Sabtu, 25 Jun 2011

PELAJARAN kita cenderung perempuan


KALAU rajin melihat jumlah murid atau pelajar dalam kelas-kelas yang dikatakan pintar, maka jelaslah jumlah yang perempuan mengatasi lelaki.  Paling jelas di Tingkatan Enam jumlah lelaki jauh ketinggalan berbanding perempuan.  Ini ditandai dahulu dengan keputusan dalam SPM yang jelas jumlah pelajar terbaik daripada lelaki memang kurang.  Oleh itu apabila sampai ke university, memanglah 70 peratus lelaki dan bakinya perempuan.

Lalu orang mudah membuat kesimpulan lelaki malas belajar dan banyak melakukan maksiat.  Oleh itu kata mereka, lelaki banyak masuk pusat tahanan seperti penjara dan pusat pemulihan penagih dadah berbanding university.  Kemudian kaum perempuan juga membuat kesimpulan yang menggerunkan apabila mereka mengatakan lelaki sekarang tidak berkualiti dan mereka rela tak berkahwin!

Bacalah al-Quran, Allah mengatakan lelaki dan perempuan  berbeda.  Lelaki itu pemimpin kepada kaum perempuan.  Namun begitu daripada sudut hak beribadah dan mendapat pahala di sisi Allah, semuanya sama.

Apabila Allah menjadikan lelaki dan wanita berbeda, maka kecenderungannya juga berbeda.  Kandungan pelajaran di negara kita tidak membedakan antara lelaki dan perempuan, tetapi jelas pelajaran yang ada lebih memihak kepada perempuan.  Jika perempuan lebih cenderung kerja-kerta yang perlu ketekunan dan ketelitian, lelaki sebaliknya.  Sebab itu perempuan mudah mendapat markah tertinggi dalam peperiksaan, sedangkan lelaki markahnya sedikit.

Perempuan tidak suka pelajaran bersifat psikomotor yang banyak menggunakan pergerakan fizikal dan kreativiti.  Sifat perempuan itu lebih pada menerima, bukan berfikir untuk mencipta yang baru. Kecuali pelajaran Kemahiran Hidup, pelajaran lain seperti matematik, Sejarah, Geografi dan lain-lain bersifat pemahaman dan hafalan.  Itulah bidang pelajaran yang menjadi kesukaan perempuan, malangnya lelaki tidak suka.  Oleh itu apabila dibuat ujian, banyaklah perempuan mengatasi lelaki.

Di Tingkatan Enam dan university keadaannya lebih parah.  Mana ada pelajaran Tingkatan Enam yang bersifat lapangan?  Semua pelajaran itu bersifat data dan memerlukan penghafalan.  Oleh itu hampir semua pelajar lelaki akan mengelakkan pelajaran yang membosankan itu.  Ke mana lelaki selepas SPM?

Pelajar lelaki lebih suka memilih bidang yang mencabar minda dan kelasakan fizikal.  Lihat berapa banyak lelaki memasuki pasukan polis, tentera dan pelbagai bidang penguatkuasaan.  Di situlah berkampungnya lelaki, bukan di penjara!

Selagi kandungan pelajaran tidak dibedakan antara lelaki dan perempuan, keadaan yang berlaku sekarang akan berterusan.  Malangnya dalam bidang pekerjaan, kepemimpinan lelaki memang diperlukan, berbanding perempuan.  Lebih malang pula sedikit lelaki yang sanggup terus menerokai pelajaran yang memang dalam lingkungan psikologi perempuan.  Oleh itu sangat sedikit lelaki yang terhasil dalam bidang kepemimpinan.  Perempuan memang banyak yang mempunyai pelajaran tinggi, tetapi berapa banyak yang ada kualiti kepemimpinan seperti lelaki?  Jangan hendak marah, soal kepemimpinan yang memerlukan ketahanan mental dan fizikal sudah Allah jelaskan terdahulu lagi.

Sabtu, 18 Jun 2011

TAK habis-habis mempolitikkan pendidikan


SEKARANG ini guru-guru Bahasa Melayu sedang menampal petikan, ayat atau perenggan dalam novel Interlok yang dikatakan menghina kaum India.  Saya melihat novel ini sudah terlalu dipolitikkan untuk tujuan tertentu.  Percayalah, sekalipun sudah bertampal-tampal, puak berkenaan akan bising lagi.  Kasihan murid-murid menjadi mangsa permainan orang yang tidak pernah menghargai apa yang orang lain beri.  Beri betis hendak paha!


Berapa banyak perkara pelajaran sudah dipolitikkan.  Lihat saja Sekolah Wawasan yang berhenti setakat ini.  Apa buruknya Sekolah Wawasan untuk negara? Tidak ada!  Sekolah itu benar-benar mahu menyumbang perpaduan rakyat sejak usia kanak-kanak, malangnya dijadikan mangsa untuk berpolitik.  Kerajaan bimbang kalah dalam pilihan raya, maka dihentikan di situ sajalah program SW.

Isu subjek Sejarah wajib lulus pun sebenarnya agenda politik.  Puncanya segolongan rakyat yang berani bersuara lebih-lebih sedangkan nenek moyangnya dahulu berjanji tidak akan menjerit-jerit mengenai hak yang diperjuangkan oleh satu parti politik.  Pemimpin kerajaan ini berasa mereka wajib disedarkan mengenai asal-usulnya. Asal-usul itu sejarahlah.  Untuk mereka faham asal-usul, wajiblah membuka sejarah lama. Itu pasal diwajibkan lulus Sejarah. 

Sebelum ini bukan senang hendak lulus sejarah, walaupun bukanlah sukar.   Sudah menjadi pandangan umum, subjek sejarah tidak diminati murid (termasuk yang sudah jadi orang)  sekalipun menjadi subjek wajib dipelajari.  Kata sebagian guru yang memeriksa jawaban pelajar….’pemarkahannya dimudahkan…supaya mudah lulus’.  Ceh, tiada kualiti la.  Sama juga dengan sebelumnya, belajar tapi tak lulus, akibatnya bebal sejarah.  Jika betul dimudahkan pemarkahannya, belajar dan lulus tapi sebenarnya tidak tahu pun sejarah itu apa. Kembali di dunia bebal sejarah.

Sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil pun boleh dikatakan lambang pendidikan yang dipolitikkan.  Sekolah-sekolah itu sepatutnya sudah lama ditutup, semua masuk sekolah kebangsaan aliran Bahasa Melayu.  Satu bahasa , satu sekolah saja untuk memulakan perpaduan kaum.  Kalau betul-betul mahu membina satu bangsa Malaysia, sudah lama sekolah satu aliran yang sama. Orang politik mainkan isu sekolah ini, untuk menjadi jaguh dan akhirnya menjadi pemimpin.  Boleh menjadi menteri atau kepala pembangkang di Parlimen.  Cuit sekolah vernacular ini, melatahlah semua orang politik.

Tak sudah-sudah sekolah, buku dan murid-murid dipolitikkan. Mujur murid-murid belum dibenarkan mengundi!

Jumaat, 17 Jun 2011

JAGA disiplin jika mahu berjaya


SEMUA orang mahu murid-murid yang belajar dan menduduki peperiksaan menjadi cemerlang dalam serba-serbi.  Oleh kerana pelajaran di negara kita masih berorientasikan peperiksaan, maka ukuran utama seseorang murid ialah melalui hasil peperiksaannya.  Banyaklah teori sudah diberikan mengenai punca murid itu cemerlang atau gagal dalam peperiksaan.


Akhirnya diketahui, faktor utama kecemerlangan akademik murid ialah disiplin hidupnya.  Ingat disiplin hidup, bukan disiplin belajar.  Ada orang yang cenderung pendidikan agama mengatakan murid yang mencuaikan ajaran agama, dia akan gagal.  Pendapat ini mudah saja dibantah apabila murid-murid yang bukan Islam atau yang kehidupannya tidak dilingkungi agama sebagaimana murid muslim, banyak mendapat keputusan peperiksaan yang sangat berkualiti. 

Disiplin hidup murid bermula dari rumah, di atas jalan, dalam bersosial dengan kumpulannya dan di sekolah.  Tak mengira sama ada murid ini beragama Islam atau tidak, Tuhan tidak pernah pilih kasih untuk memberi hak kepada manusia yang beusaha dan malas berusaha.  Yang berdisiplin, mempunyai strategi terbaik, mengeluarkan modal, mengorbankan masa dan tenaga pasti mendapat hasil yang baik.  Sebaliknya murid yang selekeh serba-serbi, akan jauh ketinggalan sekalipun hari-hari berdoa, meminum air jampi, atau tidak cuai menunaikan solat lima waktu. 

Doa kepada Allah merupakan salah satu strategi setelah berusaha sebaik mungkin.  Memang ada kes luar biasa bahawa doa telah mendatangkan keputusan luar biasa, tetapi usaha tetap dilakukan.  Islam bukanlah satu ajaran yang dikaitkan dengan keajiban atau hasil pelik di luar kotak sunah alam.  Misalnya seorang murid yang malas berusaha dalam pelajaran tentulah pengetahuan dan kemahirannya terhad.  Katakanlah orang seperti ini Allah berikan satu keputusan peperiksaan yang cemerlang atas alasan ‘Tuhan maha kuasa’, adakah murid seperti ini kelak akan terus menjadi orang yang berpengetahuan dan berkemahiran secara ‘ajaib’?  Kecualikan para rasul dan nabi yang terpilih untuk membawa mesej dari langit, setakat manusia biasa……untuk pandai mestilah melalui pengalaman mencari pengetahuan!  Sebab itulah Allah tetap memberi hasil yang baik kepada murid-murid bukan Islam dalam pelajaran kerana usaha mereka yang sempurna.

Disiplin murid pula bukan terbentuk secara semula jadi, melainkan dirancang, dibina dan dikekalkan oleh orang dewasa.  Di sekolah, guru-gurulah yang membentuk disiplin hidup murid.  Orang yang hendak membentuk disiplin murid-murid pula mestilah orang yang sentiasa berdisiplin dalam hidupnya.  Pasukan guru satu sekolah berdisiplin dalam serba-serbi, maka semua muridnya akan mempunyai sikap dan akhlak yang baik. Jangan harap  guru yang  selekeh dalam banyak hal berjaya membentuk murid yang berdisiplin, malah guru seperti inilah yang akan menghancurkan saki-baki disiplin murid yang ada.  Begitu juga di rumah, ibu bapalah yang mesti berdisiplin dahulu sebelum mendisiplin anak-anak mereka.  Teori ‘dengar cakap saya tapi jangan ikut perangai saya’ bukan sahaja tidak boleh digunakan, malah tidak pernah pun diterima dalam mana-mana kaedah mendidik manusia!

Kesimpulannya, syarat utama sesiapa saja yang mahu berjaya, disiplin hidupnya merupakan asas.  Untuk mengetahui apa itu disiplin, kita mestilah mempunyai satu tanda aras yang betul untuk dijadikan kayu ukur sejauh mana suatu disiplin sentiasa terjaga.

Khamis, 16 Jun 2011

PERJUANGAN Pengetua sekolah


FAKTOR utama kejayaan pendidikan di sekolah adalah Pengetua!  Pengetua pelaksana semua dasar dan sistem yang sepatutnya digunakan di sekolah.  Jika Pengetua seorang yang berpandangan jauh, dedikasi dan punya kesanggupan berkorban masa dan tenaga, potensi kecemerlangan pendidikan sekolah berkenaan tinggi.  Sebaliknya, jika Pengetua itu kurang mempunyai perasaan kecintaan terhadap sekolah, menyebabkan kerja-kerja utamanya sebagai Pengetua juga kurang mantap.

Dengan kemantapan pemikiran dan kerja Pengetua, budaya guru dan murid di sekolah dapat dibentuk ke arah yang positif.  Pengetua mempunyai kuasa preogratif tertinggi di sekolah, maka beliau dapat mengubah sikap guru-guru dan murid-murid.  Sekolah-sekolah yang cemerlang dipimpin oleh Pengetua yang berani melaksanakan dan mempertahankan perubahan.  Sekalipun Pengetua itu seorang perempuan, tanggung jawabnya sebagai ketua di sekolah sangat dihormati.  Jika ada guru yang percaya mempunyai pandangan tersendiri dan bertentangan dengan pandangan ketuanya, Pengetua masih boleh berjaya mengatasi pandangan lain dengan keterampilannya berhujah.

Kejayaan sekolah membawa pihak ibu bapa ke sekolah dan melakukan kerjasama bersamanya, merupakan satu aspek penting kejayaan sekolah.  Semua pihak tahu bahawa asas utama sahsiah murid bermula di rumah.  Urusan rumah pula bukan peranan pihak sekolah.  Sejauh mana Pengetua berjaya melaksanakan dasar kolaboratif dengan ibu bapa, sejauh itulah peribadi murid-murid berjaya diubah. 

Ada pengetua mengambil risiko untuk melibatkan ibu bapa dalam menyelesaikan masalah disiplin pelajar sekalipun hanya soal kecil.  Jika keberanian ini berjaya dikekalkan peratus masalah disiplin murid-muridnya kecil berbanding jika kerjasama ibu bapa dengan sekolah tidak diekploitasi dengan baik.  Jika sekolah hanya bersendirian dalam usaha mengubah keterampilan murid-murid, akhirnya sekolah menjadi pulau yang terpencil di tengah-tengah masyarakat.  Pertentangan nilai antara institusi sekolah dan masyarakat terjadi dan murid-murid akhirnya kembali dalam masyarakat dan melupakan nilai dari institusi sekolah.

Sesungguhnya kepemimpinan merupakan satu seni bagi seorang pemimpin.  Tidak ada kejayaan dalam apa juga bidang di sekolah jika kepemimpinan Pengetua yang kaku dan tidak kreatif.  Keberanian, kewaspadaan dan  ketakutan  sentiasa ada pada sesiap pun termasuk Pengetua.  Pandai-pandailah dia sebagai orang yang paling berpengalaman menggunakan apa juga peluang, ruang dan kesempatan untuk membentuk satu komuniti pendidikan yang berjaya.  Kejayaan seorang pengetua jelas hasil kerjasama semua pihak namun ada kejayaan sesetengah pihak di sekolah tidak pun melalui pejabat Pengetua!

Selamat berjuang Tuan Pengetua di mana jua.

Jumaat, 10 Jun 2011

TIADA anak menteri menjadi guru


BAGUS dan baik setinggi mana pujian menteri atau orang kaya terhadap kerjaya guru, tidak ada anak mereka menjadi guru di sekolah rendah atau menengah!  Namun bayangkan jumlah guru di negara kita yang jumlahnya kira-kira 400 ribu orang.  Sebuah sekolah menengah di pekan kecil pun jumlah gurunya sehingga 100 orang.  Guru ada di mana-mana sehingga di tepi hutan, asalkan di situ ada sekolah dan murid yang bersekolah.  Maka ada guru yang glamour di bandar-bandar dan ada lagi guru yang bergelumang dengan semak-samun di pedalaman.  Anak menteri mana yang sanggup menjadi guru sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak? Tidak ada, yang sanggup di situ ialah guru-guru yang dilahir dan dibesarkan di pedalaman juga.

Kata sahabat saya, jika mahu mengumpul kekayaan harta-benda janganlah memilih kerjaya sebagai guru.  Kepenatan menjadi guru yang sama dengan penatnya menguruskan sebuah kedai, akhirnya menyaksikan pekedai mengumpul jutaan ringgit.  Guru, setakat cukup makan anak isteri saja.  Rumah dan kereta dibeli dengan pinjaman yang sampai pencen pun belum habis dibayar.  Seorang broker tanah dengan bermodal air liur dan kepandaian memanipulasi persekitaran senang-senang mengumpul pendapatan lebih RM100 ribu setahun sedangkan, guru bertungkus lumus bekerja pendpatan tahunannya sekitar RM40 ribu hingga RM50 ribu sahaja.  Untuk menjadi guru siswazah pula memerlukan modal pendidikan formal yang panjang.  Semua itu kos masa, usia dan wang ringgit.

Habis, mengapa  hampir setengah juta mahu menjadi guru? Ini soalan yang subjektif.  Ada yang memang sejak awal mahu menjadi guru. Ada yang menukar kerjaya kepada guru setelah tidak upaya dalam kerjaya pertama yang diceburi.  Ada yang menjadi guru kerana sudah tidak ada tempat lain untuk kerjaya berkolar putih.  Namun ada juga yang berhenti sebagai guru kerana ada tarikan kerjaya lain.  Selalunya, guru yang berhenti itu kerana menceburi bidang perniagaan yang menjanjikan pulangan wang lebih banyak.

Apa juga sebab menjadi guru, penilaian hebat atau sebaliknya sebagai guru wajib dilihat pada komitmen harian mereka bekerja dan hasilnya.  Kata orang, tidak kenal, maka tidak cinta.  Jika sudah hari-hari melakukan tugas guru, maka kuatlah kasih sayangnya terhadap kerjaya guru.

Maka, jangan menjadi guru jika tidak ada prinsip ‘mendidik orang ke arah kemajuan dalam keadaan apa sekalipun’.  Tugas hakiki guru ialah mengubah pemikiran murid-murid kepada satu pemikiran yang terarah.  Di situlah tugas-tugasnya yang sukar untuk mengubah pemikiran yang berbeda.  Bukan mudah mempengaruhi seseorang untuk mengubah pemikirannya, sekalipun mereka berada dalam sekolah yang memang untuk mengubah pemikiran!

Untuk menggambarkan sukarnya kerjaya guru, saya berikan contoh mudah.  Tugas guru ialah mengajar seseorang daripada tidak tahu kepada tahu. Standard tahu diukur dengan pengujian dengan markah tertentu sebagai tahap pencapaiannya.  Katakan 50 daripada 100 markah, murid itu dianggap tahu dan sudah berubah pemikirannya.  Dalam sebuah kelas ada 30 murid dan guru mesti mempunyai tujuan untuk memberi tahu atau mengubah semua pemikiran murid itu.  Guru tidak boleh hanya mensasarkan 20 orang akan berubah dan bakinya dibiarkan gagal.  Masa pula ditetapkan, misalnya selama 10 bulan.

Setelah ujian terakhir pada penghujung 10 bulan itu didapati hanya 10 orang mencapai markah 50 ke atas. Hal ini bererti guru gagal mencapai objektif kerjanya mengubah pemikiran murid.  Kejayaan guru diukur dengan kejayaan mengubah sebanyak mana pemikiran orang yang diajarnya.  Begitulah berat dan sukarnya hendak mengubah pemikiran. Mengubah sebatang jalan raya atau jambatan usang jauh lebih mudah daripada mengubah pemikiran manusia.

Prinsip pengajaran guru yang sebegini sangat jarang difahami oleh masyarakat.  Hari ini masyarakat hanya mahu tahu kejayaan guru mengubah pemikiran anak-anak mereka dengan alasan itulah kerjaya guru. 

Atas sebab sukarnya menjalankan tugas mengubah pemikiran manusia inilah, guru bukanlah satu kerjaya yang dipilh oleh anak-anak yang diasuh dengan kemewahan atau hidup yang mudah perjalanannya.  Untuk yang sejak kecil dimanja-manja dan mendapat apa sahaja yang diinginkan, pasti dia tidak akan menjadi guru.

Guru ialah orang yang sanggup bekerja siang malam, berpendapatan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan mempunyai prinsip perjuangan untuk mengubah pemikiran manusia.  Tahniah kepada guru-guru yang berada dalam posisi terbaik ini.

Khamis, 9 Jun 2011

BERFIKIR untuk mengambil keputusan


PERNAHKAH antara kita meneliti bagaimana kita berfikir dan apa keputusan fikiran itu?  Perkara ini sebenarnya besar dan penting kerana hal itu pasti melibatkan pemikiran, pendirian dan tindakan seseorang.  Bolehkah kita tidak berfikir? Jawabnya tidak.


Kita mesti berfikir. Persoalannya cara berfikir itu secara sambil lewa, sekadar mengikut hasil pemikiran orang lain atau membuat keputusan sendiri.  Kebanyakan kita berfikir kerana dipengaruhi oleh orang lain atau persekitaran.  Jarang sekali seseorang berfikir kerna keputusan yang berdasarkan satu prinsip yang tegas.

Lihat sahaja budaya kemasyarakatan kita.  Ahli masyarakat sebenarnya semua telah melalui sistem persekolahan sehingga di Malaysia kadar buta huruf sangat kecil, tidak sampai 5 persen daripada 28 juta rakyat.  Sekolah merupakan pusat berfikir dan melatih murid membuat keputusan yang baik. mendidik idealisme kepada semua orang, suatu yang berbeda dengan budaya masyarakat. Di sekolah, semua murid diajar bertoleransi sesama manusia, beratur jika jumlah orang banyak untuk mendapatkan sesuatu, membuang sampah dalam tong sampah, melakukan kitar semula, tidak merokok, bertutur dengan sopan santun dan pelbagai keindahan hidup lagi.  Bagi saya sejak dahulu, sekolah merupakan pulau di tengah-tengah laut yang panas dan berombak!

Apa hasilnya terhadap jutaan rakyat yang menjadi masyarakat Malaysia daripada pendidikan di sekolah?  Jika semua murid yang menjadi orang dewasa berfikir sebagaimana yang diajarkan di sekolah, tentu situasi buruk seperti pembuangan sampah merata-rata, gelojoh di jalan raya atau apa juga akhlak buruk tidak banyak berlaku.  Hakikat yang berlaku masih sebaliknya, seperti orang yang tidak pernah dididik berfikir dan mengambil keputusan.

Puncanya, cara berfikir orang ialah disandarkan pada budaya dan persekitaran.  Apa yang diajarkan oleh agama atau disekolah, selalu diremeh-temehkan dengan alasan ‘orang lain tidak begitupun’.  Jika dia hendak mengutip secebis sampah di lantai, fikirannya membuat keputusan ‘tidak perlu sebab orang lain tidak melakukannya pun’.  Jika dia berbelah bagi sama ada hendak merokok atau tidak, fikirannya yang pantas ialah ‘banyak lagi orang lain yang merokok, mengapa aku tidak melakukannya’.

Dalam kes kitar semula barang lama, kebanyakan orang telah menggunakan standard berfikir:  Kalau aku buat pun tak guna sebab berjuta-juta orang lain tidak membuatnya.  Jika dalam 100 orang terdapat 95 orang berfikir begitu, akhirnya program kitar semula gagal walaupun di atas kertas dibuktikan program yang baik. 

Banyak lagi perkara baik tetapi gagal kerana cara berfikir dan membuat keputusan orang ramai berdasarkan andaian yang negatif terhadap orang lain tanpa disahkan.  Kebanyakan membuat andaian ‘orang lain tidak membuatnya’ atau ‘saya seorang saja yang mesti melakukannyakah?’  Ayat-ayat itu tidak pernah disahkan sebagai keputusan bersama di mana-mana pun.