Sabtu, 21 Mei 2011

NASI lemak satu sen, sebidang tanah 40 ringgit!


TERINGAT cerita ibu saya semasa bersekolah selepas zaman Jepun menggunakan wang satu sen.  Ibu kata harga makanan di kantin sekolah dinilai satu atau dua sen.  Pada masa saya kecil tahun 1970-an, saya juga masih dapat mengumpul wang syiling satu sen yang bentuknya segi empat tertulis 1 cent dengan gambar Ratu British.  Kalau sesiapa membaca novel Interlok, pasti ketawa (kalau mengukur nilai / harga barang pada zaman sekarang) apabila sebidang tanah untuk bersawah dibeli pada harga 40 ringgit!  Itupun orang tidak mampu membelinya dan terpaksalah berhutang kepada tauke Cina.  Hari ini sebidang tanah yang 40 ringgit itu sudah menjadi RM200 ribu atau RM300 ribu!  Nasi lemak satu sen di sekolah ibu saya dulu sudah menjadi RM1.50!

Kenaikan harga barang pada hari ini bukan diukur dengan nilai satu atau dua sen.  Adakah gula akan naik harga pada masa depan sebanyak 13 sen?  Adakah gaji orang akan dinaikkan sebanyak 1.48 sen?  Orang sudah tidak memandang nilai satu atau dua sen kerana kenaikan harga yang tinggi.  Anak sekolah tidak lagi membawa wang sangu sebanyak 25 sen sebagaimana zaman saya dahulu.  Anak-anak hari ini dibekalkan sangu RM2.00 bukan RM1.75.

Namun kerajaan akan mengeluarkan duit syiling satu sen semula.  Kos untuk mengeluarkan syiling satu sen pun bukan satu sen lagi.  Di bawah ialah berita dari Sinar Harian.

KANGAR - Kerajaan sedang menimbangkan cadangan penggunaan semula syiling satu sen dalam usaha mengurangkan bebanan yang ditanggung rakyat akibat kenaikan harga barangan. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu akan diusulkan dalam mesyuarat Kabinet bulan hadapan. 

“Saya akan cadangkan agar syiling satu sen digunakan semula. Jika harga barang naik satu sen, sebagai contoh, kenaikan harga barang menyebabkan harga teh tarik naik RM1.71 sen, jadi patut tambah satu sen sahaja, jangan tambah empat sen (digenapkan kepada lima sen terdekat menjadi RM1.75). 

“Jadi tak salah kalau kita guna semula kerana satu ketika dulu kita pun guna satu sen,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Jalinan Mesra Rakyat di Dewan 2020, semalam. 

Menurutnya, perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) juga akan diadakan mengenai perkara itu. 

“Kita akan bincang perkara ini dengan BNM, biar caj yang dikenakan mengikut kadar yang betul. Jadi ia tidak akan membebankan,” katanya. 

Sementara itu, beliau meminta sektor swasta tidak mengenakan harga yang terlalu tinggi kepada pengguna walaupun kos pengeluaran meningkat disebabkan kenaikan harga barang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan