Selasa, 1 Februari 2011

TURUNNYA malaikat dalam pilihan raya!


PILIHAN RAYA tidak henti-henti. Setiap pilihan raya juga hiruk-pikuk untuk meraih kemenangan. Jika pelajar saya bertanya ‘apakah syarat untuk menjadi calon pilihan raya’ maka saya menyeleweng daripada memberi jawaban berdasarkan perlembagaan.  Berdasarkan Akta Pilihan Raya, yang boleh mencalonkan diri untuk bertanding ialah warganegara, berumur 21 tahun ke atas, tidak muflis, tinggal di kawasan yang hendak ditandingi dan tidak gila!


Sebenarnya yang penting ialah calon mestilah lahir daripada keluarga malaikat, berwatak malaikat sejak dilahirkan dan  akan terus menjadi malaikat setelah menang dalam pertandingan.  Itu yang saya kata ciri yang menyeleweng!  Ciri-ciri sebagai watak malaikat ini jauh lebih utama, walaupun bukan dicatat dalam peraturan pilihan raya.

Lihatlah setiap pilihan raya terutama yang menjadi fokus seperti Pilihan Raya Kecil, setiap inci sejarah hidup calon akan diteliti bagai sudah berada di padang mahsyar!  Tugas menjadi malaikat yang menyelidik calon ialah pekerja parti sebelah lawan, sehingga foto dan kata-kata calon sewaktu masih berhingus pun akan didedahkan kepada umum untuk dilihat sebagai buruk atau keji. Harapannya ialah agar calon itu tidak dipilih dalam pengundian.

Si penyelidik dan pembentang setiap inci keburukan calon pula mestilah berpura-pura seperti malaikat yang dijamin maksum.  Jika saja pendedah itu mendedahkan mengenai salah guna sijil sakit, katanya cuti untuk berkempen, pendedah itu sendiri mestilah berlakon bahawa dia tidak pernah melakukan salah guna sijil sakit.

Contoh lain, ucapan seseorang calon juga mestilah sekudus malaikat yang turun di waktu subuh! Orang-orang yang meriwayatkan ucapan ucapan atau senda gurau seseorang calon adalah perawi yang mutawatir, amat tsiqah sebagaimana ciri-ciri perawi hadis nabi!  Mudahnya, orang yang menyampaikan sepatah atau sebaris ayat bicara seorang calon adalah manusia yang kedua aulia selepas malaikat.  Tukang bawa cerita ini tidak pernah ada dosa besar atau bermain-main. Adakah ini betul-betul ditemui dalam dunia politik?

Itulah dunia munafik pilihan raya. Saya teringat sangat mengenai skandal Tiger Wood yang berzina di sana-sini. Masyarakat barat tiba-tiba berlakon kononnya masyarakat mereka tidak menerima kerja zina sedangkan selama ini merekalah yang memperjuangkan zina sebagai hak asasi.  Mereka mahu hak berzina seperti hak minum air untuk menghilanmgkan dahaga!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan