Selasa, 28 September 2010

SALAHKAH tiada pilihan raya DUN Galas?

BERDASARKAN undang-undang, nampaknya satu pilihan raya kecil akan berlaku di DUN Galas, Gua Musang Kelantan. Penyandangnya daripada Pas telah wafat, maka perlu ada pengganti.  Penggantinya mestilah melalui proses perlembagaan, iaitu pilihan raya.  Proses ini boleh sah dengan pertandingan yang ada pengundian atau pendaftaran seorang calon sahaja supaya menang tanpa bertanding. Sebenarnya secara santai, sama ada Pas atau BN yang menang, tidak mengubah apa-apa struktur kerajaan negeri Kelantan.


Pandangan daripada orang Melayu yang tidak ada kaitan dengan parti politik, mereka tidak mahu ada pengundian pilihan raya.  Pandangan mereka ialah mahu orang Melayu dalam Umno dan Pas bersatu atau hentikan perbalahan.  Mereka sedar antara Umno dan Pas tidak ada yang menang dan kalah. 

Pandangan orang Melayu yang aktif dalam politik, tentulah mahu diadakan pilihan raya. Mereka mahu mempengaruhi pengundi untuk memilih parti atau calonnya, mencari dalil parti Melayu manakah yang paling disukai pengundi. Jika Pas masih menang, akan dijadikan modal orang Melayu sudah menolak Umno dan dianggap masa depan Pas yang terang, khasnya di Kelantan. Jika Umno yang menang, parti itu dianggap sudah di landasan untuk memerintah semula Kelantan.

Pandangan mereka sebagai ahli Barisan Nasional tentulah bukan pandangan Melayu, maka wajib diadakan pilihan raya.  Jika begitu pandangan BN maka tidak ada bedanya pandangan bagi Pakatan Rakyat, mesti adakan pilihan raya.  Isu melayu bukan soalnya.

Jika diadakan pilhan raya maka SPR akan menyediakan jutaan ringgit untuk uruskan PRK ini. Agensi kerajaan akan minta peruntukan tambahan untuk uruskan keselamatan dan sebagainya. Semua itu merupakan wang yang disedut daripada perbendaharaan negara. Wang itu wang rakyat, termasuk daripada yang tidak suka perbalahan dalam pilihan raya. Parti politik juga mengeluarkan wang. Wang untuk membeli poster dan macam-macam, kemudian dibakar sahaja.

Jika ada pilihan raya juga, bermakna suhu pertelagahan akan meningkat. Atas nama kempen politik, fitnah dan cerca-mencerca mesti berlaku. Jika ke tahap panas, akan berlaku pergaduhan. Berdasarkan sejarah PRK, mesti ada laporan-laporan polis.  Laporan polis dibuat kerana ada unsur penipuan, fitnah atau jenayah.

Saya meramalkan akan ada juga pilihan raya. Maka bersedialah wang ringgit, susunan ayat untuk mengisi laporan polis, kesesakan jalan raya, hingar-bingar ceramah dan segala macamnya. Harap tiada yang menempah pembalut luka!