Jumaat, 18 Mac 2011

PAS dan judi: INI BERITA TERBALIK!

Kerajaan Kelantan yang diterajui oleh Parti Islam Se-Malaysia (Pas) membuat kenyataan untuk menilai semula pengharamannya terhadap perniagaan judi!  Bukan Menteri Besar Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang mengumumkan, tetapi setiausaha akhbarnya.  Nampak berat sangat TG Nik Aziz untuk menerima keadaan ini.  Maklumlah berita terbalik!


Sejak Pas menerajui kerajaan Kelantan bermula 1990, kerajaan itu begitu konsisten mengenai pengharaman apa saja isu perjudian, sama ada judi yang memang bertujuan untuk meruntuhkan institusi keluarga atau judi yang bertujuan untuk mengumpul dana membantu orang miskin.  Loteri kebajikanlah!  Dalam kempen-kempen politik untuk membedakan Pas dan Umno, judi telah dijadikan kayu ukur atau pemisah seperti hitam dan putih.

Salut kepada Pas dalam isu judi yang membuat Umno menjadi tikus.  Malah kejayaan Kelantan bebas judi selama 20 tahun dijadikan salah satu penanda aras slogan ‘Membangun Bersama Islam’.  Harap-harap berita terbalik berkenaan judi dan Pas ini akan ‘berdiri betul’ semula: Pas berjaya terus haramkan aktiviti perjudian.

Mengapakah Pas yang begitu fanatik terhadap pengharaman judi, hari ini ‘terketar kepala lutut’?  jawabnya ialah perkongsian kerja  dan matlamat politik dengan parti yang tidak pernah menerima Islam sebagai satu jalan penyelamat: DAP dan PKR!  Harapan Pas bergabung dalam Pakatan Rakyat (PR) ialah untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan melaksanakan lebih jelas nilai-nilai Islam dalam kehidupan masyarakat majmuk.  Pas berkali-kali mendawa bahawa DAP yang didominasi bukan Islam (dan ada rekod secara terbuka melawan sistem Islam) lebih terbuka mengenai Islam, berbanding dengan Umno dan MCA.  Sebagai modal politik juga, Pas kerap menuduh Umno gagal memberi pemahaman Islam terhadap MCA. Lihat kes calon Pas tidak bersalam dengan lelaki (bukan mahramnya) dalam PRK Tenang, Johor.

Umno selama ini menikus dalam isu judi kerana parti itulah yang awal-awal menyerah kalah terhadap tuntutan bukan Islam.  Umno tidak meletakkan dasar al-quran dan sunah sebagai paksi perjuangannya, maka dengan mudah diasak oleh rakan-rakan politik bukan Islamnya.  Pas yang jelas membawa obor Islam juga diasak oleh rakan-rakan bukan Islam, dan nampaknya sedang goyah. Ini menunjukkan parti-parti Melayu Islam yang sepatutnya menjadi tauke besar dalam politik dan penggubalan dasar tidak mempunyai kekuatan.  Inilah malangnya apabila umat Islam yang hanya 60 peratus tetapi berpecah dua, dan akhirnya kedua-dua parti dipandang sebelah mata oleh parti-parti bukan Melayu/Islam.

Kalau pun Pas dan Umno bergabung untuk menghadapi asakan parti-parti bukan Melayu-Islam, belum tentu Pas-Umno boleh berdiri kukuh.  Untuk sesuatu kaum atau bangsa berdiri kukuh dengan prinsip perjuangan ialah dengan kekukuhan bersepadu politik, ekonomi dan sosial.  Puncanya ialah kekalahan ekonomi dengan bukan Melayu.  Orang bukan Melayu (Islam) bukan melihat roh perjuangan agama, mereka lebih melihat angka ekonomi.  Kalau orang Melayu menguasai ekonomi, barulah mereka akan melihat dengan kedua-dua mata.  Malangnya pemimpin-pemimpin politik Melayu kita tidak bersungguh-sungguh membangunkan ekonomi Melayu.  Malah nyawa politik sesetengah pemimpin politik Melayu juga ditanggung oleh ekonomi bukan Melayu.  Ops, bukan rahsia kan?

Jadi begitulah, kita sedang di…….

BERKEBUN menjaga habitat alam


KADANG-kadang diakui, pemikiran dan tindakan saya nbanyak berada dalam kandang minoriti.  Saya tidak ada tanah kebun, yang selalu saya uruskan ialah tanah ayah dan ibu. Kedua-dua mereka sudah tua renta, maka sayalah galang gantinya.  Kebun-kebun jiran tetangga tampak licin tidak punya rumput kerana diracun sehabis-habisnya. Agaknya, hasil panen setiap kali berganda-ganda sebab semua baja dalam tanah disedut oleh pohon-pohon sawit sahaja.

 telur ayam hutan yang kerap ditemui di kebun

Saya menuruti pesan ayah, iaitu tidak meracun kebun sebaliknya mengetam rumput.  Oleh itu rumput-rumput masih menikmati kehidupan dan tampak hijau.  Memang agak cerewet melakukan kerja-kerja ini yang mesti dilakukan sekali setiap dua minggu.  Namun saya mengakui kehendak ayah, diterima dengan syukur.

Jika di kebun orang lain tidak ditemui lagi belalang dan ayam hutan, di kebun ayah sayalah bersarang makhluk Tuhan itu yang seakan kehilangan habitatnya.  Ya, saya mengerti…,  apa ertinya kebun jika tidak ada lagi kehijauan, kesegaran mata memandang dan menemui belalang, burung dan unggas lain?

Satu lagi, banyak orang tidak sadar bahawa tumbuhan hijau membekalkan karbon dioksida yang diperlukan dalam pernafasan manusia.  Memang pokok sawit lain itu pun punya proses fotosintesis, tetapi tumbuhan lain juga punya proses yang sama. 

Orang kerap berfikir, ini perkara kecil dan remeh-temeh!  Tak mengapalah kerana saya yakin janji Allah untuk amal yang sebesar zarah pun ada nilai di sisi-Nya.  Semoga yang saya lakukan atas nasihat ibu dan ayah dalam hal alam sekitar ada faedahnya, meskipun untuk semut-semut dan belalang hijau!

Khamis, 17 Mac 2011

HAK Anwar membela diri di mahkamah


YANG Berhormat Kulim Bandar Baru yang juga mantan peguam bela Anwar Ibrahim dalam blognya meminta Anwar berikan setitik darah untuk ujian DNA.  Kata Zulkifli Nordin ini, demi kebenaran.  YB ini samalah dengan wanita-wanita Umno yang menulis sepanduk meminta Anwar memberikan DNA untuk disamakan dalam satu DNA lelaki rahsia yang ditemui pada tubuh lelaki lain.


Tidak salah Zul dan teman-temannya yang wanita-wanita Umno itu.  Tetapi sebagai peguam yang pernah membela Anwar dalam kes liwat pertamanya dahulu, tidakkah dia mengetahui mengapa manusia Anwar dituduh bermukah dengan isteri orang, dibawa tilam dan bulu ke mahkamah yang satu dunia tahu, kemudian mahkamah mengatakan semua itu tidak relevan.  Apakah itu bukan permainan untuk menjatuhkan maruah seseorang!

Jika YB Zul berkedudukan seperti Anwar yang sangat menakutkan semua pihak dalam Barisan Nasional, saya yakin YB Zul juga akan menghadapi tribulasi seperti Anwar. Alah…, dia dan Wakil-wakil Rakyat yang selama ini menjadi pembangkang dan kini menjadi bebas pun faham apa erti ‘tekanan politik’.  Mereka baru menjadi Wakil Rakyat sudah ditekan pelbagai rupa, dan gagal.  Anwar sudah mengisytiharkan akan menjadi PM jika PR mengalahkan BN, tidak ada satu pejuang BN pun yang akan mengalu-alukan persaingan sihat sejahtera dalam politik!  Jangan berdusta.


Menjadi hak Anwar untuk membela dirinya dalam mahkamah yang berdasarkan undang-undang.  Siapa pun yang menjadi peguam bela Anwar (termasuk En Zul, jika berkedudukan seperti Karpal Singh) akan mempertahankan dan membela anak guamnya.  Para peguam dan anak guamnya akan sedaya upaya memberikan persembahan dalam mahkamah untuk meragukan segala tuduhan. 

Tulisan ini bukan untuk membela Anwar, tetapi mahu memberi sedikit pemahaman mengenai hak sesiapa yang dituduh dalam mahkamah untuk membela dirinya.  Tanyalah diri sendiri, jika berada sebagai Anwar dalam mahkamah. 

INTERLOK dan Alkitab Melayu


DUA buah buku dalam tuntutan yang berkepentingan: novel Interlok dan kitab Bible dalam Bahasa Melayu.  Segelintir kaum India berasakan ada hal sensitif dalam novel itu dan wajib diubah.  Kaum Bumiputera di Sabah dan Sarawak berasakan menjadi haknya membaca kitab agama mereka dalam Bahasa Melayu. Bible Bahasa Melayu pula agak sensitif kepada sebagian orang Melayu di Semenanjung.


Dengan keluarnya tiga keturunan India dalam panel penilai bebas untuk mengkaji tuntutan kaum India berkenaan Interlok, dianggap tuntutan kaum minoriti itu nampaknya gagal.  Kepada intelektual Melayu memang mempertahankan novel itu diguna tanpa pindaan.   Khabarnya Menteri Pelajaran yang juga TPM tidak setuju tuntutan meminda 100 hal dalam novel itu, sehingga masalah ejaan pun dituntut ubah eja!

Saya percaya kerajaan yang berpaksi orang Melayu lebih berpihak kepada imej Sasterawan Negara yang melambangkan intelektual Melayu.  Lagi pula, untuk apa novel dipinda sedangkan ini karya sastera.  Dalam buku ‘Sejarah Melayu’ lagi banyak benda pelik yang menyalahi pemikiran Melayu moden, malah ada babak yang menunjukkan ‘jahilnya’ bangsa Melayu waktu itu.  Tidak ada pindaan untuk kitab agung Sejarah Melayu.  Buku catatan Munsyi Abdullah ‘Hikayah Abdullah’ juga mengkritik raja-raja Melayu dan kaum bangsawan, tetapi orang Melayu tidak satu pun yang bersuara untuk meminda atau mengharamkan karya sastera itu.

Bumiputera Kristian Sarawak dan Sabah nampaknya ‘berjaya’ mendapatkan kitab agamanya dalam Bahasa Melayu.  Orang Melayu takut sangat kelak kitab itu akan dibeli dan dibaca oleh anak muda Melayu, kemudian mereka akan masuk Kristian.  Pandangan peribadi saya ialah, tidak percaya orang Melayu Islam akan masuk kristian kerana membaca kitab itu.  Percayalah, kerana kandungannya sangat berlawanan dengan isi al-Quran.  Perkara-perkara mudah saja sudah berbeda.  Lagi pula, adakah selama ini tidak ada anak muda Melayu yang membaca kitab itu sama ada terus dalam bahasa Melayu melalui internet atau membacanya dalam bahasa Inggeris?

Namun kejayaan saudara-saudara di Sabah dan Sarawak itu lebih mudah kerana politik yang memihak mereka.  Barisan Nasional tidak mahu kuasanya dirongrong dalam pilihan raya negeri, maka terus berlembut memberi hak penganut Kristian memiliki kitab agamanya dalam Bahasa Melayu, yang selama ini konon tidak dibenarkan.

Rabu, 16 Mac 2011

MAHALNYA tembikai di felda


SEBELUM harga buah sawit dan getah melambung tinggi pun saya sudah lama merasakan harga barangan di kawasan felda lebih tinggi berbanding di luar.  Orang felda kini seakan bermandi duit apabila harga sawit mencecah lebih RM800.00 setan dan getah beku RM15.00 sekilo!  Orang felda ada 10 ekar tanah!  Kiralah berapa wang turun ke dalam kantong mereka setiap bulan.  Ayah saya di kampung biasa ada tiga ekar tanah sawit pun tersenyum dengan harga RM700.00 setan.


Baru-baru ini saya masuk ke pasar raya B5 di bandar Jengka.  Terkejut beruk apabila melihat harga buah tembikai pucat yang selalu diberi makan monyet dikebun binatang berharga RM3.00 sekilo.  Harga mangga kecut yang sudah kehitaman pula ialah RM4.90!  Cakap lebih tidaklah, tetapi kalau tiga kilo mangga yang masih ‘mengancam’ boleh dibeli dengan harga RM10.00 di kampung saya, Sabak Bernam. 


Yalah, bagi warga felda yang sedang beralaskan dan berlangitkan duit tidak perduli sangat kenaikan harga barang.  Begitulah orang kita, yang sangat mengabaikan hak-hak asasinya dengan alasan kehidupan boleh ditampung dengan wang yang dimiliki.

Sebagaimana orang lain di luar felda, mereka pun membelanjakan wangnya lebih banyak untuk keperluan fizikal. Biasalah orang kita, berapa sangat yang pentingkan pembangunan mental.

Selasa, 8 Mac 2011

AYUH Utusan Rakyat!


AHLI Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar secara sukarela memohonkan permit penerbitan (PP) akhbar mingguan Utusan Rakyat.  Sebelum ini Presiden Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari berkata akan menerbitkan akhbar yang bebas, tidak seperti Utusan Malaysia.  Kata Hata, Utusan Rakyat sebagai contoh akhbar bebas.  Maksud bebas itu agaknya tidak memihak kepada mana-mana parti politik, puak atau kelompok!


Apa pun, Utusan Rakyat itu merupakan produk politik tanah air. Politik yang menguasai akhbar dan memaksakan ‘pandangan umum’ parti kepada rakyat.  Parti-parti politik juga memiliki akhbarnya sendiri dan cuba memaksakan pandangan parti sebagai pandangan umum.  Itu biasalah.

Saya teringat akhbar Watan yang dikatakan agak bebas daripada kongkongan politik pemerintah. Watan ini agak popular pada tahun 1980-an sehingga turut digantung penerbitannya semasa Operasi Lalang ISA. Selain itu ada akhbar politik propembangkang iaitu Mingguan Tanahair. Watan dan Mingguan Tanahair sudah berkubur.

Zaman Watan dahulu, media bercetaklah satu-satunya wadah untuk menyebarkan idea dan pemikiran.  Penulis akan cuba mencari ruang menulis dalam akhbar supaya pemikirannya dikongsi pembaca seluruh negara. Saya antara yang menumpang beberapa kali melalui Watan dan Mingguan Tanahair.  Saya teringat, waktu itu Ahmad Lutfi Othman (sekarang Ketua Pengarang Harakah) sebagai Stinger Mingguan Tanahair saja.

Hari ini bukan zaman Watan diterbitkan.  Sejak tahun 1998, pemikiran yang tidak disukai parti pemerintah dengan mudah bolos ke minda sesiapa.  Hari ini murid-murid sekolah pun sudah mempunyai akaun Facebook dan blog untuk mereka menyalurkan pemikirannya.  Oleh itu mungkin saja Utusan Rakyat yang mahu sangat berbeda dengan Utusan Malaysia mempunyai ruang untuk hidup dan terus hidup.  Saya yakin asas Utusan Rakyat ialah kebebasan dan ketelusan maklumat.

Selamat membaca akhbar. Semoga sebuah akhbar Melayu yang terbaru ini menambah minat membaca orang Melayu.  Membaca, sesetengah pihak dijadikan sebagai hobi tetapi bagi saya membaca adalah satu pekerjaan!