Sabtu, 9 Oktober 2010

ADATnya berlawan politik, lawanlah...

ADAT merupakan peraturan.  Peraturan pula ialah undang-undang.  Oleh itu adat yang dikanunkan menjadi undang-undang.  Kalau tidak dikanunkan pun adat menjadi sebagian daripada peraturan yang tidak bertulis tetapi diikuti oleh masyarakat.


Dalam sejarah, ada waktunya adat melantik Raja Muda sebagai Raja dilanggar kerana darurat. Kes kewafatan Sultan Ali di Riau awal abad ke-19 digantikan oleh Tengku Abdul Rahman walaupun yang menjawat Raja Muda ialah Tengku Hussein.  Dari sudut adat salah, tetapi untuk mengelak terlalu lama jenazah Sultan begitu saja kerana Raja Mudanya berada di luar negara, maka dilantik saudara muda Tengku Hussein sebagai Sultan.  Memang ada masalah selepas itu, kerana masing-masing ada kepentingan terhadap kuasa.  Kuasa sangat penting untuk menguasai kekayaan yang menjadi buruan setiap manusia.

Pilihan Raya Kecil (PRK) di Galas kerana kematian penyandangnya juga kerana memenuhi undang-undang.  Dari sudut kepentingan kerajaan di Kota Bharu dan Putrajaya tidak ada apa-apa, kecuali untuk dijadikan modal psikologi politik parti.  Jika berlaku PRK, Perdana Menteri masih YAB Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Kelantan masih YAB TG Nik Abdul Aziz.  Sebenarnya untuk mengelakkan pembaziran sumber (katanya ekonomi tak bagus sekarang), dikira darurat juga sebab mengadakan PRK yang tidak membawa faedah kepada rakyat.

Patutnya semua parti politik atau individu yang berminat politik di Kelantan berunding untuk mencari seorang wakil untuk DUN Galas dengan cara paling murah-mudah supaya tidak membazir masa, tenaga dan wang ringgit.  Pas dan Umno ada pengaruh kuat di sana. Jika kedua-dua parti setuju untuk memberi  kemenangan percuma kepada salah seorang wakil parti, mudah ceritanya.  Jika itu keputusannya, apa yang perlu dilakukan ialah memberi penerangan kepada rakyat. Ditakdir, ada calon bebas yang mencalonkan diri, pengaruh Pas dan Umno boleh diguna untuk mereka menarik diri atau mempengaruhi rakyat hanya memilih calon yang dipersetujui Umno dan Pas.

Namun pemikiran ahli politik melayu tidak ke arah kerjasama itu.  Bagi mereka, jika selama ini Pas dan Umno saling berlawan, sampai bila-bila pun wajib berlawan. Alasannya mudah, undang-undang membenarkannya.  Itulah adatnya orang Melayu berpolitik. Masyarakat melihat ahli-ahli politik Melayu begitu kaku dan lurus bendul melayan undang-undang walaupun akibatnya merugikan orang Melayu juga.  Elok ditanya kepada semua pemimpin politk Melayu: Apa faedah besar yang diterima oleh orang Melayu dengan  PRK DUN Galas?

Apa gunanya belajar sejarah?  Apa gunanya didedahkan kesilapan pemimpin politik (anak-anak raja zaman dahulu) yang berlawan sesama mereka sehingga rakyat menderita dan negerinya digadai kepada bangsa lain?  Apa gunanya Tuan Guru Agama membacakan hadis nabi yang bererti umat Islam tidak boleh jatuh dalam satu lubang yang sama?

Kita ingatkan, apabila semakin banyak orang pandai kerana semakin banyak lepasan universiti dan kolej, maka pemikiran pemimpin semakin matang.  Kita ingatkan, apabila semakin banyak orang pandai agama terlibat dalam kepemimpinan politik, maka semakin mudah urusan pertelingkahan sesama umat diselesaikan kerana mereka adalah waris nabi-nabi.  Kita ingatkan asal mereka diberi gelaran waris nabi maka visi dan akhlaknya sedikit saja di bawah standard para nabi itu.

Kalau begini, malaslah untuk percaya sejarah sebagai pengajaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan