Isnin, 16 Mei 2011

DI BALIK kerja sebagai guru


SELAMAT hari Guru setiap tanggal 16 Mei. Walaupun yang dinamakan guru itu sangat luas ertinya, tetapi secara profesional, kerjaya guru di negara kita mudah untuk diertikan.  Secara teknikal dan mudah difahami, guru ialah orang yang mengajarkan mata-mata pelajaran di sekolah-sekolah!

Malaysia ada Kementerian Pelajaran yang menguruskan hal pelajaran berjuta-juta murid sekolah rendah dan menengah.  Di samping itu ada kira-kira 400 ribu orang guru yang bermajikankan kerajaan persekutuan di bawah kendalian Kementerian Pelajaran Malaysia.

Hari ini sebagian besar guru merupakan mereka yang mempunyai ijazah sarjana muda dan bakinya diploma perguruan.  Akan datang semua guru mesti mempunyai ijazah sarjana muda.  Mudah difahami bahawa kerjaya guru masih dalam kategori kerjaya ‘kolar putih’.  Mana-mana penuntut pengajian tinggi dalam bidang pengurusan tentulah meletakkan sasaran untuk menjawat kerjaya kolar putih.  Ini teori dan amalan biasa.

Oleh kerana pasaran kerja kolar putih untuk pemegang ijazah sarjana muda semakin kecil (kecil kerna jumlah pencarinya semakin membanyak) maka sebagian daripada mereka bersedia untuk beralih ke kerjaya keguruan.

Tidak dapat dinafikan secara pandang, kerjaya guru tampak mudah.  Namun apabila diselidik dan diterokai, menjadi guru lebih sukar berbanding bertugas sebagai jurutera!  Apabila membanding gaji, nyata gaji jurutera lebih lumayan berbanding guru. Soal kenaikan pangkat juga, sangat perlahan dalam kerjaya guru kerana jumlah warga guru yang terlalu besar.  Semasa Datuk Seri  Mohd Najib menjadi Menteri Pendidikan dahulu pun beliau pernah mengakui bukan mudah untuk menunaikan permintaan warga guru dalam soal kenaikan pangkat atau imbuhan kewangan lain kerna jumlahnya terlalu besar dan tentunya kos tanggungan kerajaan menjadi bertambah dalam satu keputusan singkat sahaja!

Sekalipun begitu, kerjaya guru tampaknya menjadi buruan juga dalam kalangan pemegang ijazah sarjana muda.  Bolehlah dikatakan bekerja sebagai guru mesti mempunyai kesanggupan tersendiri yang luar biasa.  Saat mereka yang menjawat jawatan pengurus dan pentadbiar dalam mana-mana syarikat swasta atau jabatan kerajaan lain, yang menjadi guru mesti sanggup bertugas di pedalaman yang serba kekurangan.  Jika rakan di kementerian bukan pelajaran yang berijazah mendapat bilik khas dan pembantu, guru hanya dilonggokkan dalam satu ruang besar dengan sebuah meja yang penuh dengan buku, kertas dan pelbagai macam benda.  Jangan harap mempunyai pembantu khas, malah dirinya juga ada yang bertugas menyelia tandas murid, longkang dan padang yang becak!

Mengajar di sekolah-sekolah terpilih seperti MRSM, sekolah-sekolah berasrama penuh seperti Kolej Tunku Kurshiah Seremban, Tun Fatimah JB, Star Ipoh, Seri Puteri Putrajaya, MCKK (sebagian saja), mungkin menjadikan kerjaya guru bagai raja guru, indah dan boleh diceritakan kepada rakyat seronoknya menjadi guru.  Mari turun menjadi guru di sekolah rendan dan menengah harian biasa, yang muridnya terbuka daripada semua lapisan masyarakat dan aras pencapaian IQnya.  Di sanalah cabaran sebenar menjadi guru yang mensasarkan semua anak muridnya mencapai tahap lulus semua mata pelajaran.  Belum tentu para pakar motivasi atau pegawai pendidikan di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) atau di PPD yang sering mengkritik guru itu dan ini, mampu melaksanakan tugas sebersih-bersihnya sebagaimana yang selalu mereka katakan.  Kata orang, cakap dengan air liur saja, bekerja dengan bahu dan keringat.

Adanya Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) atau Guru Sementara sebenarnya menambah persepsi ‘mudahnya’ kerja guru dan semakin tidak professional.  Mereka dilantik sebagai guru (tak kiralah atas alasan apa) yang tidak ada kemahiran menjadi guru, hanya dikatakan ada kelulusan akdemik.  Jadilah kerjaya guru sebagai sambilan, seperti kerja sebagai petani dan nelayan juga.

Begitulah kerjaya guru di balik keindahan saban tahun pada 16 Mei, yang membacakan sajak Usman Awang “Guru oh Guru’.  Penilaian itu hanyalah pandangan kasar di sisi manusia, yang di sisi Allah semua orang tidak tahu.  Mungkin ada guru yang tidak perduli apa-apa soal kebajikan atau kenaikan pangkat, dia hanya bertugas semampunya dengan reda atas nama ibadah.  Mungkin ada yang menjadi guru benar-benar mahu berkorban, sengaja tidak mahu ditukar ke tempat mewah dan moden semata-mata kerna mahu mendidik anak-anak murid yang serba daif di pedalaman.  Ada orang begitu.  Selalunya orang sebegini, hanya dihargai oleh pegawai di PPD tatkala dia bersara. Guru sedemikian sebenarnya tidak kisah apa-apa, malah reda jika hari akhirnya sebagai guru tidak dibuat apa-apa majlis pun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan