Khamis, 23 September 2010

UNTUK apa berdebat?

APABILA berlaku perbedaan pendapat, maka berlakulah penghujahan untuk membela pendirian yang dipegang.  Penghujahan ini akan berlaku dalam medium muzakarah dan debat.  Muzakarah tampak lebih lunak dengan ada konsep sumbang-saran, yang para ahlinya punya sifat lapang dada.  Dalam muzakaran, kemungkinan perselisihan yang membawa keretakan hubungan social, agak kecil.

Debat tampak kasar, penghujahan untuk membela habis-habisan pendirian yang dijaga.  Orang yang mahu berdebat adalah orang yang akalnya licik dan pantas membuat tafsiran dan keputusan.  Orang selama ini hanya bersuara satu hala atau ceramah di hadapan khalayak dan tidak berani menerima soalan lisan, jauh ketinggalan sebagai karektor pendebat.  Orang ini hanya berani di belakang dan akan pucat apabila disoal secara depan-depan.


Dalam menjalankan debat ilmiah, saya ingat kaedah yang ditulis oleh penyanyi yang juga seorang peguam iaitu almarhum Sudirman Hj Arshad.  Menurut beliau, apabila pihak lawan telah menyampaikan hujahnya,  sebagai pemidato debat selepasnya mesti terus membidas atau membunuh semua hujah apabila diberi ruang berdebat.  Katakan pihak pencadang mengatakan  perlunya pekerja asing dalam pembangunan negara, maka sebagai pembangkang wajib mematikan hujah itu dengan segera dan menjadikan hujah lawan itu sebagai hujah yang sangat meragukan!  Setelah selesai ‘mencincang’ hujah lawan, barulah pendebat ini memberikan hujah yang menyokong pendiriannya terhadap isu yang diperjuangkan.

Ada seseorang bergelar ustaz yang suka menghantar emel kepada saya dan menyebarkan fahamannya.  Sambil mendakwa pemahaman saya salah, dia menjual pemahamannya pula. Tentulah saya mempertahankan pendirian saya dan membidas pula pendiriannya.  Betul, bukan dongeng…, semua bidasan saya terhadap pemahamannya tidak satu pun dapat dijernihkannya semula.  Kemudian dia mengajak saya berdebat. Dia mengajak debat ini betul-betul dongeng.  Dongeng sebab dia tak tahu apa-apa mengenai konsep debat dan penghujahan.