Rabu, 6 Oktober 2010

"YA ROKOK, kami adalah hambamu..."

SEBATANG rokok berharga RM0.35.  Satu kotak rokok tujuh batang berharga RM7.00.  Itulah harga terbaru yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia sebagai usaha untuk mengurangkan tabiat merokok yang tidak berguna satu sen pun.  Kita yakin, kenaikan harga ini akan berterusan, ke tahap sebatang akan menjadi RM1.00 walaupun purata kenaikan pendapatan tidak sampai pun 10 peratus.


Perokok tetap merokok, kerana mereka adalah hamba rokok.  Ini bermakna perokok akan menambah kos untuk membeli rokok atau mencari jalan belakang mencari rokok seludup.  Kenaikan harga rokok mungkin akan menambah pendapatan negara, tetapi akan menambah kegiatan penyeludupan.  Berdasarkan kehebatan bunyi mercun semasa Hari Raya lalu, jumlah rokok yang hanya bersalut plastik di dalam laci pekedai runcit akan bertambah.  Kalau tidak ada orang yang ditangkap semasa membakar mercun (dilarang berdasarkan Akta Bahan Letupan), tidak mungkin ada orang ditangkap semasa menghisap rokok seludup.

Jalan rasuah juga akan bertambah untuk memudahkan membawa masuk rokok dari luar.  Cukai rokok tinggi, jika dapat elakkan cukai maka untung niaga rokok bertambah besar.  Semakin banyak cukai dielak, semakin banyak pendapatan negara bocor.

Orang yang terus merokok kerana sudah ketagih. Cakaplah apa saja, ceramahlah, keluarkan fatwalah, selagi tidak ada usaha menggantikan pembalut rokok dengan bulu babi, jangan harap perokok akan berhenti.  Budak hingusan yang mula merokok kerana otaknya separuh mereng.  Tuhan berikan otak untuk berfikir setelah mendapat maklumat, tetapi dipilih juga merokok yang jelas kerja sia-sia.  Apa nak buat, sebab anak-anak hingusan yang berbaju sekolah ini merokok pun disebabkan meniru lagak kurang akal orang dewasa yang merokok.  Untuk menambah hujah bagusnya merokok itu, bukan susah hendak menemukan orang berkopiah di depan masjid menghisap rokok! Kan, kan, kan!

Orang merokok  bukan tahu adab dan sopan santun.  Baginya jika memang hendak merokok, kalau boleh semasa solat jemaah di masjid pun dia nak merokok juga. Maka kalau merokok di hadapan orang yang tak merokok ini, hahahaha kerja mudah saja.  Dia bukan tahu adab. Nak merokok pun tak baca basmalah!

Oleh itu apa agaknya tindakan orang yang tidak merokok atau antimerokok terhadap perokok-perokok ini?  Ditampar orang merokok, mesti akan didakwa di bawah Kanun Kesiksaan atas tuduhan mencederakan orang.  Nak menghempas meja dan kerusi di kedai makan, pasti didakwa atas tuduhan mengganggu ketenteraman awam.  Nak dibebel anak gadisnya kerana merokok, habislah anak gadisnya lari sampai ke Pulau Lombok.  Jadi apa nak buat?

Teruslah tidak merokok, kerana Allah tidak lupa kebaikan atau kebajikan walau sebesar zarah.  Allah tidak lalai untuk membalas apa yang kita lakukan walaupun sejuta orang melakukan kebodohan.  Tidak merokok samalah menunaikan amanah Allah menjaga kebersihan, kesihatan dan mengelakkan pembaziran.  Tunggulah hadiah Allah di akhirat kelak kerana sabar menanggung derita dikenakan asap rokok dan disindir kerana antirokok.

Sabarlah sajalah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan