boleh berlaku dalam sukan bola sepak kerana perasaan tidak puas hati juga.  Di peringkat Piala Dunia, FIFA merupakan badan yang mengendalikan perlawanan-perlawanan bola sepak.  FIFA berkuasa menentukan jadual pertandingan, pemilihan pengadil dan peraturan-peraturan lain.  Mana-mana pasukan bolasepak hanya akur dengan ketetapan FIFA. 

Dalam pilihan raya Malaysia, dikatakan SPR adalah pengendali semua pilihan raya. Suruhanjaya ini dikatakan bebas daripada belenggu politik kepartaian dan semua anggotanya dilantik oleh Yang Dipertuan Agung.  Kalau FIFA berkuasa menentukan semua hal bola sepak, SPR tidak ada kuasa menentukan pembubaran DUN atau Dewan Rakyat (DR).  Bayangkan jika ketua pasukan Jerman diberi hak menentukan tarikh perlawanan dengan pasukan Brazil, apa komen manusia penggila bola sepak?

Lihatlah ‘keadilan’ berpolitik di Malaysia. PM dan MB (KM) berkuasa memilih saat yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya, sedangkan mereka adalah ketua-ketua parti yang akan berlawan dalam pilihan raya!  SPR yang dikatakan bebas hanya menanti keputusan ketua-ketua parti politik yang memerintah ini untuk menentukan tarikh pilihan raya dalam tempoh 60 hari setelah pembubaran oleh ketua-ketua parti politik.  Sepatutnya SPR yang akan menghadap Yang Dipertuan Agong untuk memaklumkan pembubaran DR, bagi negeri menghadap Sultan atau Yang Dipertua Negeri.  Itu jika benar-benar SPR badan bebas yang tidak dicucukhidung oleh parti politik!

Kemudian siapa yang menentukan sempadan pilihan saya?  Di Malaysia, bukan SPR yang mengaris atau memadam sempadan kawasan pilihan raya, tetapi parti politik yang memerintah. SPR hanya menaip dan melukis peta kawasan yang dilukis oleh pelukis-pelukis peta parti politik yang memerintah.  Lihat pindaan atau persempadanan baru kawasan pilihan raya terakhir (selepas PRU 1999).  Contohnya di Pahang, ada Ahli Parlimen yang hanya menang 241 undi dalam PRU 1999, dan menanda kawasan baru dengan memasukkan kawasan tentara yang menjamin undi pos kepadanya. Jika tahun 1999 di kawasannya ada tiga DUN, dia menambah kepada empat DUN untuk tahun 2004. Nah pada PRU 2004, dia menang majoriti lebih 10,000!  Di Selangor pun ada Adun yang memasukkan kawasan bandar (banyak pengundi bukan Melayu) sedangkan asalnya DUNnya jauh di pedalaman.  Nah, semua urusan memetakan kawasan pilihan raya dilakukan orang politik yang jelas mahu menang, dan SPR hanya tukang coret-coret, kemudian dikatakan ini kerja SPR!  Adil?  Budak sekolah pun boleh kata penipu atau tak aci.

Adakah Pakatan Rakyat akan membuat reformasi keadaan ini?  Selama ini bagi negeri-negeri yang diperintahnya juga tidak menunjukkan MB atau KMnya memberikan hak kepada SPR.  Mereka juga mewarisi sistem yang diamalkan oleh BN.  Tunggulah jika PR memerintah satu Malaysia, adakah SPR akan diberi hak bebas dan adil sebagaimana harapan nama keadilan atau terus menggunakan SPR untuk kepentingan politiknya pula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan