Khamis, 16 Jun 2011

PERJUANGAN Pengetua sekolah


FAKTOR utama kejayaan pendidikan di sekolah adalah Pengetua!  Pengetua pelaksana semua dasar dan sistem yang sepatutnya digunakan di sekolah.  Jika Pengetua seorang yang berpandangan jauh, dedikasi dan punya kesanggupan berkorban masa dan tenaga, potensi kecemerlangan pendidikan sekolah berkenaan tinggi.  Sebaliknya, jika Pengetua itu kurang mempunyai perasaan kecintaan terhadap sekolah, menyebabkan kerja-kerja utamanya sebagai Pengetua juga kurang mantap.

Dengan kemantapan pemikiran dan kerja Pengetua, budaya guru dan murid di sekolah dapat dibentuk ke arah yang positif.  Pengetua mempunyai kuasa preogratif tertinggi di sekolah, maka beliau dapat mengubah sikap guru-guru dan murid-murid.  Sekolah-sekolah yang cemerlang dipimpin oleh Pengetua yang berani melaksanakan dan mempertahankan perubahan.  Sekalipun Pengetua itu seorang perempuan, tanggung jawabnya sebagai ketua di sekolah sangat dihormati.  Jika ada guru yang percaya mempunyai pandangan tersendiri dan bertentangan dengan pandangan ketuanya, Pengetua masih boleh berjaya mengatasi pandangan lain dengan keterampilannya berhujah.

Kejayaan sekolah membawa pihak ibu bapa ke sekolah dan melakukan kerjasama bersamanya, merupakan satu aspek penting kejayaan sekolah.  Semua pihak tahu bahawa asas utama sahsiah murid bermula di rumah.  Urusan rumah pula bukan peranan pihak sekolah.  Sejauh mana Pengetua berjaya melaksanakan dasar kolaboratif dengan ibu bapa, sejauh itulah peribadi murid-murid berjaya diubah. 

Ada pengetua mengambil risiko untuk melibatkan ibu bapa dalam menyelesaikan masalah disiplin pelajar sekalipun hanya soal kecil.  Jika keberanian ini berjaya dikekalkan peratus masalah disiplin murid-muridnya kecil berbanding jika kerjasama ibu bapa dengan sekolah tidak diekploitasi dengan baik.  Jika sekolah hanya bersendirian dalam usaha mengubah keterampilan murid-murid, akhirnya sekolah menjadi pulau yang terpencil di tengah-tengah masyarakat.  Pertentangan nilai antara institusi sekolah dan masyarakat terjadi dan murid-murid akhirnya kembali dalam masyarakat dan melupakan nilai dari institusi sekolah.

Sesungguhnya kepemimpinan merupakan satu seni bagi seorang pemimpin.  Tidak ada kejayaan dalam apa juga bidang di sekolah jika kepemimpinan Pengetua yang kaku dan tidak kreatif.  Keberanian, kewaspadaan dan  ketakutan  sentiasa ada pada sesiap pun termasuk Pengetua.  Pandai-pandailah dia sebagai orang yang paling berpengalaman menggunakan apa juga peluang, ruang dan kesempatan untuk membentuk satu komuniti pendidikan yang berjaya.  Kejayaan seorang pengetua jelas hasil kerjasama semua pihak namun ada kejayaan sesetengah pihak di sekolah tidak pun melalui pejabat Pengetua!

Selamat berjuang Tuan Pengetua di mana jua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan