Sabtu, 14 Mei 2011

SELEPAS 13 Mei 1969


13 Mei datang lagi, tarikh yang sentiasa diingat oleh rakyat sebagai tanda berwaspada.  13 Mei 1969 merupakan bencana akibat perkauman dan kesan salah urus masyarakat dan ekonomi.  Akibatnya pada tarikh itu meletus pergaduhan dan pembunuhan berasaskan kaum, khasnya Melayu dan Cina.  Setelah diselidiki, antara punca utama berlakunya bencana 13 mei itu ialah jurang ekonomi dan sosial yang ketara antara kaum Melayu dan bukan Melayu.  Akibatnya dalam kempen pilihan raya 1969, semua perasaan yang terpendam sejak merdeka diluahkan secara terbuka dan cepat dikongsi bersama.  Dengan sedikit saja percikan ‘api perkauman’ meletuslah rusuhan yang kesannya sangat dalam.

Generasi dahulu yang masih hidup membaca sejarah melalui pengalaman, tetapi yang lahir setelah 13 mei 1969 hanya mengetahui peristiwa dan akibat melalui kajian.  Akibat utama tragedi itu ialah penubuhan Dasar Ekonomi Baru untuk tempoh 20 tahun (1970-1990).  Perlu diakui bahawa DEB merupakan dasar  membantu masyarakat yang miskin dan menyusun semula kedudukan masyarakat.

Oleh kerana dalam statistik jelas kebanyakan yang miskin waktu itu ialah kaum Melayu-Bumiputera, maka banyak program pembangunan ditumpu kepada kaum berkenaan.  Kaum Melayu dan Bumiputera juga digalakkan berhijrah ke bandar khasnya Kuala Lumpur untuk mengimbangi penduduk kaum Cina.  Kerajaan membuka kawasan industri di bandar dan akibatnya berlaku penghijrahan anak muda Melayu ke bandar walaupun kebanyakan mereka tidak mempunyai kemahiran dalam sektor ekonomi moden.

Masalah lain yang timbul ialah kewujudan perkampungan setinggan Melayu di pinggir bandar. Apa kerajaan hendak buat, kebanyakan anak Melayu berpendapatan rendah tidak mampu membeli rumah yang tinggi harganya di bandar.  Jangan pandang tak ada nilai penduduk setinggan di bandar. Merekalah yang membantu kerajaan mencapai objektif mewujudkan komposisi kaum Melayu dan Cina yang seimbang di bandar-bandar besar.  Hari ini, apabila tiba hari raya, KL lengang akibat anak-anak Melayu kembali ke kampung halaman buat seketika.

Orang Melayu mungkin tidak berapa sedar bahawa DEB merupakan satu dasar yang pro-Melayu sehingga kewujudan DEB menggusarkan komuniti Cina.  Hal ini kerana sebelum itu kaum Cina bebas dan menguasai ekonomi tanpa saingan, tetapi apabila DEB dilaksanakan jelas kaum Cina mendapat saingan baru dalam ekonomi.  Yang menyebabkan kaum Cina merasakan zaman sukar ialah kemunculan elit peniaga-peniaga Melayu yang dilindungi oleh politik atau kuasa pemerintahan.
Walaupun kaum Cina sedar bahawa sejak tahun 1946 dengan kebangkitan menentang Malayan Union, sebagai bermulanya proses pengukuhan kuasa Melayu, tetapi sejak DEB merupakan kemuncaknya kerana projek-projek kerajaan terlalu banyak diberikan kepada kontraktor Melayu atas nama pengagihan kekayaan negara yang seimbang.

UKM sendiri ditubuhkan untuk memenuhi kehendak DEB iaitu melahirkan sebanyak mungkin ahli ikhtisas dan professional Melayu selain penetapan kouta yang tinggi untuk pelajar-pelajar Melayu di semua institusi pengajian tinggi awam.  Kerajaan pula telah menghantar pelajar-pelajar Melayu ke seberang laut, daripada yang mendapat keputusan terbaik dalam SPM sebagai mengimbangi pelajar-pelajar bukan Melayu di seberang laut

Suatu yang pengkritik Melayu tidak berapa sedar bahawa kerajaan telah menubuhkan berpuluh-puluh agensi kerajaan untuk kementerian dan peringkat negeri demi mempercepatkan proses pembangunan ekonomi Melayu dan Bumiputera.  Kedudukan Pernas misalnya sangat memberi kesan kepada peniaga Cina kerana kejayaan agensi itu meneroka bidang pemasaran yang selama ini dikuasai kaum Cina.


Hari ini setelah DEB tamat secara teknikal dan telah 40 sejak 13 Mei 1969, kalaupun di bandar dan pekan  masih kurang dilihat kedai dan bangunan industri milik Melayu, namun kaum Melayu tidaklah merempat dan hina kerana masalah kemiskinan.

Walaupun dikritik sampai ke peringkat disebut sebagai ‘agenda asabiyah’ tetapi para pengkritik tetap mendapat impak kuasa beli orang Melayu Islam yang kian tinggi. Mungkin seorang yang membenci agenda Melayu kerana dikatakan asabiyah mendakwa tidak mendapat manfaat DEB dan dia bangun sebagai usahawan sendiri, tetapi harus diingat kebanyakan pelanggannya adalah mereka yang tinggi kuasa belinya kerana manfaat program pembangunan ekonomi Melayu yang dikritiknya.

Eloklah jangan terlalu mudah melatah.  Kalau mendalami agama, banyak ditemui ayat menerangkan mengenai manusia yang menolak kebenaran (alquran dan sunah) kerana mementingkan hawa nafsu.  Bukan dalam hal agama (ibadah) sahaja ditemui pemikiran berdasarkan hawa nafsu, malah dalam banyak bidang kehidupan khasnya politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan