Isnin, 4 Oktober 2010

HARTA juga punca pergaduhan

SEMASA usia  remaja, saya menyaksikan sebuah keluarga di desa yang bertelingkah mengenai pembahagian harta pusaka sehingga keluarga besar itu berpecah dua.  Pulau-memulau, sindir  dan perli berlaku terang-terangan.  Kedua-dua pihak saling cuba meyakinkan jiran terangganya yang lain bahawa pendirian sebelahnya betul dan sebelah sana pula sebagai salah. Begitulah berlaku bertahun-tahun sehingga usia mereka semakin tua manakala anak-anak berumah tangga dan mempunyai anak-anak pula.  Pembahagian dua blok dalam keluarga itu diwarisi anak menantu dan cucu-cucu pula. (Kemudian baru saja apabila yang menjadi paksi permusuhan sudah tua renta, ada kesedaran untuk bersatu dan bermaaf-maafan. Maka seluruh anak cucu bersatu semula. Tak lama kemudian yang tua-tua renta kembali menghadap Tuhan.)


Jika ditanyakan kepada orang agama, memang dikatakan perpecahan itu sebagai perbuatan haram.  Dalam sebuah keluarga yang semasa kecil sama-sama membesar, susah senang diharungi bersama, sama agama dan adat resam kemudian bertelingkah dan berpecah.  Lebih memudahkan orang agama mengatakan perbuatan itu sebagai haram apabila berlaku anak yang terang-terang memusuhi kedua-dua ibu bapanya.

Jika perbalahan keluarga itu kisah kecil, lihat pula dalam sebuah masyarakat dan negara.  Kerana berebut kuasa untuk memerintah sebuah negeri dan negara, satu bangsa yang agamanya sama bertelingkah, cemuh-mencemuh, dan saling membongkar keaiban masing-masing.  Semua bertujuan untuk mendakwa puaknya yang terbaik dan lawannya sebagai salah dan dianggap upaya mentadbir kuasa dan harta pusaka sebuah negeri.

Jika petelingkahan dalam sebuah keluarga di atas mudah dihukum sebagai haram kerana Allah meminta umatnya bersatu kerana mukmin itu bersaudara, kerana politik berpuak merebut kuasa negeri bagai tidak mengapa.  Orang agama yang mengeluarkan hukum haram pertelingkahan dalam sebuah keluarga (disebabkan harta), dia pula menyertai pertelingkahan lebih besar dalam sesebuah masyarakat.

Jika satu pihak dalam pertelingkahan keluarga itu dilarang mendabik dada mengatakan pihaknya saja  yang betul, dengan mengatakan kemungkinan ada juga salahnya  lalu diseru bersatu semula, dia pula melebarkan lagi jurang pertelingkahan sesebuah masyarakat.  Kerana politik bagai tak apa berlaku umpat keji, sindir dan perli. Pada masa pilihan raya (Tak lama lagi PRK di Galas, Kelantan) nyata semangat berpecah itu kerana satu parti menyebut nama-nama orang yang menjadi musuh partinya.  Begitulah sebaliknya juga.

Waktu itu jangan bacakan ayat alquran mengenai perpaduan, persaudaraan semasa muslim dan sebagainya. 

Bagi anggota sesebuah parti, semua ayat alquran yang memuji orang-orang beriman adalah untuk ahli partinya, manakala ayat mengenai sifat orang munafik, fasik atau perangai ahli kitab ialah Allah tujukan kepada ahli-ahli parti lawannya.  Misalnya parti A berdoa kepada Allah agar diberi hak mentadbir negeri dan melemahkan usaha parti musuhnya, B. Parti B juga mengadu kepada Allah untuk melemahkan pergerakan parti A yang dianggapnya salah dan memohon Allah memberikan hak partinya mengurus harta pusaka yang bertimbun-timbun banyaknya, tak terkira banyaknya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan