Isnin, 14 Februari 2011

REVOLUSI pemikiran anak muda


RAKYAT Mesir sudah berjaya dan sedang merayakan kejayaan revolusi.  Demontrasi dan desakan rakyat menyebabkan seorang lelaki kehilangan kuasa kepresidenan negara.  Soalnya siapakah yang mengorganisasi sekian banyak jiwa, berhari-hari dengan susunan yang indah.


Hosni Mubarak telah lama berkuasa. Ya, 30 tahun dan selama itu bukanlah baru beberapa bulan ini rakyat merasa getir derita di bawah kuasanya.  Ambil saja 20 tahun yang lalu, aksi pemerintahan Hosni Mubarak bukanlah kegemaran rakyat jika akhirnya dia didesak agar turun dari kerusi Presiden.  Katakan juga, adakah selama 20 tahun terakhir tidak ada tokoh yang cuba menjadi juara melawan kuasa Hosni Mubarak sebagai Presiden?  Adakah Ikhwanul Muslimin tidak berusaha menggerakkan massa untuk merobah pentadbiran yang dikatakan tidak ada komprominya.  Jawabnya ada, tetapi gagal!

Maka, siapakah agaknya sekarang yang menggerakkan massa sehingga jumlahnya menjadi jutaan, bertahan di Dataran Tahrir dengan satu matlamat iaitu menurunkan seorang lelaki daripada kuasa tertinggi negara?

Inilah indahnya gerakan massa di Mesir.  Tokoh-tokoh politik hanya dapat menyertai jutaan rakyat yang telah bermuafakat sesama sendiri untuk menggusurkan sang presiden.  Jawabnya mudah, alat komunikasi seperti SMS, Facebook, twitter, blog dan emel menjadi wahana paling ampuh untuk menggerakkan massa, bukan melalui idea seorang pendekar seperti zaman Gamal Abdel Nasser dahulu!

Di mana-mana pun establishment sama ada pentadbiran atau ideologi sedang dalam keadaan tertekan dengan kemunculan pemikiran yang menggerakkan perjuangan.  Ini bukan lagi zaman seorang wira dengan pidato yang memukau sehingga massa lupa diri untuk merempuh halangan dalam perjuangan.  Kini adalah zaman maklumat yang dikongsi bersama kemudian membentuk satu persepsi pemikiran yang meluncur laju.

Di negara kita, sampai ke desa-desa gelombang ledakan maklumat yang disukai atau tidak oleh sesetengah pihak sedang dan terus menerobos dengan laju.  Pemikiran-pemikiran dalam masyarakat sedang dihadapkan dengan satu terjahan yang sukar dijangka.  Bidang agama yang selama ini dianggap kubu paling selamat daripada diusik, juga sedang terpinga-pinga apabila pemikiran-pemikiran baru mula meresap di desa-desa.  Di kota, jangan ceritalah.

Siapakah yang melakukannya? Seperti gerakan massa di Mesir, di mana-mana juga yang idealis adalah  anak muda.  Yang paling pantas mahukan perubahan adalah golongan muda.  Maka kepada golongan tua, sama ada berundur atau mesti bergabung pemikiran dengan golongan muda. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan