Selasa, 29 Mac 2011

TIDAK ada rasuah dalam pilihan raya!


PADA akhir tahun 1990-an dahulu saya pernah mengikuti satu mesyuarat jabatan kerajaan.  Dalamnya disediakan satu slot penerangan oleh pegawai Badan Pencegah Rasuah (BPR).  Sekarang ini bukan BPR lagi, sudah SPRM!  Penceramah BPR itu menerangkan mengenai takrifan dan contoh perlakuana rasuah dalam kakitangan awam.

Dalam sesi soal jawab, ada sahabat saya bertanya mengenai sumbangan kebendaan sewaktu kempen pilihan raya, terutama pilihan raya kecil.  Pegawai BPR itu menerangkan segala sumbangan itu, sekalipun disampaikan oleh orang yang memakai baju berlambang parti politik atau calon yang bertanding bukan dianggap sebagai rasuah. 

Habis mana yang ada elemen rasuah? Pegawai itu menerangkan lagi: Jika pihak parti yang bertanding ada mengeluarkan kata-kata seperti “jangan lupa masa mengundi pilih saya” sewaktu memberikan sumbangan kebendaan atau wang, barulah dikatakan ada unsur rasuah!

Begitulah teknikalnya undang-undang, amat berlawanan dengan budaya dan kefahaman semasa.  Kalau selama ini tidak ada apa-apa bantuan atau sumbangan, tetapi sewaktu kempen pilihan raya sampai tidak cukup tangan hendak membahagi-bahagi wang, belacan, berus gigi dan tuala wanita, apa maknanya?  Orang tua-tua sudah mengatakan, ‘kalau tidak ada apa-apa, masakan tempua bersarang rendah’.  Itu pemahaman budaya tetapi undang-undang menjadi kaku macam tiang konkrit!

Maka semua hendak berlindung di balik tiang-tiang konkrit, selamat daripada tuduhan makan atau memberi rasuah.  Agaknya dalam hati kecil, betulkah semua ini sah di sisi Allah. Itupun kalau masih ada cita-cita hendak menjadi orang beriman!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan