Sabtu, 14 Mei 2011

KAEDAH belajar yang memanaskan bumi

SAYA sedang berehat daripada mengikuti kursus transformasi dalam pendidikan: Daripada 100 peratus peperiksaan kepada 60 peratus, yang 40 peratus merupakan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS).  PBS bermakna semua murid bagi setiap subjek akan membuat hasil kajian atau kerja kursus.  Hal ini bermakna akan berlaku pertambahan dalam penggunaan kertas untuk mengurus PBS dan untuk menghasilkan tugasan.

Akibatnya, banyaklah sumber alam seperti pokok akan ditebang semata-mata untuk mendapatkan jumlah kertas yang mencukupi.  Semua pakar telah memaklumkan bahawa antara punca pemanasan global ini ialah penebangan pokok yang selama ini antara sumber oksigen dan penyejuk alam.  Pelik, sewaktu semua negara dalam dunia bersatu untuk mencari jalan mengurangkan pemanasan global, kita sedang berfikir untuk menambah pemanasan alam.

Tanpa mengubah sistem pada kaedah peperiksaan awam di negara kita pun, jumlah penggunaan kertas semakin bertambah kerana pertambahan jumlah murid setiap tahun.  Jika dalam pertambahan jumlah murid itu, ditambah penggunaan kertas secara terancang dan dilindungi undang-undang, berapa banyakkah cepatnya kadar penebangan pokok di dunia ini.


Undang-undang juga menyatakan hasil tugasan murid ini tidak boleh dihantar ke pusat kitar semula kerana dibimbangi berlaku kebocoran data. Maka semua kertas itu mesti dibakar atau dihancurkan (dan dibuang ke dalam gaung?).

Adalah lebih afdal  semua pemikir termasuk ahli pendidikan berfikir bagaimana untuk mengurangkan penggunaan kertas dalam dunia pendidikan.  Sepatutnya, kaedah peperiksaan kian mengurangkan kertas seperti menggunakan computer atau bersifat alam maya.

Kita kerap berkata, generasi hari ini meminjam dunia hari ini daripada generasi masa depan.  Persoalannya, adakah benar kita sedang meminjam dunia ini daripada anak cucu kita.  Dunia bagaimana yang akan dipulangkan kepada mereka?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan