Isnin, 30 Mei 2011

Mungkin Hj Hadi Awang dan TS Muhyiddin Yasin bertanding di Bukit Bintang!


CARAMARBA atau gali lubang tutup lubang?  Para pemimpin kita bercakap mengenai perpaduan kaum, integrasi nasional dan perayaan bersama dalam suasana ceria.  Para belia dan pelajar pelbagai kaum diseru untuk saling bekerjasama sebagai rakyat Malaysia, mengutamakan semangat tolarensi dan perpaduan.

Waktu-waktu yang lain para para pemimpin kita juga menanamkan curiga antara kaum dengan kenyataan yang terbalik daripada ajakan perpaduan dan integrasi nasional.  Seorang pemimpin tertinggi negara kesal (mungkin marah atau takut) dengan tindakan DAP yang kemungkinan besar meletakkan calon Melayu mewakili parti itu dalam pilihan raya.  Jika selama ini parti kaum Melayu curigakan DAP dan marahkan parti itu dengan tuduhan perkauman, maka sepatutnya dengan tindakan DAP ini dihargai sebagai satu usaha ke arah  perpaduan kaum.

Harap-harap selepas ini ada kecenderungan ahli politik daripada sesuatu kaum bertanding di kawasan yang bukan sarang asal keturunannya.  Mudahnya, mungkin Teresa Kok (DAP) akan bertanding di Besut, Terengganu  dan Hj Hadi Awang (Pas) mewakili PR di Bukit Bintang, KL. Presiden MCA Chua Soi Lek pula boleh mewakili BN di Kuala Kerai Kelantan, manakala Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Pengerusi BN akan melawan Hj Hadi di Bukit Bintang.  Semua ini untuk menggambarkan suasana sebenar bahawa garis perkauman dalam politik sudah berkubur.  Sesiapa sahaja entah apa keturunaan dan agamanya sudah diterima oleh semua masyarakat yang juga sudah meleburkan semangat perkaumannya.

Kita lihatlah nanti hakikatnya, untuk dijadikan garis penentu sama ada semangat perkauman masih wujud di Malaysia atau sebaliknya.  Lihatlah cara BN dan PR menyusun calon-calonnya bertanding di kawasan-kawasan pilihan rayanya, sama ada masih mementingkan suku kaum atau sudah terbuka sebagaimana yang mereka heboh-hebohkan bahawa hari ini semangat satu Malaysia atau perpaduan kaum cukup kental.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan