Rabu, 22 September 2010

MENGAPA mahu menulis?

MENGAPA menulis?  Pertanyaan ini betul untuk saya, kerana saya memang suka menulis. Kepada yang suka bercakap, soalannya ialah: Mengapa bercakap?

Semua orang mempunyai sebab tersendiri untuk ‘membenarkan’ tindakan yang dilakukannya, sama ada betul atau salah ada pertimbangan lain.  Menulis bagi saya kerana ada perkara yang saya mahu sampaikan kepada sesiapa saja, yang tidak mampu saya sampaikan dengan kata-kata.  Orang kecil yang tidak ada nama dalam persada khalayak, tidak mungkin diundang untuk memberikan ceramah atau pidato.  Jika di kampungnya pun sudah tidak diberi peluang menyampaikan idea dan fikiran, janganlah berharap mendapat tempat di lokasi lain.


Pilihan yang ada dalam dunia komunikasi tanpa batas ialah menulis.  Orang bercakap, jika ucapannya tidak dirakam dan didengar semula, kira habis di situ sahaja. Menulis lebih berdisiplin dan bertanggung jawab berbanding bercakap. Bahan tulisan yang kekal akan terus dibaca oleh mereka yang mahu membacanya.

Satu wacana tulisan dalam blog ini mungkin satu ucapan dalam majlis di sebuah balai raya kampung paling jauh dari kota.  Jika ucapan itu hanya dihadiri oleh 10 orang, maka sekadar itu sajalah yang mendengarnya.  Selepas sesi ucapan itu, semua pulang dan hilanglah semua isi ucapan selama 15 minit itu. Ini kebiasaan budaya sastera lisan sejak dulu. Orang kita, bukan ada tradisi mencatat ucapan.

Satu wacana dalam blog akan dibuka bukan untuk sehari, malah selama blog masih boleh dibuka dan tidak ada gangguan apa-apa.  Ini bererti sesuatu tulisan (daripada ucapan 15 minit di kampung itu) terbuka untuk dibaca oleh semua manusia dalam jagat raya.  Semakin lama dan jika isunya sangat relevan, wacananya boleh dibaca hingga seribu kali termasuk oleh orang-orang besar yang membuat dasar dan keputusan penting dalam sebuah negara.

Kita ambil contoh satu manusia bernama Haji Sulaiman Jambul yang sama usia (lahir dan wafat) dengan Prof Dr Hamka.  Arwah Haji Sulaiman Jambul hanya diingat dan dikenal oleh keluarganya sebagai anggota keluarga.  Kemungkinan besar cicitnya pun tidak mengatahui apa pemikirannya.  Akhirnya setelah lima generasi, semua lupa nama Haji Sulaiman Jambul.  Bagi Prof Dr Hamka, sekalipun sudah wafat, namanya harum kerana pusaka pemikirannya dalam bentuk tulisan kekal.  Membaca mana-mana buku Prof Dr Hamka, seolah-olah sedang berhadapan dengan ulama itu yang berceramah. Tulisan kekal prof Dr Hamka akan menyebabkan manusia itu seperti hidup hingga seribu tahun lagi.

Maka, menulislah kerana ada peluang dan kesempatan.