Khamis, 31 Mac 2011

TS Taib Mahmud mahu terus jadi KM, fahamilah!


Ghadafi masih bertahan? Yalah, sebab tidak kedengaran berita yang dia dibunuh, menyerah diri atau letak jawatan pemimpin agung Libya.  Ghadafi  berkuasa 40 tahun sudah, pun masih tidak puas.  Hosni Mubarak, agaknya kerana ada penyakit yang kronik menyebabkan dia tak mahu berdegil.  Hosni baru saja 30 tahun berkuasa!

Dahulu Soeharto berkuasa 32 tahun, itu pun dikatakan sudah lama.  Dr Mahathir menjadi Perdana menteri selama 23 tahun, agaknya dia puas bertugas selama itu.  Salahkah Tuan Guru Nik Aziz yang baru 20 tahun meneruskan lagi kuasanya di Kelantan, untuk mengekori rekod Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Sarawak yang sudah 30 tahun?  Orang berkira-kira mungkin Tan Sri Abdul Taib akan tumbang seperti  Tan Sri Wan Mokhtar pada tahun 1999.  Tan Sri Wan Mokhtar berkuasa di Terengganu selama 25 tahun.

Alah, mana ada pemimpin yang dengan suka atau rela berundur daripada jawatannya.  Jangan melihat kepada pemimpin politik atau sesebuah negara, lihat juga perangai kebanyakan antara kita.  Berapa banyak guru yang cuba mengelak daripada dipindahkan ke sekolah atau daerah lain atas alasan-alasan tertentu?  Sudah kena pindah pun merayu pembatalan pindah.

Imam di masjid yang sudah tua kerepot pun masih sanggup menerima tawaran menjadi imam dan khatib, walhal suaranya pun sudah tidak berapa jelas.  Mengapa imam ini tidak menolak sahaja pelawaan untuk menjadi berkhutbah?  Tidakkah dia memahami bahawa tawaran itu sebagai ‘ajak-ajak ayam sahaja’?

Ada orang menyewa tanah bendang ayah saya bertahun-tahun.  Satu masa ayah saya mahu tanah itu disewa oleh orang lain (anak saudara sendiri).  Wah, penyewa yang asal berkeras tidak setuju dan seakan memaksa ayah menyewakan tanah kepadanya sahaja.  Tengoklah,  macamlah dia tuan tanah!

Apa semua itu?  Hal ini bermakna, apabila seseorang sudah selesa dengan keadaan dirinya, dia sukar untuk berubah, tambahan pula untuk memulakan kisah hidup baru.  Jadi, kalau TG Nik Aziz dan TS Abdul Taib masih mahu menjadi ketua kerajaan negeri, mereka sudah stabil dan aman dengan keadaannya.  Orang lain pun akan bertindak sepertinya jika berada di tempat itu.

Begitulah antara perangai kita, orang lain saja salah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan