Isnin, 14 Februari 2011

REVOLUSI pemikiran anak muda


RAKYAT Mesir sudah berjaya dan sedang merayakan kejayaan revolusi.  Demontrasi dan desakan rakyat menyebabkan seorang lelaki kehilangan kuasa kepresidenan negara.  Soalnya siapakah yang mengorganisasi sekian banyak jiwa, berhari-hari dengan susunan yang indah.


Hosni Mubarak telah lama berkuasa. Ya, 30 tahun dan selama itu bukanlah baru beberapa bulan ini rakyat merasa getir derita di bawah kuasanya.  Ambil saja 20 tahun yang lalu, aksi pemerintahan Hosni Mubarak bukanlah kegemaran rakyat jika akhirnya dia didesak agar turun dari kerusi Presiden.  Katakan juga, adakah selama 20 tahun terakhir tidak ada tokoh yang cuba menjadi juara melawan kuasa Hosni Mubarak sebagai Presiden?  Adakah Ikhwanul Muslimin tidak berusaha menggerakkan massa untuk merobah pentadbiran yang dikatakan tidak ada komprominya.  Jawabnya ada, tetapi gagal!

Maka, siapakah agaknya sekarang yang menggerakkan massa sehingga jumlahnya menjadi jutaan, bertahan di Dataran Tahrir dengan satu matlamat iaitu menurunkan seorang lelaki daripada kuasa tertinggi negara?

Inilah indahnya gerakan massa di Mesir.  Tokoh-tokoh politik hanya dapat menyertai jutaan rakyat yang telah bermuafakat sesama sendiri untuk menggusurkan sang presiden.  Jawabnya mudah, alat komunikasi seperti SMS, Facebook, twitter, blog dan emel menjadi wahana paling ampuh untuk menggerakkan massa, bukan melalui idea seorang pendekar seperti zaman Gamal Abdel Nasser dahulu!

Di mana-mana pun establishment sama ada pentadbiran atau ideologi sedang dalam keadaan tertekan dengan kemunculan pemikiran yang menggerakkan perjuangan.  Ini bukan lagi zaman seorang wira dengan pidato yang memukau sehingga massa lupa diri untuk merempuh halangan dalam perjuangan.  Kini adalah zaman maklumat yang dikongsi bersama kemudian membentuk satu persepsi pemikiran yang meluncur laju.

Di negara kita, sampai ke desa-desa gelombang ledakan maklumat yang disukai atau tidak oleh sesetengah pihak sedang dan terus menerobos dengan laju.  Pemikiran-pemikiran dalam masyarakat sedang dihadapkan dengan satu terjahan yang sukar dijangka.  Bidang agama yang selama ini dianggap kubu paling selamat daripada diusik, juga sedang terpinga-pinga apabila pemikiran-pemikiran baru mula meresap di desa-desa.  Di kota, jangan ceritalah.

Siapakah yang melakukannya? Seperti gerakan massa di Mesir, di mana-mana juga yang idealis adalah  anak muda.  Yang paling pantas mahukan perubahan adalah golongan muda.  Maka kepada golongan tua, sama ada berundur atau mesti bergabung pemikiran dengan golongan muda. 

Khamis, 3 Februari 2011

APA masalah ahli-ahli dewan itu?

YANG terbaru YB Gobalakrishnan keluar PKR dan menjadi MP Bebas. Beliau mewakili rakyat Padang Serai Kedah. Memang hak seseorang untuk memilih persatuan atau parti mana yang disukai (termasuk mengkeji parti mana yang dibenci?). Ini sudah tercatat dalam perlembagaan.

Nampaknya semakin betul persepsi bahawa ahli-ahli politik tidak boleh dipercayai.  Saya ingat semasa mendengar ceramah politik seorang tokoh kuat Semangat 46 di Kedah dahulu. Apabila dia seakan bersumpah akan terus dalam APU (Angkatan Perpaduan Umah), rakan saya berkata, 'eleh, cakap saja...'.  Betul, akhirnya (sebab tak lama kemudian dia mati) dia keluar parti dan memilih parti lamanya semula!

Buat  sementara ini, semua kata. 'apa nak buat, sebab undang-undang membenarkan keadaan ini'.  Demikianlah ahli-ahli dewan yang dikatakan sangat kuat semangat juangnya, akan menyusahkan pula orang-orang yang menyokongnya.  Apabila keadaan ini berterusan, akan sampai masanya calon-calon pilihan raya (tentunya daripada parti yang paling banyak mempunyai ahli berpaling tadah) tidak diperdulikan oleh sesiapa walaupun daripada gabungan parti berkenaan.  Jawabannya mudah, 'hak kami untuk membantu atau membencinya!' 

Selasa, 1 Februari 2011

TURUNNYA malaikat dalam pilihan raya!


PILIHAN RAYA tidak henti-henti. Setiap pilihan raya juga hiruk-pikuk untuk meraih kemenangan. Jika pelajar saya bertanya ‘apakah syarat untuk menjadi calon pilihan raya’ maka saya menyeleweng daripada memberi jawaban berdasarkan perlembagaan.  Berdasarkan Akta Pilihan Raya, yang boleh mencalonkan diri untuk bertanding ialah warganegara, berumur 21 tahun ke atas, tidak muflis, tinggal di kawasan yang hendak ditandingi dan tidak gila!


Sebenarnya yang penting ialah calon mestilah lahir daripada keluarga malaikat, berwatak malaikat sejak dilahirkan dan  akan terus menjadi malaikat setelah menang dalam pertandingan.  Itu yang saya kata ciri yang menyeleweng!  Ciri-ciri sebagai watak malaikat ini jauh lebih utama, walaupun bukan dicatat dalam peraturan pilihan raya.

Lihatlah setiap pilihan raya terutama yang menjadi fokus seperti Pilihan Raya Kecil, setiap inci sejarah hidup calon akan diteliti bagai sudah berada di padang mahsyar!  Tugas menjadi malaikat yang menyelidik calon ialah pekerja parti sebelah lawan, sehingga foto dan kata-kata calon sewaktu masih berhingus pun akan didedahkan kepada umum untuk dilihat sebagai buruk atau keji. Harapannya ialah agar calon itu tidak dipilih dalam pengundian.

Si penyelidik dan pembentang setiap inci keburukan calon pula mestilah berpura-pura seperti malaikat yang dijamin maksum.  Jika saja pendedah itu mendedahkan mengenai salah guna sijil sakit, katanya cuti untuk berkempen, pendedah itu sendiri mestilah berlakon bahawa dia tidak pernah melakukan salah guna sijil sakit.

Contoh lain, ucapan seseorang calon juga mestilah sekudus malaikat yang turun di waktu subuh! Orang-orang yang meriwayatkan ucapan ucapan atau senda gurau seseorang calon adalah perawi yang mutawatir, amat tsiqah sebagaimana ciri-ciri perawi hadis nabi!  Mudahnya, orang yang menyampaikan sepatah atau sebaris ayat bicara seorang calon adalah manusia yang kedua aulia selepas malaikat.  Tukang bawa cerita ini tidak pernah ada dosa besar atau bermain-main. Adakah ini betul-betul ditemui dalam dunia politik?

Itulah dunia munafik pilihan raya. Saya teringat sangat mengenai skandal Tiger Wood yang berzina di sana-sini. Masyarakat barat tiba-tiba berlakon kononnya masyarakat mereka tidak menerima kerja zina sedangkan selama ini merekalah yang memperjuangkan zina sebagai hak asasi.  Mereka mahu hak berzina seperti hak minum air untuk menghilanmgkan dahaga!

Isnin, 24 Januari 2011

MENGGADAI cinta buta!


kata teman, cinta itu perasaan indah yang buta. ya, dia mahu aku mengerti cinta lelaki terhadap si perempuan adalah dalam jaringan perasaan yang tidak diduga atau dikesan ke mana akhirnya.  lalu, banyak anak muda atau remaja membiarkan perasaannya bebas menjalar dan melayang mencari dahan untuk menempel.  kata teman, biarkan saja ke mana cinta itu berlabuh.  itulah yang dinamakan keindahan cinta duniawi!  aku belajar mengerti, dan pasrah seketika.
anak muda, anak mentah, anak diselubungi perasaan.  kebanyakan anak muda tidak menduga jauh-jauh ke mana laluan percintaan.  mereka hanya membayangkan jalan indah dipagar bunga-bunga rindu!  selain itu yang pintar sedikit akan berkhayal tentang masa depan, mereka mula mencipta bait puisi pertemuan dan perkongsian hidup, yang semata-mata bermodalkan cinta dan rindu.  kata mereka, itulah sebaik-baik perasaan bahagia anak manusia!
kalian anak muda tidak tahu apa-apa pemikiran marslow yang betah dalam dunia pengurusan hidup.  yang megah dengan pengurusan juga tidak sudi meminjamkan pemikiran marslow kepada anak-anak muda yang ranum menganyam rindu.  Jika impian pertama orang muda untuk bahagia ialah cantuman perasaan suka dan rindu, maka setelah itu apa?  banyak yang gagal menerobos kemungkinan selepas itu. nah, aku katakan yang buta menemukan jalan sesudah cinta dan rindu bakal tercengang-cengang di tengah jalan.
selepas berindu-rinduan, kalian mahukan kebetahan hidup.  kalian mahu betah hidup dengan kenderaan, rumah, sandang dan pangan.  nah, waktu itu, cinta rindu sudah menduduki tangga kedua corot!  saat itu, tanpa kebetahan hidup bersosial dan ekonomi, kalian anak  muda bakal memulakan episod kedua: perang dingin!
maka, saat kalian mahu mengumbarkan rasa cinta dan rindu, telusurilah jalan-jalan selepas perasaan menggila anak muda.  cubalah sedikit bersabar untuk menyusun jalan-jalan indah mengharungi rasa cinta rindu yang berlandaskan ke****han hidup mendatang. aku memasang sejuta curiga rasa cinta polos tanpa dibarengi impian masa depan dalam ekonomi, sosial dan politik juga.
hai anak muda, mengapa yang bercinta 7 tahun akhirnya berantakan setelah 7 purnama bergelar suami-isteri? jawabnya, kegagalan meneropong jauh langkah kedua setelah cinta yang dikatakan buta itu!

Rabu, 19 Januari 2011

JAMINAN keamanan terhadap agama lain.

PERAYAAN dalam agama Hindu, Thaipusam.  Sebagai penduduk Selangor dan pernah tinggal di kawasan batu Caves, saya faham keadaan di sekitar kuil atas bukit itu.  Saban tahun semasa perayaan Tahaipusam, keadaan di sana luar biasa: sesak di jalan raya dan masalah kekotoran sampah sarap!  Tulisan pendek ini bukan untuk mengasut orang membenci mereka yang terlibat dalam perayaan itu.


Saya terus membayangkan semua orang Melayu  dan Islam di Malaysia khasnya yang sering terkesan kerana Thaipusam tidak akan membuat aduan dan bantahan yang mencetuskan rasa tidak senang penganut Hindu.  Kesesakan di jalan kerana acara agama itu turut difahami dengan sabar oleh muslim.

Di sebelah kuil batu Caves ada sebuah masjid yang terus melaungkan azan saban lima waktu.  Acara di kuil terus berjalan tanpa ada apa-apa ancaman mana-mana pihak.  Ini merupakan proses pemelajaran silang budaya antar kaum.  Kita kena belajar mengerti  dan bersabar untuk memberi ruang pihak lain melunaskan kepercayaannya.

Namun sebagai muslim, ruang berdakwah menyampaikan ajaran Islam terus berjalan dengan penuh hikmah dan beradab.

Selasa, 18 Januari 2011

APA masalah berBOS perempuan?

YA, di universiti siswi lebih berlambak berbanding lelaki.  Kelak mereka mengisi ruang kejaya pengurusan. Maka bersedialah kaum perempuan lebih banyak menjadi bos berbanding lelaki.  Saya tidak mahu mengajak orang lain curiga hanya kerana jantina.


Saya mahu curiga jika yang menjadi bos ialah orang yang berjiwa perempuan. Mestilah dia perempuan atau lelaki berjiwa perempuan.  Mengapa begitu?  Ya, sebagai ketua atau yang berkedudukan tinggi dalam organisasi, dia ada kuasa, ada pengaruh. Masalah utamanya, tidak banyak orang perempuan dapat meninggalkan dunia perempuannya dalam kerjaya pengurusan.  Dia masih membawa karektor perempuan yang membosankan pemikiran lelaki.

Berapa banyak yang sedar bahawa kumpulan lelaki bekerja secara team, tetapi kumpulan perempuan bekerja secara klik!  Berapa banyak lelaki dapat terus aman apabila perkara remeh-temeh dimesyuaratkan berjam-jam?  Berapa lama lagi orang lelaki mesti dijadikan spesis penakut untuk memenuhi ruang pemikiran bos-bos perempuan yang memang berjiwa penakut?

merokok jadi hak asasi?

APABILA seorang blogger muda membela perokok untuk mendapatkan hak asasinya sebagai perokok, saya pun nak melawan dia. Dia kata selama ini perokok ditindas dan meminta kaki rokok itu berbuat sesuatu. Entah, tidak pula dibayangkan apa yang sepatutnya dilakukan oleh perokok.  Mungkin saja menubuhkan persatuan perokok, berdemontrasi meminta dikurangkan primium insurans hayatnya atau meminta kerajaan menambah dana rawatan di hospital untuk mereka!


Kalau ditanya minda saya, tiada kompromi untuk perokok.  Dunia lebih selesa tanpa asap rokok.  Saya terkejut beruk melihat sebuah bilik merokok di sebuah pusat mainan bowling di Kuantan.  Bilik yang kecil, dihuni oleh empat atau lima perokok dengan asapnya penuh dalam bilik itu.  Saya nampak sebab bilik itu dibuat daripada kaca.  Ya Allah, hanya orang tolol duduk dalam bilik itu!  Mengapa mereka tidak duduk saja dalam kandang lembu, bukankah sama kotor?