Ahad, 26 September 2010

SIAPA tanggung kos siasat kes pembunuhan Datuk Sosilawati?

JIKA Datuk Sosilawati dan tiga insan lain benar-benar menjadi mangsa jenayah bunuh itu, semoga Allah mengampuni mereka.  Berkenaan siasatan yang panjang serta rumit dan mendapat liputan media, semua empat almarhum itu tidak terkesan apa-apa.  Urusannya dengan dunia sudah putus.  Tinggallah yang hidup dengan bijak sana mengurus kematian mereka berdasarkan undang-undang.


Kerajaan yang memerintah menjadi pergantungan keluarga semua mangsa agar pembunuhnya dapat dibalas yang setimpal.  Mudahnya, bukan sahaja harapan ahli keluarga mangsa, semua orang yang cintakan keadilan, kedamaian dan kebahagiaan hidup mahu pembunuh dihukum bunuh.  Hanya hukuman bunuh itu sahaja yang dapat mengubat sedikit kepedihan yang sangat dalam.

Beban memberi keadilan kepada mangsa terletak di bahu kerajaan.  Kerajaan yang berkuasa melaksanakan undang-undang dan menjaga keadilan,  maka Jabatan Polis sangat terbeban untuk memastikan pendakwaan terhadap tertuduh menjadi sempurna.  Jika pihak polis tidak memberikan bukti yang secukupnya, tentulah mahkamah mendapati tiada prima face  dan akan membebaskan tertuduh tanpa membela diri.  Kes yang berprofil tinggi ini yang rakyat sudah pun menyimpan marah-marah kepada pembunuhnya, tiba-tiba yang didakwa membunuh itu dibebaskan kerana kekurangan bukti.  Jika keadaan itu berlaku tentulah menjejaskan imej pihak polis dan Jabatan Pegum Negara.  Malah kredibiliti polis akan dipersoalkan masyarakat. Apabila kredibiliti polis dipersoalkan, rakyat tidak menaruh kepercayaan kepadanya dan  rakyat boleh bertindak sendiri tanpa merujuk kepada polis. Keadaan ini sangat berbahaya.

Kerana itulah pihak polis berbuat apa saja untuk mendapatkan bukti adanya pembunuhan di Ladang Gadong, Banting Selangor.  Malah yang penting semua bukti mesti berkait bahawa si tertuduh itulah yang membunuh empat insan berkenaan.

Perhatikanlah, berapa banyak anggota polis dengan kelengkapan mereka mencari bukti yang sedaya upaya telah dilupuskan oleh si penjenayah. Begitulah dilakukan oleh pasukan penyiasat, forensik dan kemudian jabatan kimia pula.  Apa sahaja urusan itu, semua kosnya ditanggung oleh kerajaan. Fahamilah, bahawa kos yang dibelanjakan oleh kerajaan sehingga kes ini selesai kelak (entah berapa tahun pula) sebenarnya ditanggung oleh rakyat melalui pembayaran cukai.  Tidak keterlaluan, semua rakyat mahu keadilan dilihat dan dilaksanakan kerana rakyat sudah membayar kosnya!

Jika rakyat sangat menghayati bahawa semua urusan kerajaan sebenarnya ditanggung oleh rakyat, si pembayar cukai sepatutnya rakyat mestilah aktif dalam usaha mengurangkan kos pengurusan.  Jika rakyat bersama pihak polis mencegah jenayah di kawasan masing-masing, maka kos mengatasi jenayah tentulah dapat dikurangkan.  Jika kos dapat dikurangkan tentulah beban pembayaran cukai dapat dikurangkan.

Pasti akan ada orang berkata: Kita bayar cukai kepada kerajaan, maka biar kerajaan sahaja yang uruskan. Ya, dan kerajaan berhak menggubal undang-undang memastikan rakyat tidak culas membayar cukai.  Itu telah pun berlaku.

Malangnya kebanyakan kita masih berfikir: Jika saya melakukan kebaikan itu, sedangkan orang lain mengabaikannya, tiada gunanya?  Lantaran sifat ego dan individualistik yang sangat tebal banyak yang berfikir begitu, maka banyak perkara yang sepatutnya tidak berlaku telah terjadi.  Perkara buruk yang terjadi sebenarnya kos dan kos yang mahal itu tetap ditanggung oleh rakyat.

Begitulah kita.