Ahad, 24 Oktober 2010

DUNIA dongeng Melayu

TIADA siapa yang mahu sakit, dan jika takdir menentukan kena sakit maka sesiapa juga mahu cepat sembuh.  Kerana mahu cepat sembuh ini pelbagai cara digunakan orang, prinsipnya “sembuhkan aku daripada penyakit ini”.  Saya pun pernah ditimpa sakit yang tidak ketahui jenisnya. Dalam tempoh 3 jam saja seluruh badan menjadi sakit dan hanya mampu berkata-kata. Di hospital, doktor pun tidak memberitahu sakit apa, cuma dipantau selama dua hari dalam wad.  Selama dua hari itu beberapa orang mencadangkan agar berubat di luar hospital.  Entah, waktu itu saya tak menangkap apa maksudnya, cuma akur semua nasihat doktor. 

 foto hiasan

Dalam tasawur orang Melayu, banyak tafsirannya jika ditimpa sakit apa lagi jika doktor tidak dapat mengesan apa sakitnya.  Ada saudara saya kemalangan jalan raya, yang doktor sahkan tulang kakinya patah dan dimasukkan dalam wad, sebagian ahli keluarganya masih percaya ada rawatan lebih cepat dan baik di luar hospital, maksudnya bukan perubatan moden.

Ada kes lain, berita kemalangan di jalan sunyi yang bahaya ditafsir sebagai adanya gangguan makhluk halus. Yang menafsir begitu bukanlah mekanik kereta tetapi seorang guru agama.  Jadi begitulah, berapa banyak kemalangan dan kesakitan tidak sunyi daripada disorot sudut kedua, iaitu alam misteri.

Perkataan ‘buatan orang’ sangat mudah difahami oleh orang Melayu. Dari kanak-kanak, orang Melayu sudah diajar untuk menafsir adanya tangan ghaib yang mengakibatkan masalah dan kecelakaan seseorang.  ‘Buatan orang’ kemudian dikaitkan dengan ‘sakit hati’ dan ‘dendam’.  Sekalipun tidak ada satu kes dapat dibuktikan hal ‘buatan orang kerana dendam’ namun permintaan orang ramai untuk menerima berita itu cukup tinggi pasarannya.  Keadaan ini menyebabkan orang yang dikatakan bomoh dapat hidup dalam dunia moden yang sebagian besarnya dibuktikan dengan fakta dan hujah.

Saya juga ada pengalaman rumah dipecah pencuri.  Selain membuat laporan polis, biasalah saya dicadang untuk mendapatkan ‘orang’ yang boleh melihat di mana barang-barang yang dicuri.  Walaupun cadangan ini lahir daripada orang yang saya anggap kuat agamanya, saya abaikan juga. Pada saya, apa bomoh boleh buat? Cakap saja, selain itu tidak apa-apa.  Katalah dia memberitahu yang barang curiannya ada dalam sebuah rumah bernombor sekian-sekian,  dia bukan ada kuasa untuk membuat serbuan. Itu semua kuasa polis. Polis pun bukan boleh main serbu saja, ada yang perlu dapatkan waran mahkamah!

Begitulah, selagi kuat pemikiran dongeng dalam masyarakat Melayu, selama itulah pasaran cerita dongeng laku dan menjadi satu pilihan dalam hidup.  Belajar ilmu undang-undang, kedoktoran, berfikiran saintifik dan macam-macam ilmu, rupa-rupanya tidak menjamin seseorang berfikiran rasional.  Ikatan terhadap tradisi desa sangat kuat.  Orang desa punya tasawur sendiri, dan kebanyakan mereka adalah orang yang berpengaruh dalam kehidupan.  Merekalah yang banyak mencorak pemikiran dongeng terhadap generasi komputer dan satelit canggih.

Ada keberanian untuk berubah?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan