Khamis, 9 Jun 2011

BERFIKIR untuk mengambil keputusan


PERNAHKAH antara kita meneliti bagaimana kita berfikir dan apa keputusan fikiran itu?  Perkara ini sebenarnya besar dan penting kerana hal itu pasti melibatkan pemikiran, pendirian dan tindakan seseorang.  Bolehkah kita tidak berfikir? Jawabnya tidak.


Kita mesti berfikir. Persoalannya cara berfikir itu secara sambil lewa, sekadar mengikut hasil pemikiran orang lain atau membuat keputusan sendiri.  Kebanyakan kita berfikir kerana dipengaruhi oleh orang lain atau persekitaran.  Jarang sekali seseorang berfikir kerna keputusan yang berdasarkan satu prinsip yang tegas.

Lihat sahaja budaya kemasyarakatan kita.  Ahli masyarakat sebenarnya semua telah melalui sistem persekolahan sehingga di Malaysia kadar buta huruf sangat kecil, tidak sampai 5 persen daripada 28 juta rakyat.  Sekolah merupakan pusat berfikir dan melatih murid membuat keputusan yang baik. mendidik idealisme kepada semua orang, suatu yang berbeda dengan budaya masyarakat. Di sekolah, semua murid diajar bertoleransi sesama manusia, beratur jika jumlah orang banyak untuk mendapatkan sesuatu, membuang sampah dalam tong sampah, melakukan kitar semula, tidak merokok, bertutur dengan sopan santun dan pelbagai keindahan hidup lagi.  Bagi saya sejak dahulu, sekolah merupakan pulau di tengah-tengah laut yang panas dan berombak!

Apa hasilnya terhadap jutaan rakyat yang menjadi masyarakat Malaysia daripada pendidikan di sekolah?  Jika semua murid yang menjadi orang dewasa berfikir sebagaimana yang diajarkan di sekolah, tentu situasi buruk seperti pembuangan sampah merata-rata, gelojoh di jalan raya atau apa juga akhlak buruk tidak banyak berlaku.  Hakikat yang berlaku masih sebaliknya, seperti orang yang tidak pernah dididik berfikir dan mengambil keputusan.

Puncanya, cara berfikir orang ialah disandarkan pada budaya dan persekitaran.  Apa yang diajarkan oleh agama atau disekolah, selalu diremeh-temehkan dengan alasan ‘orang lain tidak begitupun’.  Jika dia hendak mengutip secebis sampah di lantai, fikirannya membuat keputusan ‘tidak perlu sebab orang lain tidak melakukannya pun’.  Jika dia berbelah bagi sama ada hendak merokok atau tidak, fikirannya yang pantas ialah ‘banyak lagi orang lain yang merokok, mengapa aku tidak melakukannya’.

Dalam kes kitar semula barang lama, kebanyakan orang telah menggunakan standard berfikir:  Kalau aku buat pun tak guna sebab berjuta-juta orang lain tidak membuatnya.  Jika dalam 100 orang terdapat 95 orang berfikir begitu, akhirnya program kitar semula gagal walaupun di atas kertas dibuktikan program yang baik. 

Banyak lagi perkara baik tetapi gagal kerana cara berfikir dan membuat keputusan orang ramai berdasarkan andaian yang negatif terhadap orang lain tanpa disahkan.  Kebanyakan membuat andaian ‘orang lain tidak membuatnya’ atau ‘saya seorang saja yang mesti melakukannyakah?’  Ayat-ayat itu tidak pernah disahkan sebagai keputusan bersama di mana-mana pun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan