Sabtu, 25 Jun 2011

PELAJARAN kita cenderung perempuan


KALAU rajin melihat jumlah murid atau pelajar dalam kelas-kelas yang dikatakan pintar, maka jelaslah jumlah yang perempuan mengatasi lelaki.  Paling jelas di Tingkatan Enam jumlah lelaki jauh ketinggalan berbanding perempuan.  Ini ditandai dahulu dengan keputusan dalam SPM yang jelas jumlah pelajar terbaik daripada lelaki memang kurang.  Oleh itu apabila sampai ke university, memanglah 70 peratus lelaki dan bakinya perempuan.

Lalu orang mudah membuat kesimpulan lelaki malas belajar dan banyak melakukan maksiat.  Oleh itu kata mereka, lelaki banyak masuk pusat tahanan seperti penjara dan pusat pemulihan penagih dadah berbanding university.  Kemudian kaum perempuan juga membuat kesimpulan yang menggerunkan apabila mereka mengatakan lelaki sekarang tidak berkualiti dan mereka rela tak berkahwin!

Bacalah al-Quran, Allah mengatakan lelaki dan perempuan  berbeda.  Lelaki itu pemimpin kepada kaum perempuan.  Namun begitu daripada sudut hak beribadah dan mendapat pahala di sisi Allah, semuanya sama.

Apabila Allah menjadikan lelaki dan wanita berbeda, maka kecenderungannya juga berbeda.  Kandungan pelajaran di negara kita tidak membedakan antara lelaki dan perempuan, tetapi jelas pelajaran yang ada lebih memihak kepada perempuan.  Jika perempuan lebih cenderung kerja-kerta yang perlu ketekunan dan ketelitian, lelaki sebaliknya.  Sebab itu perempuan mudah mendapat markah tertinggi dalam peperiksaan, sedangkan lelaki markahnya sedikit.

Perempuan tidak suka pelajaran bersifat psikomotor yang banyak menggunakan pergerakan fizikal dan kreativiti.  Sifat perempuan itu lebih pada menerima, bukan berfikir untuk mencipta yang baru. Kecuali pelajaran Kemahiran Hidup, pelajaran lain seperti matematik, Sejarah, Geografi dan lain-lain bersifat pemahaman dan hafalan.  Itulah bidang pelajaran yang menjadi kesukaan perempuan, malangnya lelaki tidak suka.  Oleh itu apabila dibuat ujian, banyaklah perempuan mengatasi lelaki.

Di Tingkatan Enam dan university keadaannya lebih parah.  Mana ada pelajaran Tingkatan Enam yang bersifat lapangan?  Semua pelajaran itu bersifat data dan memerlukan penghafalan.  Oleh itu hampir semua pelajar lelaki akan mengelakkan pelajaran yang membosankan itu.  Ke mana lelaki selepas SPM?

Pelajar lelaki lebih suka memilih bidang yang mencabar minda dan kelasakan fizikal.  Lihat berapa banyak lelaki memasuki pasukan polis, tentera dan pelbagai bidang penguatkuasaan.  Di situlah berkampungnya lelaki, bukan di penjara!

Selagi kandungan pelajaran tidak dibedakan antara lelaki dan perempuan, keadaan yang berlaku sekarang akan berterusan.  Malangnya dalam bidang pekerjaan, kepemimpinan lelaki memang diperlukan, berbanding perempuan.  Lebih malang pula sedikit lelaki yang sanggup terus menerokai pelajaran yang memang dalam lingkungan psikologi perempuan.  Oleh itu sangat sedikit lelaki yang terhasil dalam bidang kepemimpinan.  Perempuan memang banyak yang mempunyai pelajaran tinggi, tetapi berapa banyak yang ada kualiti kepemimpinan seperti lelaki?  Jangan hendak marah, soal kepemimpinan yang memerlukan ketahanan mental dan fizikal sudah Allah jelaskan terdahulu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan