Jumaat, 17 Jun 2011

JAGA disiplin jika mahu berjaya


SEMUA orang mahu murid-murid yang belajar dan menduduki peperiksaan menjadi cemerlang dalam serba-serbi.  Oleh kerana pelajaran di negara kita masih berorientasikan peperiksaan, maka ukuran utama seseorang murid ialah melalui hasil peperiksaannya.  Banyaklah teori sudah diberikan mengenai punca murid itu cemerlang atau gagal dalam peperiksaan.


Akhirnya diketahui, faktor utama kecemerlangan akademik murid ialah disiplin hidupnya.  Ingat disiplin hidup, bukan disiplin belajar.  Ada orang yang cenderung pendidikan agama mengatakan murid yang mencuaikan ajaran agama, dia akan gagal.  Pendapat ini mudah saja dibantah apabila murid-murid yang bukan Islam atau yang kehidupannya tidak dilingkungi agama sebagaimana murid muslim, banyak mendapat keputusan peperiksaan yang sangat berkualiti. 

Disiplin hidup murid bermula dari rumah, di atas jalan, dalam bersosial dengan kumpulannya dan di sekolah.  Tak mengira sama ada murid ini beragama Islam atau tidak, Tuhan tidak pernah pilih kasih untuk memberi hak kepada manusia yang beusaha dan malas berusaha.  Yang berdisiplin, mempunyai strategi terbaik, mengeluarkan modal, mengorbankan masa dan tenaga pasti mendapat hasil yang baik.  Sebaliknya murid yang selekeh serba-serbi, akan jauh ketinggalan sekalipun hari-hari berdoa, meminum air jampi, atau tidak cuai menunaikan solat lima waktu. 

Doa kepada Allah merupakan salah satu strategi setelah berusaha sebaik mungkin.  Memang ada kes luar biasa bahawa doa telah mendatangkan keputusan luar biasa, tetapi usaha tetap dilakukan.  Islam bukanlah satu ajaran yang dikaitkan dengan keajiban atau hasil pelik di luar kotak sunah alam.  Misalnya seorang murid yang malas berusaha dalam pelajaran tentulah pengetahuan dan kemahirannya terhad.  Katakanlah orang seperti ini Allah berikan satu keputusan peperiksaan yang cemerlang atas alasan ‘Tuhan maha kuasa’, adakah murid seperti ini kelak akan terus menjadi orang yang berpengetahuan dan berkemahiran secara ‘ajaib’?  Kecualikan para rasul dan nabi yang terpilih untuk membawa mesej dari langit, setakat manusia biasa……untuk pandai mestilah melalui pengalaman mencari pengetahuan!  Sebab itulah Allah tetap memberi hasil yang baik kepada murid-murid bukan Islam dalam pelajaran kerana usaha mereka yang sempurna.

Disiplin murid pula bukan terbentuk secara semula jadi, melainkan dirancang, dibina dan dikekalkan oleh orang dewasa.  Di sekolah, guru-gurulah yang membentuk disiplin hidup murid.  Orang yang hendak membentuk disiplin murid-murid pula mestilah orang yang sentiasa berdisiplin dalam hidupnya.  Pasukan guru satu sekolah berdisiplin dalam serba-serbi, maka semua muridnya akan mempunyai sikap dan akhlak yang baik. Jangan harap  guru yang  selekeh dalam banyak hal berjaya membentuk murid yang berdisiplin, malah guru seperti inilah yang akan menghancurkan saki-baki disiplin murid yang ada.  Begitu juga di rumah, ibu bapalah yang mesti berdisiplin dahulu sebelum mendisiplin anak-anak mereka.  Teori ‘dengar cakap saya tapi jangan ikut perangai saya’ bukan sahaja tidak boleh digunakan, malah tidak pernah pun diterima dalam mana-mana kaedah mendidik manusia!

Kesimpulannya, syarat utama sesiapa saja yang mahu berjaya, disiplin hidupnya merupakan asas.  Untuk mengetahui apa itu disiplin, kita mestilah mempunyai satu tanda aras yang betul untuk dijadikan kayu ukur sejauh mana suatu disiplin sentiasa terjaga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan