Isnin, 11 Oktober 2010

"MAS, aku cinta kamu!"

DALAM buku Falsafah Hidup oleh Buya Hamka (ulama terbilang), beliau menerima takrifan cinta oleh Sigmund Freud sebagai keinginan seks.  Oleh itu Buya Hamka mudah membuat maksud cinta suci antara lelaki dan perempuan yang kerap dilafazkan oleh anak muda.  Kata Buya Hamka cinta suci antara dua pihak lelaki dan perempuan hanya ada antara seorang ibu terhadap anak lelakinya.  Ibu mencintai anak lelakinya tanpa mengharap apa-apa balasan, melainkan kerana keseronokan mengasihi anak-anaknya.

 Perempuan mencintai kekasih hatinya dan sebaliknya pula apa? Kata Buya hamka, cinta antara dua insan berlainan jenis itu sebenarnya dorongan untuk menikmati seks. Jangan marah!  Itulah naluri manusia normal dan Islam memberi jalan pernikahan untuk mencapai matlamat cinta yang dikatakan ‘suci’ itu.  Jika ditakdir dalam rumah tangga yang katanya didasari oleh cinta sedalam lautan biru dan rindu-rinduan, kemudian gagal meladeni keinginan seks sebagai suami isteri menyebabkan mereka terdedah kepada perceraian. Jangan marah, itu hakikat.  Kan dalam khutbah (?) oleh juru nikah bahawa isteri boleh memohon fasakh jika tidak diberi nafkah zahir dan batin.

Maka wahai anak-anak muda, mencari perkataan yang indah-indah untuk diucapkan terhadap pasangan kalian, disusuli dengan iringan bunga-bungaan semata-mata untuk menarik minat pasangan kalian melakukan persetubuhan.  Naluri ini juga biasa bagi haiwan.  Perhatikan warna ayam dan merak jantan yang berwarna-warni, merupakan fitrahnnya untuk manarik pasangannya melakukan hubungan seks.  Ayam jantan berkokok untuk memikat ayam betina.

Haiwan-haiwan jantan sanggup berlawan sesama sendiri untuk merebut hak melakukan hubungan seks dengan haiwan-haiwan betina.  Dalam kehidupan beruang misalnya, si ayah sanggup membunuh anak beruang jantan kerana menganggap menjadi saingannya untuk mendapatkan seks daripada beruang-beruang betina.

Janganlah kaget jika ada lelaki sanggup bertumbuk dengan lelaki lain semata-mata mendapatkan cinta seorang perempuan.  Itulah perjuangan nafsu bawah pusat!

Cinta perempuan terhadap lelaki pun sama, seks.  Perempuan akan menghias diri demi menarik perhatian lelaki. Lelaki akan terpesona dan melahirkan cintanya. Untuk menambah hangat cinta perlu pertentangan mata, sentuh-sentuhan dan seterusnya, seterusnya.  Banyak pula pasangan yang asalnya hanya mahu berjumpa di kedai runcit, kerana peluang mengucapkan kata cinta hingga membawa ke kancah seks terlarang.  Dan banyak pula lelaki yang sudah mencapai impian cintanya itu meninggalkan wanita dengan sejuta masalah dalam perut.

Masalahnya ialah rasa cinta itu kerap mengatasi kewarasan pemikirannya. Dalam dunia manusia yang waras, banyak pertimbangan untuk melakukan sesuatu. Untuk mengeluarkan wang ribuan ringgit demi anak-anak yatim d an miskin banyak helah melarikan diri, tetapi memberi hadiah intan permata kepada seorang wanita banyak modalnya. Kerana cinta (baca keinginan seksual) lelaki sanggup berbelanja hingga jutaan ringgit.  Dalam sejarah Melaka dahulu, Sultan Mahmud dikatakan gila bayang terhadap Tun Fatimah sehingga melalaikan keutamaan kerja sebagai raja. Kerana nafsu cinta yang gagal, berlakukan pembunuhan sekeluarga Bendahara tun Mutahir dan berakhirlah sebuah kerajaan lebih 100 tahun.

Wow, cinta itu buta kan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan