Sabtu, 23 Oktober 2010

MENDAGANGKAN agama demi pengaruh politik

PADA bulan Ramadan lepas, Umno menyerang Pas atas isu orang bukan Islam memasuki masjid.  Media massa digunakan sepenuhnya tanpa segan silu apa-apa.  Yang penting dapat mempengaruhi masyarakat tentang ‘kesalahan besar’ Pas.  Kini giliran Pas menghentam Umno atas isu festival fesyen Islam yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri.  Terdapat foto yang membuktikan festival itu memperagakan kalimah ‘Muhammad’ dengan pelbagai sudut, suatu hal yang tidak dapat diterima oleh umat Islam.  Oleh kerana Pas tidak mempunyai media arus perdana, maka media utama mereka ialah internet dan demontrasi!

Inikah caranya umat Islam menjalani kehidupan dengan harapan diredai Tuhan?  Pandangan mata kasar pun, keadaan ini memalukan.  Bertambah malu kepada orang bukan Islam yang selama ini dikatakan kepada mereka bahawa Islam adalah agama yang membawa kesejahteraan kepada semua.  Islam dikatakan sebagai penyelamat. Islam disebut agama yang mengajar penganutnya sangat bertoleransi.  Islam yang dijaja kepada orang bukan Islam sebagai membawa mesej kedamaian dan ketenangan.

Tenang? Damai? Sejahtera? Tambah lagi…jujur? Tulus? Jangan jual apa-apa lagilah atas nama Islam kalau sebenarnya semua tidak jujur untuk membawa Islam dan memberi contoh yang baik kepada orang awam dan golongan bukan Islam.

Apa yang berlaku ini (mungkin akan datang banyak lagi), merupakan contoh Islam didagangkan, dipolitikkan dan ditunggangi oleh orang-orang politik tak mengira Umno atau Pas.

Isu orang bukan Islam masuk masjid, kalau yang melakukannya ialah kerabat Barisan Nasional, tidak akan dijadikan isu besar berhari-hari dalam media.  Umno akan simpan baik-baik.  Kerana yang melakukannya Pas, maka digempur habis-habisan atas nama Islam. Konon Umno lebih Islam, mewakili golongan orang beriman.

Isu fesyen pakaian mencolok mata ‘menghina nama nabi’ tidak akan dijadikan isu untuk membakar semangat orang jika yang melakukannya ialah anggota PKR atau DAP.  Jika ahli dua parti itu yang melakukannya, Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) hanya akan menulis dalam blog atau menegur dalam sidang media.  Kerana yang melakukannya ialah pihak Umno, maka Pas tidak bertangguh lagi untuk mengobarkan semangat menghukum Umno-BN. Konon Pas lebih beriman daripada Umno.

Tanyalah kepada kedua-dua pihak, adakah itu caranya umat Islam saling tegur-menegur yang disebut dalam surah al-Asr?  Jika cara mengutuk, membakar semangat orang dan berdemo dianggap sebaik-baik jalan di sisi Allah, izikan saja anak-anak yang berbeda pendapat dengan ibu bapanya untuk membuat bangkangan terbuka dan caci maki!

Jangan marah, jangan melatah, jangan apa-apa lagi. Gilakah semua ahli politik muslim selepas solat setiap waktu? Masa solat saja bagus……

Tiada ulasan:

Catat Ulasan