Memaparkan catatan dengan label buku. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label buku. Papar semua catatan

Selasa, 19 April 2011

KAJIAN Ketuanan Politik Melayu


SAYA sedang  menghabiskan pembacaan kajian kedoktoran seorang pensyarah bertajuk Ketuanan Politik Melayu dari Pandangan Kaum Cina.  Benar, penulis atau pengkajinya seorang keturunan Cina, tetapi lebih menambah mudah mencurahkan pandangannya terhadap konsep Ketuanan Melayu di Malaysia.  Penulis memaparkan hasil kajian secara jujur, sehingga sekalipun jika tidak dilihat daripada kaca mata orang Cina, memang begitu hakikat sejarah Ketuanan Melayu.

Selama ini kebanyakan orang Melayu melihat konsep Ketuanan Politik Melayu daripada kaca mata orang Melayu, yang tidak digambarkan secara tepat.  Setidak-tidaknya para pemimpin Melayu tidak akan menyatakan data-data pencapaian kuasa orang Melayu sejak tahun 1946 yang termaktub dalam Perlembagaan atau undang-undang.  Perkhabaran ini sedia maklum, pertama untuk tidak menggambarkan kaum Melayu benar-benar berkuasa di negara ini di samping orang bukan Melayu sebagai kaum yang setia terhadap kaum Melayu.  Kedua, para pemimpin Melayu tidak akan mewar-warkan keberuntungan nasib kuasa politik Melayu dan kejayaan memelayukan kebanyakan sistem dan budaya hidup rakyat Malaysaia, demi mengelakkan disalah tafsir oleh kaum bukan Melayu.

Membaca kajian Thock Ker Peng ini memudahkan saya memahami perjuangan yang dibawa oleh Umno dalam Barisan Nasional dan gagasan Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP.  Misalnya, dalam pilihan raya di Sarawak baru-baru ini, SUPP parti yang mewakili kaum Cina di Sarawak dalam BN membuat ugutan mengenai kemasukan Umno ke Sarawak jika SUPP ditewaskan oleh DAP.  Boleh dikatakan kebanyakan undi kaum Cina sama ada di Semenanjung atau Sarawak memang diberikan kepada DAP dan Pakatan  Rakyat.   Situasi ini memang kesan daripada konsep Ketuanan Politik Melayu yang diamalkan oleh Umno-BN.

Soal pada zaman sebelum Tun Abdullah dan DS Najib para pemimpin BN berjaya memahamkan konsep Ketuanan Politik Melayu, itu memerlukan satu kajian lain.  Namun hakikatnya, pada zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir merupakan kejayaan pemimpin Melayu mempertahankan konsep Ketuanan Politik Melayu.  Ertinya masyarakat bukan Melayu khasnya kaum Cina dapat menerima BN sekalipun Umno melaksanakan Ketuanan Politik Melayu, yang oleh penulis dicatat sebagai hegemoni Melayu!

Khamis, 17 Mac 2011

INTERLOK dan Alkitab Melayu


DUA buah buku dalam tuntutan yang berkepentingan: novel Interlok dan kitab Bible dalam Bahasa Melayu.  Segelintir kaum India berasakan ada hal sensitif dalam novel itu dan wajib diubah.  Kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak berasakan menjadi haknya membaca kitab agama mereka dalam Bahasa Melayu. Bible Bahasa Melayu pula agak sensitif kepada sebagian orang Melayu di Semenanjung.


Dengan keluarnya tiga keturunan India dalam panel penilai bebas untuk mengkaji tuntutan kaum India berkenaan Interlok, dianggap tuntutan kaum minoriti itu nampaknya gagal.  Kepada intelektual Melayu memang mempertahankan novel itu diguna tanpa pindaan.   Khabarnya Menteri Pelajaran yang juga TPM tidak setuju tuntutan meminda 100 hal dalam novel itu, sehingga masalah ejaan pun dituntut ubah eja!

Saya percaya kerajaan yang berpaksi orang Melayu lebih berpihak kepada imej Sasterawan Negara yang melambangkan intelektual Melayu.  Lagi pula, untuk apa novel dipinda sedangkan ini karya sastera.  Dalam buku ‘Sejarah Melayu’ lagi banyak benda pelik yang menyalahi pemikiran Melayu moden, malah ada babak yang menunjukkan ‘jahilnya’ bangsa Melayu waktu itu.  Tidak ada pindaan untuk kitab agung Sejarah Melayu.  Buku catatan Munsyi Abdullah ‘Hikayah Abdullah’ juga mengkritik raja-raja Melayu dan kaum bangsawan, tetapi orang Melayu tidak satu pun yang bersuara untuk meminda atau mengharamkan karya sastera itu.

Bumiputera Kristian Sarawak dan Sabah nampaknya ‘berjaya’ mendapatkan kitab agamanya dalam Bahasa Melayu.  Orang Melayu takut sangat kelak kitab itu akan dibeli dan dibaca oleh anak muda Melayu, kemudian mereka akan masuk Kristian.  Pandangan peribadi saya ialah, tidak percaya orang Melayu Islam akan masuk kristian kerana membaca kitab itu.  Percayalah, kerana kandungannya sangat berlawanan dengan isi al-Quran.  Perkara-perkara mudah saja sudah berbeda.  Lagi pula, adakah selama ini tidak ada anak muda Melayu yang membaca kitab itu sama ada terus dalam bahasa Melayu melalui internet atau membacanya dalam bahasa Inggeris?

Namun kejayaan saudara-saudara di Sabah dan Sarawak itu lebih mudah kerana politik yang memihak mereka.  Barisan Nasional tidak mahu kuasanya dirongrong dalam pilihan raya negeri, maka terus berlembut memberi hak penganut Kristian memiliki kitab agamanya dalam Bahasa Melayu, yang selama ini konon tidak dibenarkan.