Sabtu, 16 Oktober 2010

"MAS, berapa kali kubilang: Aku cinta kamu!"

APABILA saya membuka bicara soal cinta dan rindu dalam Facebook, cepat rakan-rakan lama saya bertanya mengapa mengubah tajuk. Maksudnya selama ini saya suka bab politik dan agama.  Melalui respon rakan-rakan tahulah bahawa topik yang berpangkalkan perasaan memang menjadi pilihan semua peringkat.  Pelajar-pelajar saya menyerbu memberi komen, termasuk juga kawan lama yang berpengalaman bab cinta ini.  Tatapi tidaklah dapat mengalahkan karektor Haji Bakhil dalam filem Nasib Labu Labi.


Daripada catatan yang tersimpan dalam kotak-kotak respon memang menyenangkan.  Kebanyakan tidak bersembunyi menyatakan fikirannya mengenai cinta. Ya, cinta itu terbitan perasaan, tetapi melayannya mesti menggunakan fikiran.

Pertama: Perasaan cinta antara lelaki dan perempuan memang sentiasa ada sejak kita remaja hingga tua.  Lelaki yang berusia lebih 50 tahun pun masih melihat pasangan cintanya terhadap wanita yang jauh lebih muda.  Ini bermakna, standard perasaan cinta lelaki terhadap wanita sama.  Maksudnya, berapa usia lelaki pun keinginan cintanya terhadap wanita tidak menurun. Mungkin betul juga remaja lelaki yang berusia 15 tahun merasa seronok melihat wanita cantik berusia 20an.

Kedua: Wanita masih gagal membuktikan berkurangnya kasih sayang seorang lelaki apabila lelaki berkenaan mempunyai lebih seorang isteri. Ayat yang kerap digunakan ialah: Tidak mahu berkongsi kasih sayang! Saya menguji sama ada kasih sebagai ibu dan ayah akan berkurang terhadap anak pertama apabila lahir anak kedua dan ketiga.  Anda boleh menjawabnya sendiri, berapa orang pun anak kita, kasih tidak berkurang terhadap anak-anak yang terdahulu. Inilah hebatnya kasih sayang.

Ketiga: Remaja memang seronok dibelai cinta dan rindu.  Ayat yang biasa digunakan ialah: hari ini sangat bahagia. Maksudnya kehendak perasaan cintanya dipenuhi oleh pasangannya.  Tentulah mereka suka mendapat kata-kata indah dalam kotak SMSnya. Baginya itulah saat dunia menjadi syurga.

Keempat: teori saya yang belum dibantah ialah: Cinta antara pasangan akan membara selama mana rahsia antara pasangan belum diketahui sepenuhnya. Maksud saya, cinta indah antara pasangan ialah perlunya unsur suspense atau berteka teki. Semakin banyak rahsia telah diketahui, semakin kurang kehangatan cinta.  Anda boleh berfikir seketika, mengapa orang yang sudah berkahwin tidak begitu romantik seperti sebelum kahwin.  Semasa sebelum kahwin, melihat seliparnya di tepi jalan pun menjadi pintu bahagia.  Setelah berkahwin segala baik dan buruk sudah di hadapan mata, susah hendak membedakan intan dan pasir.  Semuanya bergaul dalam sebuah rumah.  Jika ada masalah selain hal cinta, mudah saja menyusutkan perasaan cinta antara pasangan.

Kelima: Impian cinta adalah seks. Itu saya pinjam daripada Prof Dr Hamka. 

Seronokkan bicara soal cinta. Daripada itu fahamlah mengapa segala macam filem dan drama kita bertunjangkan cinta lelaki dan perempuan. Latar cerita mungkin hantu jembalang atau kereta-kereta mewah, namun plotnya adalah cinta, apa juga perangai cinta. Banyak, macam-macamlah….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan