Sabtu, 18 Jun 2011

TAK habis-habis mempolitikkan pendidikan


SEKARANG ini guru-guru Bahasa Melayu sedang menampal petikan, ayat atau perenggan dalam novel Interlok yang dikatakan menghina kaum India.  Saya melihat novel ini sudah terlalu dipolitikkan untuk tujuan tertentu.  Percayalah, sekalipun sudah bertampal-tampal, puak berkenaan akan bising lagi.  Kasihan murid-murid menjadi mangsa permainan orang yang tidak pernah menghargai apa yang orang lain beri.  Beri betis hendak paha!


Berapa banyak perkara pelajaran sudah dipolitikkan.  Lihat saja Sekolah Wawasan yang berhenti setakat ini.  Apa buruknya Sekolah Wawasan untuk negara? Tidak ada!  Sekolah itu benar-benar mahu menyumbang perpaduan rakyat sejak usia kanak-kanak, malangnya dijadikan mangsa untuk berpolitik.  Kerajaan bimbang kalah dalam pilihan raya, maka dihentikan di situ sajalah program SW.

Isu subjek Sejarah wajib lulus pun sebenarnya agenda politik.  Puncanya segolongan rakyat yang berani bersuara lebih-lebih sedangkan nenek moyangnya dahulu berjanji tidak akan menjerit-jerit mengenai hak yang diperjuangkan oleh satu parti politik.  Pemimpin kerajaan ini berasa mereka wajib disedarkan mengenai asal-usulnya. Asal-usul itu sejarahlah.  Untuk mereka faham asal-usul, wajiblah membuka sejarah lama. Itu pasal diwajibkan lulus Sejarah. 

Sebelum ini bukan senang hendak lulus sejarah, walaupun bukanlah sukar.   Sudah menjadi pandangan umum, subjek sejarah tidak diminati murid (termasuk yang sudah jadi orang)  sekalipun menjadi subjek wajib dipelajari.  Kata sebagian guru yang memeriksa jawaban pelajar….’pemarkahannya dimudahkan…supaya mudah lulus’.  Ceh, tiada kualiti la.  Sama juga dengan sebelumnya, belajar tapi tak lulus, akibatnya bebal sejarah.  Jika betul dimudahkan pemarkahannya, belajar dan lulus tapi sebenarnya tidak tahu pun sejarah itu apa. Kembali di dunia bebal sejarah.

Sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil pun boleh dikatakan lambang pendidikan yang dipolitikkan.  Sekolah-sekolah itu sepatutnya sudah lama ditutup, semua masuk sekolah kebangsaan aliran Bahasa Melayu.  Satu bahasa , satu sekolah saja untuk memulakan perpaduan kaum.  Kalau betul-betul mahu membina satu bangsa Malaysia, sudah lama sekolah satu aliran yang sama. Orang politik mainkan isu sekolah ini, untuk menjadi jaguh dan akhirnya menjadi pemimpin.  Boleh menjadi menteri atau kepala pembangkang di Parlimen.  Cuit sekolah vernacular ini, melatahlah semua orang politik.

Tak sudah-sudah sekolah, buku dan murid-murid dipolitikkan. Mujur murid-murid belum dibenarkan mengundi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan